Senarai 13 Rukun Solat yang Perlu Kita Tahu

Senarai 13 Rukum Solat yang Perlu Kita TahuErti rukun di sisi syarak ialah perkara yang mesti ada untuk mengesahkan sesuatu amalan seperti mesti ada rukuk untuk mengesahkan sembahyang. Maka rukuk adalah rukun kerana tanpa rukuk maka sembahyang tidak sah.

Berkata Syeikh Mustafa Bugha :

معني الركن: ركن الشيء ما كان جزءاً أساسياً منه، كالجدار من الغرفة، فأجزاء الصلاة إذا أركانها كالركوع والسجود ونحوهما. ولا يتكامل وجود الصلاة ولا تتوفر صحتها إلا بأن يتكامل فيها جميع أجزائها بالشكل والترتيب الواردين عن رسول الله

Artinya : “Makna rukun ialah asas bagi sesuatu perkara seperti dinding bagi banggunan. Maka juzuk-juzuk sembahyang adalah rukun-rukunnya seperti rukuk dan sujud dan seumpama keduanya. Tidak sempurna sembahyang dan tidak sah sembahyang melainkan dengan sempurna padanya segala juzuk-juzuknya dengan bentuk dan susunan yang datang daripada Rasulullah saw.” (Fiqh Manhaji)

Senarai 13 Rukum Solat yang Perlu Kita Tahu

Rukun-rukun sembahyang itu ada tiga belas yaitu :

1. Niat
2. Berdiri
3. Takbiratul Ihram
4. Membaca Fatihah
5. Rukuk
6. I’tidal
7. Sujud
8. Duduk di antara dua sujud
9. Duduk pada tahiyat akhir
10.Membaca tahiyat
11.Membaca selawat
12.Memberi salam
13.Tertib

Terbahagi rukun-rukun yang tiga belas ini kepada tiga bahagi yaitu rukun Qalbi, rukun Fi’li dan rukun Qauli.

  • Rukun Qalbi artinya rukun yang berkait dengan hati yaitu niat dan tertib.
  • Rukun Fi’li ialah rukun yang dilakukan dengan anggota badan yaitu qiam, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan duduk tahyat akhir.
  • Rukun Qauli ialah rukun yang berkait dengan kata-kata yaitu takbir, membaca Fatihah, membaca tahyat akhir, membaca selawat dan memberi salam.

Hukum Meninggalkan Rukun Solat

Jika sengaja meninggalkan salah satu rukun sembahyang maka sembahyang seseorang itu tidak sah dan berdosa.

Adapun meninggalkan sunat-sunat sembahyang maka tidak membatalkan sembahyang samada sengaja atau terlupa. Tetapi sengaja meninggalkan sunat-sunat sembahyang adalah makruh hukumnya.

Jika tertinggal rukun sembahyang dan bukan dengan sengaja maka sembahyangya tetap tidak sah tetapi tidak berdosa.

Jika seorang yang sedang sembahyang teringat bahawa dia tertinggal satu rukun sembahyang maka wajib diulangi melakukan rukun yang tertinggal itu kemudian melakukan semula semua rukun yang telah dikerjakan selepas rukun yang tertinggal itu kerana semua rukun yang dikerjakan itu tidak dikira kerana ada rukun yang belum dikerjakan.

Contohnya di rakaat kedua seorang yang sedang sujud teringat bahawa dia terlupa membaca Fatihah dalam rakaat tersebut maka wajib ia bangun semula dan membaca Fatihah kemudian wajib diulangi rukuk dan iktidal kemudian turun sujud. Dan sunat ia sujud sahwi selepas membaca tahyat akhir sebelum memberi salam.

Jika seorang itu teringat selepas selesai sembahyang bahawa dia telah meninggalkan salah satu rukun sembahyang maka jika baru lagi memberi salam dan belum berkata-kata maka hendaklah dia masuk kembali melakukan rukun yang tertinggal kemudian melakukan perbuatan sembahyang yang selepas itu.

Ada pun jika telah panjang masa memberi salam atau sudah berkata-kata maka wajib diulangi semula sembahyang tersebut dari awal.

Syak Meninggalkan Rukun Solat

Jika seorang yang sedang sembahyang kemudian datang keraguan atau syak adakah dia sudah membaca Fatihah atau belum maka dia dikira belum membaca Fatihah maka wajib dia ulangi membaca Fatihah dan melakukan perbuatan sembahyang yang selepas itu kerana asalnya dia dikira belum berbuat.

Jika dia ragu atau syak selepas memberi salam adakah dia telah menyempurnakan rukun-rukun sembahyang maka tidak memberi mudharat lagi syak tersebut yakni tidak perlu dia ulangi sembahyang.

Jika seorang yang sedang sembahyang merasa ragu atau syak adakah telah dia lakukan suatu rukun kemudian hilang keraguan tersebut yakni ia yakin sudah melakukannya maka tidak memberi mudharat apa-apa. Ada pun jika selepas syak sekejap lalu yakin dia ada meninggalakn satu rukun maka wajib diulangi melakukan rukun tersebut.

bersambung : Rukun Sembahyang Terperinci

Rujukan : Kitab I’anatut Thalibin & Al-Fiqh Al-Manhaji

FP UAI Original

Syarat & Rukun Solat – Ustaz Azhar Idrus

Rukun-rukun Solat Secara Terperinci

Rukun Solat yang Pertama : Niat

Arti niat di dalam bab sembahyang ialah qasad mengerjakan perbuatan sembahyang.

Berkata Syeikh Muhammad Az-Zuhri Al-Ghamrawiy :

وهي شرعا قصد الشيء مقترنا بفعله

Artinya : “Dan arti niat pada syarak ialah qasad mengerjakan suatu hal keadaannya berserta dengan perbuatan.” (Sirajul Wahhaj)

Dan tujuan niat ialah supaya terbeza dari perbuatan yang lain dan mendapat olih seseorang akan amal yang ia kerjakan dan supaya ikhlas ibadahnya hanya kerana Allah.

Umar Al-Khattab r.a. berkata : Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda :

إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Artinya : “Hanya sungguhnya segala amal itu adalah dengan niat. Dan hanya sungguhnya bagi seseorang itu apa yang ia tentukan dalam berniat.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih)

Olih kerana itu niat menjadi rukun sembahyang yaitu suatu yang mesti ada ketika mengerjakan sembahyang. Maka siapa yang sembahyang tanpa berniat maka sembahyangnya adalah tidak sah samada sengaja tidak berniat atau terlupa.

Jika yakin seorang yang sedang sembahyang bahawa dia tidak berniat maka sembahyangnya batal. Begitu juga seorang yang syak adakah dia sudah berniat atau tiada.

Syarat Sah Niat

1.Qasad, Ta’arud dan Ta’yin

Jika sembahyang yang akan dikerjakan adalah fardhu maka disyaratkan pada berniat itu tiga perkara yaitu Qasad Ta’arud dan Ta’yin.

Arti qasad ialah menyahajakan melakukan kerja sembahyang seperti diniatkan di dalam hati : “Sahaja aku sembahyang” atau seumpamanya.

Arti ta’arud ialah menghadirkan dalam hati ketika berniat akan perkataan “fardhu”. Contohnya “sahaja aku sembahyang fardhu”.

Arti ta’yin ialah menentukan jenis sembahyang yang akan dikerjakan. Maka jika hendak mengerjakan sembahyang subuh maka dihadirkan di dalam hati ketika niat itu akan perkataan “subuh”.

Contoh niat yang mencakupi ketiga-tiga qasad, ta’arud dan ta’yin ialah :

”Sahaja aku sembahyang fardhu subuh”

Harus ia datangkan dalam niat akan bilangan rakaat dan mengadap kiblat dan tunai dan kerana Allah Taala.

Contohnya :

”Sahaja aku sembahyang fardhu subuh dua rakaat mengadap kiblat tunai kerana Allah Taala”.

Tetapi jika berniat “Sahaja aku sembahyang fardhu subuh” sahaja seperti yang telah lalu sebutnya maka sudah memadai.

Jika seorang hendak sembahyang sunat berwaktu atau sunat bersebab maka disyaratkan dua sahaja yaitu qasad dan ta’yin.

Contohnya jika hendak sembahyang sunat berwaktu seperti sunat dhuha maka diniatkan di dalam hatinya :

”Sahaja aku sembahyang dhuha”.

Atau dia mahu mengerjakan sembahyang sunat bersebab seperti sunat wuduk maka contoh niatnya ialah :

“Sahaja aku sembahyang sunat wuduk”.

Bagi yang sembahyang berjemaah maka hendaklah berniat sebagai makmum jikalau dia menjadi makmum.

Contohnya :

“Sahaja aku sembahyang fardhu subuh sebagai makmum”.

Dan jika menjadi imam maka hendaklah ia berniat sebagai imam.

Contohnya :

“Sahaja aku sembahyang fardhu subuh sebagai imam”.

Bagi yang sembahyang qadha maka hadirkan perkataan qadha ketika berniat.

Contohnya :

“Sahaja aku sembahyang fardhu subuh qadha”.

2. Ketika Takbir

Disyaratkan niat itu hendaklah di dalam takbir yaitu semasa mengucapkan lafaz takbir.

Berkata Imam Syafie :

ولا تجزيه النية إلا أن تكون مع التكبير لا تتقدم التكبير ولا تكون بعده

Artinya : “Dan tiada memadainya berniat melainkan bahawa adalah niat itu di dalam takbir. Tidak dahulu daripada takbir dan tidak kemudian daripadanya.” (Kitab Al-Umm)

Olih kerana itu tidak sah sembahyangnya jika seorang itu berniat dahulu dari takbir atau kemudian dari takbir.

Berkata Imam Nawawi :

يجب أن يبتدىء النية بالقلب مع ابتداء التكبير باللسان

Artinya : “Wajib bahawa memulakan berniat dengan hati itu ialah ketika memulai bertakbir dengan lisan.” (Raudhatut Thalibin)

Jika seorang yang menderita was-was sekira-kira sukar baginya berniat di dalam takbir maka harus ia berniat sebelum takbir dengan masa yang sedikit kerana bertaklid kepada pendapat mazhab Hanafi dan Maliki yang mengatakan sah niat sebelum takbir.

Ini kerana qaidah usul fiqh :

إذَا ضَاقَ الْأَمْرُ اتَّسَعَ

Artinya : “Apabila sempit suatu pekerjaan maka diluaskan.”

Adapun perkataan orang yang berkata bahawa keinginan mengerjakan solat ketika masih di rumah sudah dikira berniat maka adalah tidak betul dan itu bukanlah niat.

3. Di Dalam Hati

Tempat niat ialah hati maka disyaratkan berniat untuk sembahyang itu di dalam hati.

Berkata Al-Imam Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Qasim :

وَ مُحَلُّهَا اْلقَلْبُ

Artinya : “Bermula tempat niat itu ialah pada hati.” (Fathul Qarib)

Maka tidak sah jika tidak berniat di dalam hati sekalipun ia telah menyebut lafaz niat pada lisan kerana niat yang di dalam hati ialah rukun sembahyang manakala lafaz niat pada lisan bukan termasuk rukun sembahyang hanya sunat sahaja di sisi setengah fuqahak dan tidak sunat di sisi fuqahak yang lain.

Berlafaz Dengan Niat

Disunatkan berlafaz dengan niat sebelum mengucapkan takbir.

Berkata Imam Nawawi :

والنية بالقلب ويندب النطق قبل التكبير

Artinya : “Dan niat itu dengan hati dan disunatkan berlafaz sebelum bertakbir.” (Minhajul Thalibin)

Berkata Dr Mustafa Bugha :

ومحل النية القلب؛ فلا يشترط التلفظ بها؛ ولكن يستحب ليساعد اللسان القلب على استحضارها

Artinya : “Dan tempat niat ialah hati. Maka tiada disyaratkan berlafaz dengannya. Dan tetapi disunatkannya kerana menolong olih lisan akan hati atas menghadirkan niat.” (Syarah Arba’in)

Olih kerana itu siapa yang hanya berlafaz dengan niat tetapi tiada hadir di dalam hatinya olih niat maka sembahyangnya adalah tidak sah.

Dan siapa yang hanya berniat tetapi tidak berlafaz pada lisan maka sembahyangnya telah pun sah dari kerana berlafaz dengan lisan bukan rukun sembahyang.

Perbezaan Pendapat Empat Mazhab

Berkata Syeikh Abdul Rahman Al-Juzairi :

”Dan bermula hukum berlafaz pada niat sembahyang ini telah sepakat atasnya di sisi ulama-ulama mazhab Syafie dan Hambali. Bermula ulama-ulama mazhab Maliki dan Hanafi berkata mereka itu bermula belafaz dengan niat sembahyang itu tidak disyariatkan kecuali apabila orang yang sembahyang itu terkena penyakit was-was. Berpendapat ulamak mazhab Maliki adalah khilaful aula berlafaz dengan niat sembahyang bagi yang sihat manakala yang berpenyakit was-was maka disunatkan.” (Al-Fiqhu ‘Ala Mazahibil Arba’ah muka surat 195 Juzuk 1)

Rukun Solat yang Kedua : Qiam

Rukun Sembahyang yang Kedua : Qiam

Arti qiam ialah beridiri yakni berdiri betul. Asal diwajibkan qiam di dalam sembahyang ialah dengan nas Al-Quran.

Firman Allah Taala :

وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

artinya : “Dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dalam keadan taat.” (Al-Baqarah : 238)

Dan pada hadith Rasulullah saw bersabda :

صَلِّ قَائِمًا

artinya : “Sembahyanglah kamu dalam keadaan berdiri.” (Hadith Bukhari)

Wajib berdiri ketika sembahyang adalah dengan ijmak ulama dan tidak sah dan berdosa siapa yang sengaja sembahyang fardhu dengan tidak berdiri melainkan kerana uzur.

Olih kerana qiam adalah rukun sembahyang maka siapa yang terlupa qiam maka solatnya tetap tidak sah sekali pun tidak berdosa kerana lupanya.

Syarat sah berdiri ialah tegak belakangnya sekira-kira dinamakan berdiri tegak.

Jika berdiri bongkok atau condong sekira-kira tidak dinamakan berdiri tegak pada hal mampu ia berdiri tegak maka tidak sah kerana tidak sempurna syarat sahnya qiam samada condongnya itu ke depan atau belakang atau kiri atau kanan.

Jika berdiri yang tidak berapa tegak sedangkan mampu ia berdiri tegak maka sah tetapi makruh hukumnya.

Sah orang yang hanya bolih berdiri dengan bersandar pada umpama dinding atau tiang atau dengan memegang umpama tongkat atas qaul yang mengatakan sahnya.

Berkata Imam Syafie :

فَإِنْ لَمْ يَقْدِرْ عَلَى ذَلِكَ إلَّا بِأَنْ يَعْتَمِدَ عَلَى شَيْءٍ اعْتَمَدَ عَلَيْهِ مُسْتَوِيًا، أَوْ فِي شِقٍّ

Artinya : “Maka jika dia tidak mampu qiam melainkan dengan berpegang atas sesuatu maka bolih berpegang atasnya secara tegak atau pada sebelahnya.” (Kitab Al-Umm)

Begitu juga sah orang yang tidak bolih berdiri atas kedua kakinya kerana salah satu kakinya sakit lalu sembahyang ia dengan terangkat kaki yang sakit itu.

Qiam menjadi rukun sembahyang hanyalah pada sembahyang fardhu termasuk sembahyang jumaat.

Adapun sembahyang sunat maka qiam tidak menjadi rukun sembahyang maka harus seseorang yang sembahyang sunat dengan duduk sekali pun dia tidak uzur.

Imran bin Husein r.a. meriwayatkan sabda Nabi saw berkenaan orang yang sembahyang sunat dalam keadaan duduk :

مَنْ صَلَّى قَاعِدًا، فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ القَائِمِ

Artinya :“Sesiapa yang sembahyang dalam keadaan duduk maka baginya separuh pahala orang yang sembahyang berdiri”. (Hadith Bukhari)

Maksud separuh pahala itu ialah separuh dari pahala penuh jika dia sembahyang sunat dalam keadaan berdiri.

Maka haruslah orang yang ketiadaan uzur sembahyang sunat dhuha, tarawih, istikharah, hajat, tasbih, witir dan lainnya dalam keadaan duduk.

Tiadalah bolih diingkari perbuatan seseorang yang sihat sembahyang sunat dalam keadaan duduk kerana ianya jelas diharuskan olih syarak. Mengingkari perbuatan seseorang ialah apabila melakukan sesuatu yang haram.

Tetapi afdhal orang yang tiada uzur sembahyang sunat dalam keadaan berdiri kerana melihat kepada pahala penuh yang didapat jika sembahyang berdiri.

Sembahyang Duduk

Barangsiapa yang ada padanya keuzuran berdiri maka harus hukumnya dia sembahyang fardhu dalam keadaan duduk.

Firman Allah Taala :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Artinya : “Tiadalah Allah memberati seorang kamu melainkan apa yang ia mampu.” (Al-Baqarah : 286)

Sabda Rasulullah saw :

صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Artinya : “Sembahyanglah kamu dalam keadaan berdiri. Maka jika kamu tidak mampu berdiri maka sembahyanglah dalam keadaan duduk. Maka jika kamu tidak mampu duduk maka sembahyanglah kamu dalam keadaan berbaring.” (Hadith Bukhari)

Maka siapa yang tidak mampu sembahyang fardhu dalam keadaan berdiri disebabkan ada uzur maka sah ia sembahyang dalam keadaan duduk.

Orang yang telah menunaikan sembahyang fardhu secara duduk dari kerana ada keuzuran telah pun sah sembahyangnya dan tidak perlu lagi mengulanginya.

Antara contoh keuzuran yang membolihkan seorang itu sembahyang fardhu dalam keadaan duduk ialah :

– Seorang yang sedang sakit yaitu sakit yang bersangatan seperti sakit sampai tidak bolih berdiri atau jika ia berdiri juga maka teramat sakit hingga mengganggu khusyuknya atau sakitnya bertambah parah atau seumpamanya. Tiada sah sembahyang duduk orang yang sakit sedikit sekira-kira masih bolih berdiri atau sakit yang dia bolih menahannya jika dia berdiri.

– Seorang yang takut jatuh jika sembahyang dalam keadaan berdiri seperti seorang yang sembahyang di atas perahu maka jika berdiri dibimbangi jatuh ke dalam laut atau jatuh ke dalam gaung bagi yang sembahyang di tepi lereng gunung atau seumpamanya.

Orang yang sembahyang duduk kerana uzur samada sembahyang fardhu atau sunat mendapat pahala yang penuh tidak sebagaimana sembahyang sunat dengan duduk orang yang mampu berdiri yaitu hanya mendapat separuh pahala.

Sabda Rasulullah saw :

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيْمًا صَحِيْحًا

Artinya : “Apabila seorang itu sakit atau dalam musafir maka ditulis pahala baginya sama seperti yang dia lakukan ketika mukim dan ketika sihat.” (Hadith Bukhari)

Cara duduk yang paling afdhal ialah duduk iftirasy menurut qaul yang paling sahih.

Jika dia hanya tidak mampu berdiri sahaja tetapi mampu melakukan rukun sembahyang yang lain maka sah ia duduk sebagai ganti bagi qiam tetapi wajib ia lakukan rukun yang lain seperti rukuk dan sujud seperti biasa kerana yang diberi kelonggaran hanyalah apa yang tidak mampu dilakukan seperti biasa. Apa yang mampu dilakukan maka wajib dilakukan seperti biasa.

Sabda Rasulullah saw :

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُواْ مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Artinya : “Dan apabila aku menyuruh kamu dengan suatu perintah maka kerjakanlah daripadanya apa yang kamu mampu.” (Hadith Muslim)

Berkata Imam Syafie :

وَإِذَا لَمْ يُطِقْ الْقِيَامَ صَلَّى قَاعِدًا وَرَكَعَ وَسَجَدَ إذَا أَطَاقَ الرُّكُوعَ وَالسُّجُودَ

Artinya : “Dan apabila tidak mampu seorang itu berdiri maka sembahyanglah dalam keadaan duduk kemudian rukuk dan sujud (seperti biasa) jika ia mampu rukuk dan sujud .” (Kitab Al-Umm)

Orang yang uzur berdiri dan rukuk tetapi mampu sujud seperti biasa maka hendaklah ia sembahyang duduk ganti kepada berdiri dan rukuk dengan isyarat dan wajib turun sujud seperti biasa.

Adapun bacaan-bacaan sembahyang seperti takbir, iftitah, Fatihah dan lain-lain maka dikerjakan semuanya tidak digugurkan yang rukunnya dan yang sunatnya.

Orang yang tidak mampu berdiri, tidak mampu rukuk dan tidak mampu sujud maka hendaklah ia sembahyang duduk kemudian rukuk dan sujud dengan isyarat yaitu menundukkan kepala. Ketika sujud kepala hendaklah lebih rendah dari ketika rukuk.

Orang yang mampu berdiri separuh sahaja maka wajib ia sembahyang berdiri kemudian pada separuh lagi ia sembahyang duduk.

Begitu juga orang yang hanya mampu sembahyang berdiri pada rakaat pertama sahaja maka wajib ia sembahyang berdiri dahulu ketika ia mampu itu dan pada rakaat yang lain ia sembahyang duduk.

Maka jika dia sembahyang duduk pada rakaat pertama kerana akan duduk juga pada rakaat yang lain pada hal pada rakaat pertama itu ia sihat maka tidak sah sembahyangnya.

Orang yang sembahyang duduk pada separuh sembahyang kemudian hilang uzurnya maka wajib ia selesaikan baki separuh lagi sembahyangnya itu dengan berdiri.

Tidak sah sembahyang apabila hilang uzur tetapi masih sembahyang seperti sedang uzur. Yang dimaafkan bagi meninggalkan rukun yang asal hanyalah pada ketika ada uzur dan kesukaran kerana qaidah yang berbunyi :

المشقة تجلب التيسير

Artinya : “Kesukaran itu memberikan kelonggaran”

Maka jika sudah hilang kesukaran pada seseorang maka tidak lagi ia diberikan kelonggaran.

Jika imam sembahyang duduk kerana tidak mampu berdiri maka makmum yang tidak uzur wajib sembahyang berdiri. Tetapi afdhal menjadi imam orang yang sihat dalam keadaan berdiri.

Sembahyang Atas Kerusi

Telah lalu sebutan bahawa siapa yang tidak mampu berdiri maka harus ia sembahyang dalam keadaan duduk. Duduk yang paling afdhal ialah di atas lantai yaitu duduk iftirasy.

Jika kepayahan untuk duduk di atas lantai maka harus ia duduk di atas kerusi.

Bagi yang sembahyang di atas kerusi kerana tidak mampu berdiri maka wajib ia kerjakan semua rukun-rukun yang lain dengan sempurna.

Contohnya jika dia mampu rukuk dan sujud seperti biasa maka wajib ia bangun untuk rukuk dan turun sujud seperti biasa yaitu tidak sah ia rukuk dan sujud di atas kerusi kerana yang dimaafkan ia lakukan di atas kerusi hanyalah berdiri sahaja.

Jika dia tidak mampu turun sujud tetapi mampu bangun untuk rukuk maka wajib ia bangun dari kerusi untuk melakukan rukuk seperti biasa kemudian dia duduk di atas kerusi untuk iktidal kemudian ia sujud di atas kerusi sahaja dengan menundukkan kepala.

Jika pada rakaat pertama ia sembahyang di atas kerusi kerana tidak mampu berdiri kemudian hilang sakitnya pada rakaat yang kedua maka wajib ia berdiri dan jika ia tetap sembahyang di atas kerusi lagi pada rakat tersebut maka batal sembahyangnya.

Kaki kerusi yang di belakang hendaklah sebaris dengan tumit para jemaah yang lain jika ia melakukan semua rukun sembahyang di atas kerusi pada masalah sembahyang berjemaah.

Adapun jika dia hanya duduk di atas kerusi ketika qiam sahaja manakala ketika rukuk dan sujud dia lakukan seperti biasa maka hendaklah tumitnya sebaris dengan tumit jemaah yang lain dan jika bolih hendaklah ia berada di saf paling belakang atau tepi supaya tidak mengganggu orang yang sembahyang di belakangnya.

Rukun Solat yang Ketiga : Takbiratul Ihram

Rukun Solat Ketiga : Takbiratul Ihram

Arti takbir ialah mengucapkan lafaz اللهُ أَكْبَرُ . Dan arti ihram ialah mengharamkan. Maka dinamakan takbir memulakan sembahyang ini dengan nama takbiratul ihram kerana dengan takbir tersebut maka jadi haramlah segala perkara yang halal sebelum takbir. Makan minum, berjalan, berbual dan seumpamanya adalah halal sebelum melafazkan takbir tersebut.

Apabila seseorang itu telah melafazkan takbiratul ihram maka haramlah ia makan minum, berjalan, berbual dan lain-lain yang asalnya tidak diharamkan.

Maksud haram makan minum dan seumpamanya itu ialah orang yang sudah melafazkan takbiratul ihram untuk sembahyang lalu ia makan minum atau berbual maka dia telah melakukan suatu yang haram dan berdosa jika dengan sengaja dan batallah sembahyangnya itu.

Ali bin Abi Talib r.a. berkata Rasulullah saw bersabda :

مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Artinya : “Kunci sembahyang itu adalah bersuci dan mengharamkan itu ialah takbir dan menghalalkan itu ialah memberi salam.” (Hadith Tirmizi & Abu Daud)

Hikmah disyariatkan mengucap takbir bagi tiap-tiap sembahyang itu ialah supaya kita ingat bahawa segalanya yang wujud pada alam ini adalah milik Allah tidak ada satu pun yang milik kita maka wajib patuh kepada-Nya dan supaya kita ingat bahawa Allah lebih besar dari segala kerajaan yang ada pada alam ini maka tidak bolih melebihkan hukum manusia daripada hukum Allah.

Wajib melafazkan takbiratul ihram untuk memulai sembahyang fardhu atau sunat adalah dengan ijmak ulama kerana mengikut bagaimana sembahyangnya Rasulullah saw.

Dari Abdullah Bin Umar r.a. berkata:

رَأَيتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم افْتَتَحَ التَّكبِيرَ فِي الصَّلاَةِ

Artinya : “Aku telah melihat akan Nabi saw memulakan lafaz takbir pada sembahyang.” (Hadith Bukhari)

Diriwayatkan dari Wail bin Hujr r.a. :

أَنَّهُ رَأَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- رَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ دَخَلَ فِى الصَّلاَةِ كَبَّرَ

Artinya : “Beliau melihat Rasulullah saw mengakat dua tangannya ketika masuk ke dalam sembahyang dan Baginda bertakbir.” (Hadith Muslim)

Dan Rasulullah saw pernah bersabda :

إذا قُمتَ إلى الصَّلاةِ فأسْبِغ الوُضُوءَ، ثم اسْتقبل القِبْلةَ فكبِّر

Artinya : “Apabila kamu mahu kerjakan sembahyang maka sempurnakanlah wuduk kemudian mengadap kiblat kemudian hendaklah kamu bertakbir.” (Hadith Muslim)

Maka takbiratul ihram yakni menyebut اللهُ أَكْبَرُ adalah rukun sembahyang yaitu rukun qauli yang tidak bolih ditinggalkan.

Siapa yang tidak mengucapkan takbir maka tidak sah sembahyangnya samada sengaja atau tidak.

Syarat Sah Takbiratul Ihram

1. Wajib dengan lafaz اللهُ أَكْبَرُ

Hanya lafaz اللهُ أَكْبَرُ dinamakan sebagai takbir. Maka siapa yang tidak menyebut lafaz اللهُ أَكْبَرُ maka tidak sah sembahyangnya kerana itu tidak dinamakan takbir. Begitu juga tidak sah kalau hanya menyebut الله sahaja atau hanya menyebut أَكْبَرُ sahaja juga tidak sah kerana makna takbir ialah dengan menyebut kedua-dua kalimah yaitu اللهُ dan أَكْبَرُ

Jika sedang seorang sedang sembahyang lalu teringat bahawa tadi ia tidak bertakbir dengan lafaz yang betul maka batal sembahyangnya dan begitu juga jika teringat selepas selesai sembahyangnya maka sembahyangnya tadi adalah tidak sah maka wajib diulangi sembahyangnya itu.

2. Takbir Ketika Berdiri

Disyaratkan pula mengucapkan takbir itu dalam keadaan qiam yaitu berdiri terlebih dahulu.

Ibnu Umar r.a. berkata :

كان رسول الله صلى الله عليه و سلم إذا قام للصلاة

Artinya : “Adalah Rasulullah saw apabila baginda berdiri untuk mengerjakan sembahyang.” (Hadith Muslim)

Maka tidak sah jika bertakbir dalam keadaan berdiri yang tidak tegak seperti bongkok atau senget yang banyak.
Begitu juga tidak sah takbir sambil berjalan masuk ke dalam saf sekali pun hanya sedikit lagi kakinya akan sampai ke tempat berdiri itu.

Adapun orang yang berlaku keuzuran baginya untuk berdiri maka bertakbirnya ialah dalam keadaan yang ia mampu.

3. Mengadap Kiblat

Wajib mengadap kiblat dengan yakin atau zhan pada keseluruhan ucapan takbirnya. Jika sebahagian takbir diangkat dalam keadaan tidak mengadap kiblat dan separuh lagi takbir dengan mengadap kiblat maka sembahyangnya tidak sah.

Sabda Rasulullah saw :

ثم اسْتقبل القِبْلةَ فكبِّر

Artinya : “kemudian mengadap ia akan kiblat kemudian bertakbirlah.” (Hadith Muslim)

4. Beserta Dengan Niat

Hendaklah ketika mengucapkan takbir itu penyertaan niat mengerjakan sembahyang di dalam hati. Keterangan tentang niat telah lalu sebutannya pada rukun yang pertama yaitu niat. Jika takbir ia dengan tidak ada niat maka tidak sah sembahyangnya.

5. Takbir Dengan Suara Yang Didengar

Maksudnya wajib diucapkan lafaz takbir itu dalam keadaan berbunyi yaitu sekurang-kurangnya didengar pada telinga sendiri.

Tersebut pada Kitab Fathul Muin:

ويجب إسماعه) أي التكبير، (نفسه) إن كان صحيح السمع

Artinya : “Dan wajib memperdengarkan akan takbir itu akan dirinya jika ia orang yang sihat.”

Maka tidak sah bertakbir dengan hanya menggerakkan bibir tanpa bunyi kerana takbiratul ihram adalah termasuk rukun qauli yang mesti berbunyi suara dan huruf-hurufnya melainkan orang yang bisu atau tercedera mulutnya sekira-kira tidak mampu berkata-kata.

Tidak sah juga orang yang bertakbir hanya berbunyi pada lafaz اللهُ sahaja manakala lafaz أَكْبَرُ tidak berbunyi.

Begitu juga tidak sah takbir yang hanya mengeluarkan bunyi angin sahaja.

Adapun takbir berbisik maka hukumnya adalah sah kerana arti berbisik itu ialah berkata-kata yang sangat perlahan tapi masih didengari dan difahami.

Penjagaan Takbiratul Ihram

Wajib menyebut kalimah takbir yaitu اللهُ أَكْبَرُ dengan berturut-turut, tertib dan betul segala hurufnya dan barisnya.

Tersebut pada Kitab Safinatun Naja :

وَ أَنْ لَا يَمُدَّ هَمْزَةَ الْجَلَالَةِ وَ عَدَمُ مَدِّ بَاءِ أَكْبَرُ وَ أَنْ لَا يُشَدِّدَ الْبَاءَ وَ أَنْ لَا يَزِيْدَ وَاوًا سَاكِنَةً أَوْ مُتَحَرِّكَةً بَيْنَ الْكَلِمَتَيْنِ ، وَ أَنْ لَا يَزِيْدَ وَاوًا قَبْلَ الْجَلَالَةِ

Artinya : “Dan disyaratkan bahawa tidak memanjangkan huruf hamzah pada permulaan lafaz Allah dan tidak memanjangkan huruf ba’ pada lafaz Akbar dan tidak mentasydidkan huruf ba’ dan tidak menambah huruf wau yang mati atau berbaris antara dua kalimah itu dan tidak menambah huruf wau sebelum lafaz Allah.”

Kerana penambahan huruf atau tasydid sebagaima tersebut adalah mengubah arti takbir tersebut.

Rukun Solat keempat : Membaca Al Fatihah

Rukun Solat keempat : Membaca AL Fatihah

Membaca surah Fatihah adalah termasuk rukun sembahyang. Maka tidak sah sembahyang fardhu atau sunat atau sebagai imam atau makmum atau sembahyang sendirian tanpa membaca surah Fatihah.

Dari Ubadah bin Shomit r.a. sungguhnya Rasulullah saw bersabda :

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ اْلكِتَابِ.

Artinya : “Tiada sembahyang bagi siapa yang tidak membaca ia akan Ummul Kitab yaitu surah Fatihah.” (Hadith Bukhari)

Jumlah ayat dalam surah Fatihah ialah tujuh ayat yaitu :

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
الْحَمْدُ لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Maka wajib orang yang sembahyang membaca kesemua tujuh ayat tersebut dan jika meninggalkan satu ayat darinya maka sembahyangnya tidak sah.

Olih kerana surah Fatihah mengandungi tujuh ayat maka dinamakan juga surah Fatihah ini dengan nama Sab’ul Mathani artinya tujuh ayat yang selalu diulang-ulang bacaannya.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

إذ قرأتم الحمد لله فاقرءوا بسم الله الرحمن الرحيم. انها أمُّ القرأن و أمُّالكتاب والسبع المثاني و بسم الله الرحمن الرحيم إحداها.

Artinya : “Apabila membaca kamu sekelian akan Alhamdulillah maka bacalah kamu sekelian akan Bismillahirrahmanirrahim. Sungguhnya ia adalah Ummul Quran dan Ummul Kitab dan Sab’ul Mathani dan Bismillahirrahmanirrahim adalah satu ayat daripadanya.” (Hadith Daruqutni & Baihaqi)

Syarat Sah Membaca Fatihah

Perlu diambil perhatian bagi orang yang sembahyang ketika membaca surah Fatihah akan syarat-syarat sahnya bacaan. Apabila syarat tidak dipenuhi maka bacaan Fatihahnya adalah tidak sah.

1. Tertib

Artinya ialah hendaklah dibaca setiap ayat dari surah Fatihah ini dengan tertib yaitu dibaca ayat yang pertama kemudian ayat yang kedua kemudian ayat yang ketiga seterusnya hingga selesai.

Jika tersilap membaca ayat yang ketiga dahulu kemudian baru ia baca ayat yang kedua maka bacaannya itu tidak sah. Wajib diulangi membaca ayat yang kedua kembali kemudian wajib membaca sekali lagi ayat yang ketiga sekalipun ayat yang ketiga sudah dibacanya. Ini adalah kerana ayat yang ketiga pada bacaannya yang pertama tadi adalah tidak dikira kerana ayat yang kedua belum dibaca mengikut tertib.

2. Membaca Ketika Berdiri

Artinya ialah wajib membaca kesemua tujuah ayat dari surah Fatihah itu dari Bismillah sampai kesudahannya dalam keadaan berdiri bagi orang yang tidak mempunyai keuzuran.

Jika sebahagian ayat dibaca bukan dalam kedaan berdiri contohnya membaca ayat terakhir dalam keadaan sudah tunduk untuk rukuk maka bacaannya itu tidak sah. Wajib ia tegakkan semula badan dan ulangi ayat yang terakhir itu dalam keadaan berdiri. Jika tidak ia ulangi seperti itu maka batal sembahyangnya apabila dia rukuk.

3. Memperdengarkan Bacaan

Artinya wajib dibaca Fatihah dengan berbunyi dan mengeluarkan suara. Sekurang-kurangnya hendaklah didengar pada telinga sendiri kerana membaca Fatihah adalah rukun qauli dalam sembahyang. Telah lalu sebutnya pada Takbiratul Ihram bahawa arti rukun ialah suatu yang tidak bolih ditinggalkan. Dan arti qauli ialah lafaz yang mengeluarkan suara.

Maka tidak sah baca Fatihah didalam hati atau dengan hanya mengerakkan bibir sahaja melainkan pada masalah orang yang bisu atau orang yang cedera mulutnya tidak bolih berkata-kata.

Berkata Imam Syafie :

وَلَا يَقْرَأ بِقَلْبِهِ حَتَّى يُحَرِّكَ لِسَانَهُ

Maksudnya : “Dan tidak memadai seorang membaca dengan hatinya sehinggalah membaca pada lidahnya.” ( Kitab Mukhtasar Buwaithi )

Demikian juga tidak sah bacaan dengan mengeluarkan angin sahaja kerana ia tidak dinamakan membaca.

Sabda Rasululla saw :

في كلِّ صلاةٍ قراءةٌ

Artinya : “Pada setiap sembahyang itu ada qiraah.” (Hadith Muslim)

Arti qiraah ialah bacaan yang bersuara. Maka membaca tanpa suara tidak dikira membaca. Apabila tidak dikira membaca maka sembahyangnya adalah tidak sah.

Perlu diambil perhatian sangat pada syarat ini kerana ramai orang yang sembahyang yang tidak membaca dengan besuara langsung dan setengahnya pula hanya terdengar bunyi angin sahaja.

4. Membaca dengan Tajwid

Artinya wajib dibaca dengan surah Fatihah dengan menjaga hukum tajwid yaitu betul segala hurufnya tanpa menukar dengan huruf yang lain dan betul segala harakatnya yakni barisnya tanpa menukar baris yang lain dan membaca segala tasydid dengan betul.

Dan wajib pula memelihara segala hukum bacaan yang wajib seperti mad atau qasar, waqaf dan seumpamanya.

Contoh kesalahan menukar baris ialah :

Menukar harakat ta’ pada kalimah ‘أَنْعَمْتَ’ yang berarti ‘yang Engkau beri nikmat’ menjadi fathah lalu dibaca ‘أَنْعَمْتُ’ yang bertukar artinya menjadi ‘yang aku beri nikmat’. Maka jelas ia mengubah pengertian ayat yang haram jika disengajakan dan batal bacaan dan tidak sah solatnya.

Contoh kesalahan menukar huruf ialah :

Menukar huruf mim pada hujung kalimah ‘المُسْتًقِيْمَ’ yang berarti ‘yang lurus’ menjadi huruf nun lalu dibaca ‘المُسْتَقِيْنَ’ yang berarti ‘yang percaya’.

Maksud membaca segala tasydid dengan betul ialah wajib kalimah yang ada padanya tasydid dibaca dengan tasydid. Maka jika dibaca dengan takhfif yaitu meninggalkan tasydidnya maka hukumnya adalah haram jika dengan sengaja lagi tidak sah bacaannya. Wajib diulangi membaca semula ayat tersebut dari awal dengan bertasydid.

Segala tasydid di dalam surah Fatihah itu ada 14 tempat yaitu :

1.Tasydid huruf “Lam” pada kalimah (الله )
2. Tasydid huruf “Ra” pada kalimah ( الرّحمن )
3. Tasydid huruf “Ra” pada kalimah ( الرّحيم)
4. Tasydid huruf “Lam” pada kalimah ( الحمد لله)
5. Tasydid huruf “Ba” pada kalimah (ربّ العالمين )
6. Tasydid huruf “Ra” pada kalimah (الرّحمن )
7. Tasydid huruf “Ra” pada lafal ( الرّحيم)
8. Tasydid huruf “Dal” pada lafal (الدّين )
9. Tasydid huruf “Ya” pada kalimat ( إيّاك نعبد )
10. Tasydid huruf “Ya” pada kalimat (وإيّاك نستعين )
11. Tasydid huruf “Shad” pada kalimat ( اهدنا الصّراط المستقيم)
12. Tasydid huruf “Lam” pada kalimat (صراط الّذين )
13. Tasydid huruf “Dhad” pada kalimat (ولا الضالين)
14. Tasydid huruf “Lam” pada kalimat (ولا الضالين)

5. Berturut-turut

Wajib dibaca Fatihah dari awal sampai habis dalam keadaan berturut-turut. Maka jika berhenti sekejap kerana lelah atau mengambil nafas maka tidak mengapa.

Jika berhenti ditengah membaca dan mengambil masa yang lama maka wajib membacanya semula dari awal kerana dikira terputus dari bacaan.

Makmum Wajib Baca Fatihah

Setiap orang yang mengerjakkan sembahyang wajib ia membaca Fatihah samada dia imam atau makmum atau orang yang sembahyang sendirian.

Rasulullah saw telah bersabda :

إذا كنتم خلفي فلا تقرءوا إلا بأم القرءان

Artinya : “Apabila kamu sekelian berada di belakangku yakni menjadi makmum maka janganlah kamu membaca melainkan membaca Fatihah.” (Hadith Daruqutni)

Maka dari hadith ini tidak sah makmun yang tidak membaca Fatihah dengan alasan imam sudah membaca baginya samada pada sembahyang jahar yakni sembahyang yang dibaca dengan kuat yaitu sembahyang subuh, maghrib dan isyak atau pun sembahyang sir yakni sembahyang yang dibaca dengan perlahan yaitu sembahyang zuhur dan asar.

Ketika imam membaca Fatihah pada sembahyang jahar maka disunatkan makmum diam dahulu dari membaca Fatihah kemudian membacanya selepas imam selesai membaca Fatihah.

Dari Ubadah bin Shomit r.a. dari Nabi saw bersabda :

لعلكم تقرؤون خلف إمامكم ؟ قالوا : نعم يارسول الله ,قال :لاتفعلوا إلا بأم القرأن , فإنه لاصلاة لمن لم يقرأ بها

Artinya : “Kamu semua membaca dibelakang imam kamu? Jawab para sahabat : Benar Ya Rasulallah.
Sabda Nabi saw : Jangan kamu lakukan melainkan membaca Fatihah sahaja. Sungguhnya tiada sembahyang bagi barangsiapa yang tidak membaca Fatihah.” (Hadith Abud Daud)

Dan ketika imam membaca surah selepas Fatihah pada sembahyang jahar maka makmum hendaklah diam mendengar bacaan imam melainkan makmum yang belum membaca Fatihah maka hendaklah dia membaca Fatihah kerana hadith yang telah tersebut.

Wajib Baca Fatihah Setiap Rakaat

Wajib dibaca akan Fatihah itu pada setiap rakaat samada sembahyang fardhu atau sunat dan wajib juga ia pada sembahyang jenazah.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

في كلِّ صلاةٍ قراءةٌ

Artinya : “Pada setiap rakaat ada bacaan.” (Hadith Muslim)

Dan wajib membaca Fatihah itu bagi makmum muwafiq atau makmum masbuq. Melainkan makmum masbuq diharuskan baginya rukuk bersama imam sekalipun belum sempat membaca Fatihah sampai habis yakni sekalipun makmum masbuq baru membaca sebahagian atau separuh surah Fatihah.

Beberapa Masalah

– Jika seorang itu teringat sebelum rukuk atau semasa rukuk atau selepas dari rukuk yang dia belum membaca Fatihah maka hendaklah dia kembali kepada qiam dan membaca Fatihah dan mengulangi semua rukun yang telah dia kerjakan selepas masa qiam itu kerana semua rukun yang telah dia buat adalah tidak terkira kerana untuk mengesahkan suatu rukun mestilah sah dahulu rukun yang sebelumnya. Dalam masalah ini dia belum membaca rukun Fatihah maka segala rukun yang dikerjakan selepas itu adalah tidak sah.

– Jika seorang teringat belum membaca Fatihah selepas memberi salam maka hendaklah ia masuk semula kepada sembahyang yaitu berdiri membaca Fatihah dan mengulangi segala rukun yang telah dikerjakan selepas membaca Fatihah kemudian sunat ia sujud sahwi dua kali sebelum memberi salam.

Ini jika dia baru lagi memberi salam dan belum berkata-kata atau melakukan suatu perkara yang membatalkan sembahyang. Ada pun jika telah lama memberi salam atau telah berkata-kata atau telah melakukan suatu perkara yang membatalkan sembahyang maka wajib diulangi sembahyangnya itu dari awal.

– Jika seorang itu syak adakah dia sudah membaca Fatihah pada rakaat yang sebelum rakaat dia sedang berada sekarang maka dia dikira belum membacanya. Maka rakaat yang tersebut adalah tidak dikira kerana dia dihukumkan belum membacanya. Hendaklah dia menambah rakaat yang tidak dikira itu.

– Jika orang yang sedang membaca Fatihah berhenti sekejap kerana bersin atau batuk atau mengucapkan amin bersama imam maka tidak putus bacaannya dan harus ia menyambung semula bacaannya itu selepas tempat ia berhenti tadi dan tidak perlu diulangi dari awal.

Rukun Solat kelima : Rukuk

rukun solat ialah rukuk

Firman Allah :
وَارْكَعُواْ مَعَ الرَّاكِعِينَ

Artinya : “Dan rukuklah kamu bersama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah : 43)

Rukuk adalah termasuk dalam rukun-rukun sembahyang. Maka barangsiapa yang tidak melakukan rukuk maka sembahyangnya tidak sah dengan ijmak ulama samada sembahyang fardhu atau sunat melainkan pada sembahyang jenazah.

Jumlah rukuk untuk satu rakaat hanyalah sekali sahaja melainkan pada sembahyang sunat gerhana yaitu dua kali rukuk dalam satu rakaat.

Arti rukuk ialah menudukkan semua badan bahagian atas dari pinggang sampai kepala. Maka jika seorang itu tunduk sedikit sahaja atau tunduk banyak tetapi masih belum sampai sekurang-kurang had rukuk maka sembahyangnya adalah tidak sah.

Abu Humaid as-Sa’idi r.a. menyifatkan cara rukuk Rasulullah saw dengan katanya :

وَاِذَارَكَعَ اَمْكَنَ يَديْهِ مِنْ رُكْبَتَيْهِ

Artinya : “Dan apabila baginda rukuk maka sampai dua tangannya akan dua lututnya.” (Hadith Bukhari)

Maka difahami dari hadith teresebut sekurang-kurang had rukuk itu ialah jika berkehendak meletak tapak tangan ke atas lutut maka sudah bolih sekalipun dia tidak meletakkannya pada lutut.

Dari Uqbah bin Amir r.a. Rasulullah saw bersabda :

لاَ تُجْزِئُ صَلاَةُ الرَّجُلِ حَتَّى يُقِيْمَ ظَهْرَهُ فِي الرُّكُوْعِ وَالسُّجُوْدِ

Artinya : “Tidak memadai sembahyang seorang itu sehingga dia tegakkan bahagian belakangnya pada ketika rukuk dan sujud.’ (Hadith Abu Daud)

Ada pun orang yang uzur yang tidak mampu tunduk seperti yang disyaratkan maka wajib ia tunduk sampai ke tahap yang dia mampu sahaja tidak bolih kurang rendah daripada itu kerana dia mampu dan tidak wajib lebih rendah dari itu kerana dia uzur.

Kemudian wajib tumakninah ketika rukuk yaitu berhenti segala anggota dalam keadaan rukuk. Maka siapa yang rukuk tanpa tumakninah maka sembahyangnya tidak sah.

Rasulullah saw memberitahu kepada seorang lelaki yang tidak sah sembahyangnya kerana tidak ada tumakninah yaitu sabdanya :

ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا

Artinya : “Kemudian hendaklah kamu rukuk sehingga kamu tumakninah di dalam rukuk.” (Hadith Bukhari)

Pernah berlaku Rasulullah saw terlihat seorang yang sedang sembahyang ia rukuk tanpa tumakninah dengan sabdanya :

لَوْ مَاتَ هَذَا عَلىَ حَالِهِ هذِهِ، مَاتَ عَلَى غَيْرِ مِلَّةِ مُحَمَّدٍ، يَنْقُرُ صَلاَتَهُ كَمَا يَنْقُرُ الْغُرَابُ الدَّمَ، مَثَلُ الَّذِي لاَ يَتِمُّ رُكُوْعَهُ وَيَنْقُرُ فِي سُجُوْدِهِ مَثَلُ الْجَائِعِ الَّذِي يَأْكُلُ التَّمْرَةَ وَالتَّمْرَتَيْنِ، لاَ يُغْنِيَانِ عَنْهُ شَيْئًا

Artinya : “Jikalau orang itu mati dalam keadaan sembahyang seperti itu maka mati ia tidak di atas jalanku. Mematuk ia dalam sembahyangnya seperti orang kelaparan mematuk sebutir dua kurma. Tidak sekali-kali mencukupi daripadanya suatu pun.” (Hadith At-Tabarani & Abu Ya’la)

Jelas daripada hadith ini berdosa seorang yang sengaja rukuk tanpa tumakninah. Ada pun jika tidak sengaja meninggalkan tumakninah ketika rukuk maka tidaklah berdosa tetapi rukuknya tetap tidak sah kerana tumakninah adalah syarat sahnya rukuk.

Masalah Mengenai Rukun Solat (Rukuk)

– Jika seorang yang sudah berada pada rukun yang selepas rukuk seperti sudah iktidal atau sudah sujud lalu dia teringat belum rukuk atau rukuknya tadi tidak sah maka wajib dia ulangi melakukan rukuk dan kemudian melakukan semula semua rukun yang dia telah kerjakan tadi kembali.

– Jika seorang yang sudah berada di rakaat yang kedua lalu dia teringat bahawa pada rakaat yang pertama dia tidak rukuk atau dia rukuk tetapi tidak tumakninah dalam rukuknya itu maka hukumnya dia dikira berada pada rakaat yang pertama kerana rakaat yang pertama tanpa rukuk atau tanpa tumakninah tadi itu adalah tidak dikira. Maka wajib dia mengulangi lakukan rakaat yang kedua selepas itu.

– Jika seorang yang sedang di dalam sembahyang merasa ragu adakah sudah melakukan rukuk atau belum maka dia dikira belum melakukan rukuk maka wajib dia ualngi melakukan rukuk. Jika keraguan itu dirasakan selepas memberi salam maka tidak memberi mudharat apa-apa yakni tidak perlu mengulanginya semula.

– Jika seorang yang sedang sembahyang tersilap melakukan dua kali rukuk maka tidak membatalkan sembahyangnya kerana bukan dengan sengaja dan tidak berdosa.

– Orang yang sudah bangun dari rukuk kemudian sedar rukuknya tadi tidak sah maka wajib dia tunduk sekali lagi supaya rukuk dengan betul. Ada pun sengaja rukuk dua kali maka hukumnya haram dan batal sembahyangnya.

– Orang yang tunduk kerana mengelak dari terjahan suatu benda misalnya kemudian langsung menjadikan tunduk itu sebagai rukuk maka rukuk tersebut tidak sah kerana bukan sengaja hendak rukuk.

30 Minit Ustaz Don : Rukun Solat – Rukuk (Bhg. 2)

Rukun Solat keenam : Iktidal

rukun solat keenam iktidal

Arti iktidal ialah :

عَوْدُ الْمُصَلِّي إلَى مَا رَكَعَ مِنْهُ مِنْ قِيَامٍ أَوْ قُعُودٍ

maksudnya : “Kembalinya orang yang sembahyang kepada keadaan sebelum ia rukuk yaitu kepada qiam.”

Iktikdal ialah rukun sembahyang yang jika ditinggalkan dengan sengaja atau tidak sengaja maka tidak sah sembahyang seseorang. Cuma jika ditinggalkan iktidal dengan sengaja maka hukumnya adalah haram dan berdosa.

Antara dalil wajibnya melakukan iktidal ialah hadith yang diriwayatkan dari Aisyah r.a. katanya :

فَكَانَ اِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوْعِ لَمْ يَسْجُدْ حَتَّى يَسْتَوِىَ قَائِمًا

Artinya : “Maka adalah Nabi saw apabila mengangkat kepalanya dari rukuk tidaklah terus sujud melainkan baginda berdiri tegak terlebih dulu.” (Hadith Muslim)

Disyaratkan untuk sahnya iktidal ialah berdiri tegak semula seperti mana ia qiam sebelum rukuk. Maka jika tidak kembali berdiri tegak lalu turun sujud maka tidak sah iktidal tersebut.

Dan wajib ketika berdiri semula melakukan iktidal itu tumakninah yaitu diam segala anggota sebelum melakukan sujud. Jika belum sempat tumakninah dalam iktidal lalu turun ia sujud maka tidak sah iktidal tersebut. Wajiblah ia ulangi iktidal dengan tumakninah.

Sabda Rasulullah saw :

ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا

Artinya : “Kemudian hendaklah kamu bangun dari rukuk sehingga kamu berdiri betul dalam iktidal.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih)

Dan dari Ibnu Mas’ud r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

لَا تُجْزِئُ صَلَاةٌ لَا يُقِيمُ الرَّجُلُ فِيهَا صُلْبَهُ فِي الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ

Artinya : “Tidak memadai sembahyang yang tidak mendirikan seorang itu dalam sembahyangnya akan tulang sulbinya di dalam rukuk dan di dalam sujud.” (Hadith Tirmizi)

Jika seorang yang sedang rukuk lalu kerana terkejut dengan sebab suatu bunyi yang kuat misalnya lalu terbangun dengan tidak sengaja maka ia tidak dikira iktidal kerana iktidal disyaratkan mestilah dengan sengaja.

Masalah Berkaitan Rukun Solat Keenam Iktidal

– Jika seorang yang sedang turun kepada sujud atau sedang sujud kemudian ia teringat belum iktidal maka wajib bangun semula melakukan iktidal kemudian mengulangi turun sujud kerana sujud yang telah dilakukan tadi tidak sah kerana belum melakukan iktidal.

– Jika seorang yang sedang turun kepada sujud atau sedang sujud kemudian ia teringat bahawa iktidalnya tadi tidak ada tumakninah maka wajib ia kembali melakukan iktidal dengan tumakninah kerana tumakninah adalah syarat bagi sahnya iktidal. Tanpa melakukan syarat sah maka iktidalnya tidak sah.

– Jika sedang dalam sembahyang pada rakaat yang kedua kemudian teringat bahawa pada rakaat yang pertama dia tidak iktidal atau dia tidak tumakninah dalam iktidal maka jadilah rakaat yang kedua itu rakaat yang pertama baginya kerana rakaat pertama tadi dikira lagha sebab tidak melakukan iktidal atau meninggalkan tumakninah dalam iktidal.

– Jika selepas salam datang syak adakah sudah iktidal atau tiada maka hukumnya dia dikira sudah iktidal maka tidak perlu mengulangi sembahyang.

– Jika sudah lama masa contohnya 30 tahun dahulu dia ada sekali melakukan sembahyang tanpa iktidal maka wajib dia qadha sembahyang tersebut.

Wallahua’lam. FP UAI Original

Masalah Kedudukan Tangan Semasa I’tidal – Ustaz Azhar Idrus

Rukun Solat ketujuh : Rukuk

Rukun Solat ketujuh : RukukSujud adalah satu rukun dari rukun-rukun sembahyang dengan ijmak ulama. Tidak sah melakukan sembahyang tanpa melakukan sujud samada pada sembahyang fardhu atau sunat melainkan pada sembahyang jenazah.

Firman Allah :

وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَارْكَعُواْ مَعَ الرَّاكِعِينَ

Artinya : “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu bersama orang-orang yang rukuk.” (Al-Baqarah : 43)

Tempat sujud ialah selepas melakukan rukun iktidal. Olih itu jika belum melakukan iktidak seperti dari rukuk seorang itu terus melakukan sujud maka sujud tersebut tidak sah kerana belum melakukan rukun iktidal.

Jumlah sujud bagi setiap rakaat ialah dua kali sujud.

Jika seorang itu sengaja sujud sekali sahaja maka tidak sah sembahyangnya dan berdosa. Adapun jika tidak sengaja sujud sekali maka tidaklah berdosa tetapi sembahyangnya tetap tidak sah.

Jika di tengah sembahyang seorang itu baru teringat bahawa dia sebelum itu hanya melakukan sekali sujud maka wajib ditambah sekali lagi sujud.

Jika dia teringat itu di dalam rakaat yang kedua bahawa dia hanya sujud sekali sahaja di dalam rakaat yang pertama maka jadilah rakaat yang kedua itu sebagai rakaat yang pertama dari kerana rakaat yang pertama tadi tidak dikira sebab hanya sujud sekali sahaja. Maka wajib ia tambah serakaat lagi. Jika tidak maka sembahyangnya batal.

Jika sudah memberi salam baru teringat bahawa dia sujud sekali sahaja pada rakaat yang awal maka harus ia masuk kembali ke dalam sembahyang dan melakukan satu lagi rakaat kerana menggantikan rakaat yang tidak dikira akibat sujud sekali sahaja dan sunat ia sujud sahwi kerana terlupanya itu kemudian memberi salam.

Jika dia teringat selepas memberi salam itu bahawa pada rakaat terakhir itu dia hanya sujud sekali maka harus ia masuk semula ke dalam sembahyang dan terus melakukan sujud yang kedua yang tertinggal tadi kemudian membaca kembali tahyat akhir kemudian sunat ia sujud sahwi dan memberi salam.

Jika sudah lama memberi salam baru ia teringat ada rakaat yang dia hanya sujud sekali maka wajib dilakukan semula semua sembahyang dari awal.

Jika seorang itu syak adakah tadinya dia sujud hanya sekali atau sudah sujud dua kali maka hukumnya dikira dia baru sujud sekali sahaja dan dilakukan sebagaimana masalah yang di atas.

Sujud Dengan Tujuh Anggota

Arti sujud ialah turun meletakkan tujuh anggota ke lantai yaitu dua kaki, dua lutut, dua tapak tangan dan dahi.

Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah saw bersabda :

أمرت بالسجود على سبعة أعظم ; اليدين ، والركبتين ، والقدمين ، والجبهة

Artinya : “Aku diperintahkan dengan sujud di atas tujuh tulang yaitu dua tangan, dua lutut, dua tapak kaki dan dahi.” (Hadith Bukhari)

Jika sujud dengan kurang dari tujuh anggota tersebut maka sujudnya tidak sah. Contohnya seorang itu sujud dengan salah satu tangan tidak diletakkan di atas lantai atau salah satu dari lututnya tidak menyentuh lantai atau salah satu dari tapak kakinya tidak kena pada lantai maka sujud seperti itu adalah tidak sah.

Berkata Imam Nawawi :

فلو أخل بعضو منها لم تصح صلاته

Artinya : “Maka jika tidak kena pada lantai salah satu dari anggotanya yang tujuh itu niscaya tidak sah sembahyangnya.” (Syarah Muslim)

Tetapi jika disebabkan keuzuran seorang itu tidak dapat mengenakan kesemua tujuh anggotanya ke lantai maka sujudnya adalah sah.

Sabda Rasulullah saw :

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Artinya : “Apabila aku suruh kamu sekelian dengan satu pekerjaan maka lakukanlah daripadanya apa yang kamu mampu.” (Hadith Muslim)

Disyaratkan ketika sujud itu mengenakan hujung tapak kaki dan perut anak jari kedua kaki ke lantai kerana hadith Bukhari Nabi saw menyebut antara tujuh anggota sujud itu :

وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ

Artinya : “Dan hujung dua tapak kaki (yaitu jari-jari kaki)

Maka wajib dilipat tapak kaki ketika sujud dalam keadaan tegak sehingga kenalah ke lantai olih segala perut jari kakinya. Maka jadilah jari-jari kakinya menghadap arah kiblat.

Dari Abu Humaid As-Sa’idy r.a. mensifatkan cara sujud Rasulullah saw dengan katanya :

وَاسْتَقْبَلَ بِأَطْرَافِ أَصَابِعِ رِجْلَيْهِ الْقِبْلَةَ.

Artinya : “Dan Rasulullah saw menghadapkan dengan perut segala jari kedua kakinya ke kiblat.” (Hadith Bukhari)

Dan pada hadith riwayat Aisyah r.a. ada disebutkan :

مُسْتَقْبِلًا بِأَطْرَافِ أَصَابِعِهِ لِلْقِبْلَةِ

Artinya : “Keadaan Rasulullah saw sujud ialah dengan segala perut jari kakinya menghadap kiblat.” (Hadith Ibnu Hibban)

Jika ketika sujud perut jari kedua kakinya tidak dikenakan ke lantai maka sujudnya itu tidak sah. Begitu juga tidak sah sujud dengan cara mendirikan di atas hujung kedua jari kakinya sahaja tanpa bahagian bawah jari kakinya kena pada lantai.

Sujud Dengan Hidung

Jika seorang itu sujud tanpa mengenakan dahinya hanya hidungnya sahaja yang kena pada lantai maka sujudnya itu tidak sah kerana disyaratkan pada sujud itu ialah mengenakan dahi pada lantai.

Di dalam hadith2 tentang sujud dengan tujuh tulang mensyaratkan kena anggota dahi ketika sujud manakala tambahan lafaz hidung itu menunjukkan perintah yang sunat.

Jika seorang itu sujud hanya mengenakan dahinya sahaja tanpa terkena hidungnya juga pada lantai maka sembahyangnya adalah sah cuma sunat hukumnya mengenakan sama akan hidung ke lantai ketika sujud. Inilah pendapat jumhur ulama muktabar.

Sujud Dengan Dahi Berlapik

Tidak mengapa ketika sujud anggota sujud dalam keadaan berlapik melainkan dahinya sahaja.

Olih itu sah sujud dalam keadaan kakinya berlapik seperti memakai setokin atau kasut atau kakinya berlapik dengan kain yang dipakai.

Dan sah juga sujud dalam keadaan dua tapak tangannya berlapik seperti memakai sarung tangan atau berlapik dengan pakaian yang dipakainya.

Ada pun dahi maka disyaratkan keadaannya terbuka yakni tidak bolih berlapik ketika melakukan sujud.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

ﻭﺷﺮﻃﻪ ﻋﺪﻡ اﻟﺴﺠﻮﺩ ﻋﻠﻰ ﺷﻲء ﻣﺤﻤﻮﻝ ﻟﻪ ﺃﻭ ﻣﺘﺼﻞ ﺑﻪ ﺑﺤﻴﺚ ﻳﺘﺤﺮﻙ ﺑﺤﺮﻛﺘﻪ ﻓﻲ ﻗﻴﺎﻣﻪ ﺃﻭ ﻗﻌﻮﺩﻩ ﻓﺈﻥ ﺳﺠﺪ ﻋﻠﻴﻪ ﻋﺎﻣﺪا ﻋﺎﻟﻤﺎ ﺑﻄﻠﺖ ﺻﻼﺗﻪ ﻭﺇﻻ ﻟﺰﻣﻪ ﺇﻋﺎﺩﺓ اﻟﺴﺠﻮﺩ

Artinya : “Dan disyaratkan pada sujud itu tidaklah ia sujud atas suatu yang dipakainya atau suatu yang bersambung dengannya dengan sekira-kira bergerak suatu itu dengan sebab geraknya pada ketika berdiri atau duduknya.. Maka jika ia sujud di atasnya dengan sengaja lagi pula tahu maka batal sembahyangnya. Dan jika tidak sengaja maka wajib dia ulangi sujud.” (Kitab Minhajul Qawim)

Difaham dari itu maka tidak sah jika ketika sujud dahi berlapik dengan rambut, kopiah, serban, jilbab, lengan baju atau seumpamanya.

Jika dia sujud di atas pakaiannya yang sudah tidak dipakainya seperti sebelum sembahyang dia meletakkan serbannya di atas lantai sebagai hamparan maka sah dia sujud atas serbannya itu.

Yang disyaratkan kena bahagian dahi ketika sujud ke lantai ialah sebahagian dahi bukan semua dahi.

Olih itu jika seorang itu sujud dalam keadaan hanya sebelah dahinya sahaja yang kena pada lantai maka sujudnya itu sah. Tetapi afdhal dikenakan semua bahagian dahi ketika sujud jika tiada uzur.

Ada pun jika berlaku keuzuran seperti dahinya ada tampalan sebab luka maka wajib dikenakan bahagian dahi yang tiada tampalan pada lantai kerana yang demikian itu adalah di dalam kemampuannya.

Tetapi jika semua bahagian dahinya ada tampalan maka perlu dilihat terlebih dahulu adakah bolih ditanggalkan tampalan tersebut sekejap untuk melakukan sembahyang atau tidak. Jika bolih ditanggalkan maka wajib ditanggalkan dan jika kesukaran atasnya menanggalkannya maka dimaafkan baginya sujud di atas tampalan tersebut kerana qaedah yang berbunyi :

المشقة تجلب التيسير

Artinya : “Kesukaran itu memberikan kelonggaran hukum.”

Demikian lagi diberi kelonggaran orang yang tidak mampu sujud di atas lantai bahawa dia sujud dengan isyarat dengan cara menundukkan kepalanya.

Punggung Tinggi Dari Kepala

Dan disyaratkan ketika sujud itu hendaklah tegak punggungnya dan tinggi dari kepala.

Daripada Abu Mas’ud r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

لاَ تُجْزِئُ صَلاَةٌ لاَ يُقِيمُ الرَّجُلُ فِيهَا صُلْبَهُ فِى الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ

Artinya : “Tidak memadai sembahyang olih seorang yang tidak menegakkan sulbinya (yakni belakangnya) ketika rukuk dan ketika sujud.” (Hadith Tirmizi)

Tumakninah

Dan seperti pada rukun fi’li yang lain diwajibkan tumakninah ketika melakukan sujud.

Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah saw bersabda :

ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Artinya : “Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu tumakninah di dalam sujud.” (Hadith Bukhari)

Jika sengaja sujud tanpa ada tumakninah maka sembahyangnya tidak sah dan jika tidak sengaja maka wajib diulangi sujud dengan tumakninah.

Cara Sujud Yang Betul – Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz & Ustaz Azhar Idrus

Rukun Solat kelapan : Duduk Antara 2 Sujud

 Duduk Antara Dua Sujud

Duduk antara dua sujud adalah termasuk rukun sembahyang yaitu rukun fi’li. Maka tidak sah sembahyang jika tidak melakukan duduk antara dua sujud ini.

Dinamakan sebagai duduk antara dua sujud kerana tempatnya ialah antara dua kali sujud sembahyang. Duduk inilah yang memisahkan antara dua sujud sembahyang.

Disyaratkan bagi sahnya duduk antara dua sujud ini tumakninah.

Sabda Rasulullah saw :

ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا

Artinya : “Kemudian hendaklah kamu bangun dari sujud sehingga kamu tumakninah di dalam duduk.” (Hadith Bukhari)

Olih yang demikian jika duduk seorang selepas sujud yang pertama belum sempat tumakninah di dalamnya lalu sujud pula yang kedua maka sujud yang kedua itu tidak sah kerana belum melakukan duduk antara dua sujud dengan betul. Wajib ia ulangi duduk dengan tumakninah kemudian sujud semula. Jika tidak maka batal sembahyangnya.

Jika selesai memberi salam contohnya seorang itu baru teringat tidak melakukan duduk antara dua sujud atau tidak tumakninah dalam duduk antara dua sujud maka hendaklah ia masuk semula ke dalam sembahyang dan melakukan satu rakaat kemudian selepas tahyat akhir sunat ia sujud sahwi kemudian memberi salam.

Tetapi jika sudah lama memberi salam baru ia teringat tidak melakukan duduk antara dua sujud atau tidak tumakninah dalam duduk antara dua sujud tadi maka wajib diulangi semua sembahyang dari awal.

Wallahua’lam. FP UAI Original

Rukun Solat kesembilan & kesepuluh : Duduk Tahiyat Akhir dan Membaca Tahiyat Akhir

Duduk Tahiyat Akhir dan Membaca Tahiyat Akhir

DUDUK TAHYAT AKHIR

Selepas sujud yang kedua pada rakaat yang terakhir maka hendaklah duduk untuk membaca tahyat akhir. Duduk ini adalah rukun sembahyang. Duduk ini dinamakan juga dengan duduk tasyahhud akhir.

Tempatnyanya ialah pada rakaat kedua semabhyang subuh dan rakaat keempat sembahyang zuhur dan rakaat keempat sembahyang asar dan rakaat ketiga sembahyang maghrib dan rakaat keempat sembahyang isya.

Yang wajib ialah duduk pada tahyat akhir sementara bagaimana cara duduknya maka ia adalah sunat bukannya rukun.

MEMBACA TAHYAT AKHIR

Kemudian hendaklah melakukan rukun yang seterunya yaitu membaca tahyat akhir atau tasyahhud akhir. Dinamakan tahyat kerana adalah lafaz tahiyyah dalam bacaan tahyat dan dinamakan tasyahhud kerana ada lafaz syahadah dalam bacaan tersebut.

Membaca tahyat akhir adalah rukun sembahyang yaitu rukun qauli dan lafaznya ialah :

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ
السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

Diriwayatakan daripada Ibnu Abbas r.a. katanya Rasulullah saw mengajar kami akan bacaan tahyat :

التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ، الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ، السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

artinya :

“Bermula segala kehurmatan dan segala keberkatan dan segala kebajikan dan segala kebaikkan adalah bagi Allah. Salam sejahtera atas kamu wahai Nabi serta rahmat Allah dan keberkatannya. Salam sejahtera hendaknya atas kami dan atas sekelian hamba Mu yang solih. Aku bersaksi sungguhnya tiada tuhan selain Allah dan aku bersaksi sungguhnya Nabi Muhammad itu utusan Allah.

(Hadith Muslim & Abu Daud)

Syarat Sah Membaca Tahyat

1. Dibaca ketika sudah duduk. Maka jika mula dibaca ketika belum lagi duduk dengan betul bagi tahyat maka bacaannya itu tidak sah.

2. Hendaklah mendengar pada telinganya semua bacaan dari awal sampai akhir. Jika hanya digerakkan bibir tanpa
bersuara maka tidak sah.

3. Membaca dengan betul segala lafaz dengan menjaga sebutan huruf dan barisnya.

4. Membaca secara tertib sebagaimana yang datang dalam hadith di atas.

Jika sebelum memberi salam atau selepas memberi salam baru teringat tidak membaca tahyat akhir atau tertinggal sebahagian bacaan dalam tayhat akhir maka hendaklah masuk semula ke dalam sembahyang dan membaca semula semua bacan tahyat akhir kemudian sujud sahwi dua kali sebelum salam kemudian memberi salam. Ini jika baru lagi masa memberi salam dan belum membuat perkara yang membatalkan sembahyang.

Adapun jika sudah lama memberi salam atau sudah melakukan perkara yang membatalkan sembahyang baru teringat tidak membaca tahyat akhir maka wajib diulangi semua sembahyang dari awal.

Wallahua’lam

Rukun Solat yang ke Sebelas : Membaca Selawat

Rukun Solat yang ke Sebelas Membaca Selawat

Membaca selawat ke atas Nabi saw dalam tahyat akhir adalah termasuk rukun sembahyang yaitu rukun qauli.

Tidak sah sembahyang jika tidak membacanya di dalam tahyat akhir sekalipun dengan tidak sengaja.

Dari Abu Mas’ud al-Badri r.a. katanya sungguhnya para sahabat pernah bertanya : “Wahai Rasulullah. Adapun mengucapkan salam telah kami ketahui lalu bagaimanakah kami berselawat kepadamu apabila kami ingin berselawat di dalam sembahyang kami?”

Maka Rasulullah saw menjawab : Ucapkanlah :

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

“Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad” (Hadith Muslim)

Berkata Imam Syafie :

فلم يكن فرض الصلاةَ عليه في مَوْضِع أولى منه في الصلاةِ ووجدْنَا الدَّلَالَةَ عن رسول الله صلى الله عليه وسلم بِمَا وَصَفَتْ من أن الصلاةَ على رسولِه صلى الله عليه وسلم فرض في الصلاةِ

Artinya : Maka tidak ada tempat yang lebih utama daripadanya untuk berselawat selain di dalam sembahyang sebagaimana yang disyaratkan oleh Rasulullah saw bahwa berselawat kepadanya ketika sembahyang adalah wajib.”(Kitab Al-Umm)

Barangsiapa yang teringat sebelum memberi salam bahawa dia terlupa membaca selawat maka hendaklah membaca selawat kemudian baru memberi salam.

Jika lupa ia lalu memberi salam kemudian teringat belum membaca selawat maka hendaklah masuk kembali ke dalam sembahyang dan membaca selawat kemudian sujud sahwi dua kali kemudian memberi salam.

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

Ini jika baru lagi dia memberi salam dan belum melakukan perkara yang membatalkan sembahyang. Adapun jika sudah lama memberi salam atau sudah melakukan perkara yang membatalkan sembahyang maka wajib dilakukan sembahyang semua sekali dari awal.

Sekurang-kurang selawat yang memadai dibaca sebagai rukun ialah :

اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Dan yang lebih dari lafaz sekurang-kurang ini adalah sunat. Olih itu jika seorang yang hanya membaca selawat اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ sahaja kemudian memberi salam maka sembahyangnya telah sah.

Wallahua’lam

Rukun Solat yang ke Dua belas : Memberi Salam

Rukun Solat yang ke Dua belas Memberi Salam

Mengucapkan salam pada akhir sembahyang adalah termasuk rukun sembahyang. Tempatnya ialah selepas membaca selawat dalam tahyat akhir.

Salam adalah rukun pada semua sembahyang samada sembahyang fardhu, sunat dan sembahyang jenazah.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a. Rasulullah saw bersabda :

مفتاح الصلاة الطهور ، وتحريمها التكبير ، وتحليلها التسليم

Artinya : “Bermula anak kunci bagi sembahyang itu ialah bersuci dan tahrimnya adalah takbir dan tahlilnya adalah memberi salam.” (Hadith Abud Daud & Tirmizi)

Maka tidak sah sembahyang yang tidak ada padanya memberi salam samada dengan lupa atau dengan sengaja. Jika terlupa seorang daripada memberi salam sedangkan baru lagi masanya dengan sembahyangnya itu maka hendaklah ia memberi salam.

Adapun jika sudah lama selepas sembahyangnya baru ia teringat ia tidak memberi salam maka wajib diulangi semua sembahyangnya dari awal.

Sekurang-kurang memberi salam yang sudah dikira sah ialah berkata السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ walau pun hanya sekali tanpa berpaling.

Dan ucapan salam yang paling afdhal ialah السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ.

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata :

أَنَّهُ كَانَ يُسَلِّمُ عَنْ يَمِينِهِ وَعَنْ يَسَارِهِ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ.

Artinya : “Sungguhnya Nabi saw adalah baginda memberi salam pada kanan dan kirinya akan ucapan السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ.” (Hadith Tirmizi)

Disyaratkan pada sahnya memberi salam hendaklah didengar pada telinganya sendiri. Olih itu jika tidak didengar seperti hanya mengerakkan bibirnya sahaja maka tidak sah kerana salam adalah rukun qauli yang mesti berbunyi dan bersuara.

Dan sekurang lafaz salam itu ialah اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ . Jika kurang daripada itu seperti hanya diucapkan اَلسَّلاَمُ sahaja maka tidak memadai.

Selepas selesai mengucapkan salam maka ia dikira selesai dari sembahyangnya maka jika berlaku hadas selepas selesai memberi salam maka tidaklah batal sembahyangnya kerana dengan ucapan salamnya itu ia sudah keluar dari sembahyang.

Jika ia sudah mula memberi salam tetapi belum lagi selesai dari ucapan salamnya itu lalu datang hadas maka batal sembahyangnya.

Jika pada penghujung salamnya itu datang hadas maka sembahyangnya tidak batal kerana hadas datang serentak dengan selesai mengerjakan sembahyang.

error: Content is protected !!