Apa Syarat Sah Sembahyang Yang Wajib Kita Tahu?

Apa Syarat Sah Sembahyang Yang Wajib Kita Tahu?

1. Suci Dari Hadas Besar & Hadas Kecil

Arti syarat ialah suatu yang mesti ada untuk mengesahkan suatu ibadat yang mana tanpa adanya syarat maka ibadat tersebut menjadi tidak sah.

Arti hadas besar ialah halangan yang dibangsakan kepada syarak yang ada pada sekelian badan yang dengan sebab adanya itu menghalang dari sahnya sembahyang. Orang yang berhadas besar dianggap tidak suci di sisi syarak. Apabila dia melakukan mandi yang wajib maka terangkatlah halangan tersebut dan jadilah dia orang yang suci.

Manakala hadas kecil pula ialah berlaku perkara yang membatalkan wuduk pada seseorang yang mana anggotanya yang wajib disucikan hanyalah muka, tangan kepala dan kaki. Hadas kecil juga adalah penghalang bagi sahnya sembahyang. Orang yang berhadas kecil juga termasuk orang yang tidak suci maka apabila dia mengambil wuduk maka terangkatlah halangan tersebut dan jadilah dia orang yang suci.

Firman Allah Taala :

وَاِنْ كَنْتُمْ جُنُبًافَاطَّهَّرُوْا

Artinya: “Dan jika kamu sekelian dalam keadaan junub maka hendaklah kamu semua mandi.” ( Al-Maidah : 6)

Rasulullah saw bersabda :

لَايَقْبَلُ اللهُ صَلَاةَ اَحَدِكُمْ اِذَااَحْدَثَ حَتّٰى يَتَوَضَّأُ

Artinya : “Tidak menerima olih Allah akan sembahyang seorang kamu apabila dia telah berhadas sehinggalah dia mengambil wuduk.” (Hadith Bukhari dan Muslim)

Maka orang yang berhadas besar atau kecil wajiblah dia bersuci apabila mahu mengerjakan sembahyang. Jika dia berhadas besar maka bersucinya ialah dengan melakukan mandi. Dan jika dia berhadas kecil maka bersucinya itu ialah dengan berwuduk.

Orang yang tidak bolih bersuci dengan air diwajibkan dia bertayammum dengan debu tanah sebagai pengganti bersuci dengan air.

Apabila suci dari hadas itu adalah syarat sahnya sembahyang maka barangsiapa yang sembahyang tanpa bersuci maka sembahyangnya itu tidak sah samada dengan sengaja atau sebab lupa. Cuma yang sembahyang dalam keadaan berhadas sebab lupa itu tidak berdosa dan wajiblah diulangi sembahyangnya itu dengan bersuci terlebih dahulu jika dia teringat.
Tetapi jika dia tidak mengingatinya sampai dia mati maka tidaklah dituntut ke atasnya di akhirat nanti.

Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya :

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلم قَالَ : إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِيْ عَنْ أُمَّتِي : الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Artinya : “Sungguhnya Rasulullah saw bersabda : Bahawasanya Allah memaafkan dari umatku yang tersalah atau terlupa atau yang dipaksa keatasnya.” (Hadith Ibnu Majah)

Manakala yang sengaja sembahyang dalam keadaan berhadas maka dia adalah berdosa kerana melanggar larangan agama.

Olih itu jika teringat di dalam sembahyang bahawa dia tidak bersuci maka wajib berhenti dari meneruskan sembahyang dengan segera samada sedang sembahyang sendirian atau berjemaah. Sengaja meneruskan sembahyang selepas teringat itu adalah haram dan berdosa.

Jika seorang yang mahu sembahyang dan sebelumnya dia belum lagi bersuci kemudian dia syak adakah dia sudah bersuci atau belum maka hukumnya ialah dia belum bersuci. Hendaklah dia bersuci terlebih dahulu.

Dan jika sebelumnya dia yakin sudah bersuci cuma dia syak adakah dia sudah berhadas maka hukumnya dia masih suci.

Kaedah syarak yang berbunyi :

الْيَقِنُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ

Artinya : “Suatu yang telah diyakini itu tidak hilang dengan sebab kedatangan syak.”

Seorang yang baru teringat bahawa solat yang dikerjakan sebelum itu tidak dalam keadaan bersuci maka wajiblah diulangi sembahyang tersebut dengan bersuci.

Begitu juga jika seorang baru teringat bahawa bersucinya untuk sembahyang tersebut tidak sempurna rukunnya seperti wuduknya tadi tidak membasuh muka atau tidak membasuh sebahagian jari maka wajib diulangi bersucinya dengan sempurna dan wajib pula diulangi sembahyang tersebut.

Adapun jika syak adakah bersucinya tadi betul atau tidak maka tidak mengapa dan sembahyangnya tadi telah sah.

Sunat mengulangi wuduk jika telah melakukan satu sembahyang contohnya dia telah selesai sembahyang mahgrib atau mana-mana sembahyang sunat maka bila mahu mengerjakan sembahyang isya pula sunat dia mengambil wuduk sekali lagi walau pun wuduknya belum batal.

Adapun jika dia belum menggunakan wuduk yang pertama untuk sembahyang maka tidak sunat dia mengulangi mengambil wuduk.

Jika seseorang berkata kepada kita yang sudah bersuci sebelum sembahyang atau sedang sembahyang atau selepas sembahyang bahawa kita telah berhadas maka hendaklah kita bersuci jika kita yakin pada kata-katanya itu. Jika kita tidak meyakini kata-katanya itu maka tidak perlu mengulangi bersuci.

2.Suci Badan, Pakaian & Tempat Sembahyang

2. Suci Badan, Pakaian & Tempat Sembahyang

Disyaratkan suci badan orang yang hendak sembahyang dari najis yang tidak dimaaf. Begitu juga pada pakaian sembahyang dan tempat sembahyang.

Dari Anas bin Malik r.a. dari Nabi saw bersabda :

تَنَزَّهُوْا مِنَ الْبَوْلِ، فَإِنَّ عَامَّةَ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْهُ

Artinya : “Bersucilah kamu semua dari air kencing kerana ramai yang diazab di dalam kubur disebabkan air kencing.” (Hadith Ad-Daruqutni)

Maksudnya ramai orang yang tidak teliti dalam membersihkan kencingnya lalu sembahyang ia dalam keadaan membawa najis kerana najis terkena pada kemaluan, paha atau lainnya maka jadilah dia seperti orang yang tidak sembahyang maka orang yang dikira tidak sembahyang akan di azab di dalam kubur.

Terkadang air kencing kena pada tangan atau kaki, darah, nanah atau najis-najis haiwan. Maka kurang berhati-hati bolih menyebabkan sembahyang kita tidak sah.

Seorang yang mahu mengerjakan sembahyang lalu terlihat darah pada kakinya akibat digigit lintah maka wajib dibersihkan sebelum memulakan sembahyang. Dan jika darah itu keluar semula di dalam sembahyang maka hukumnya diberi maaf.

Jika sedang sembahyang baru teringat tidak bersuci dari najis maka wajib hentikan sembahyang dengan segera untuk bersihkan najis dan ulangi sembahyang dan sengaja meneruskan sembahyang adalah haram.

Jika selepas sembahyang baru teringat belum membasuh kencing maka wajib diulangi sembahyangnya itu kerana yang pertama tadi tidak sah dari kerana melanggar syarat sahnya sembahyang yaitu suci dari najis.

Begitu juga pada pakaian apabila ada padanya najis maka sembahyang yang dikerjakan adalah tidak sah.

Firman Allah Taala :

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Artinya : “Dan pakaian kamu itu maka hendaklah kamu bersihkan.” (Al-Muddatsir : 4)

Jika seluar sudah terkena air kencing misalnya maka wajiblah dibersihkan terlebih dulu walau pun hanya setitik kerana sembahyang dengan seluar tersebut pasti tidak sah kerana telah melanggarai syarat sahnya sembahyang.

Kaum wanita pula perlu lebih teliti kerana di samping air kencing, pakaian mereka selalu terdedah dengan umpama darah haidh atau istihadah.

Bagi yang mengasuh anak yang kecil pula terdedah dengan najis kencing dan tahi kanak-kanak tersebut.

Jika sedang sembahyang lalu jatuh umpama tahi cicak ke atas seluarnya hendaklah dijatuhkan segera tahi cicak itu dari badannya dengan segera maka sah sembahyangnya.

Dan yang dimaksudkan dengan tempat sembahyang pula ialah tempat yang bersentuh dengan orang sembahyang ketika berdiri dan duduknya.

Maka hendaklah tempat dia berdiri dan duduk ketika sembahyang itu tidak ada najis. Jika ada najis di bawah sejadah atau tikar sembahyang maka tidak mengapa kerana tidak bersentuh dengan kakinya. Begitu juga najis yang ada di atas bumbung atau siling adalah tidak mengapa.

Tempat yang tidak bersentuh dengan badannya bukan termasuk tempat sembahyang. Maka jika seorang yang sedang sujud dan ada najis pada berbetulan dadanya padahal tidak pun kena pada tangannya atau kakinya maka tidak mengapa dan sah sembahyangnya itu.

Jika anak kecil yang ada di dalam seluarnya najis datang menyentuh orang yang sedang sembahyang tidak membatalkan sembahyang kerana tidak bersentuh dengan najis hanya bersentuh tangan kanak-kanak tersebut sahaja. Tetapi jika kanak-kanak itu bergantung kepada orang yang sembahyang atau duduk di atas ribanya maka hendaklah di lepaskan kanak-kanak itu dengan segera dari badannya. Jika tidak maka batallah sembahyangnya kerana dikira menanggung kanak-kanak yang membawa najis.

Wallahua’lam

3. Masuk Waktu Sembahyang

3. Masuk Waktu Sembahyang

Sembahyang fardhu yang lima ada baginya waktu. Tidak sah jika sembahyang sebelum masuk waktu.

Firman Allah Taala :

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

artinya : “Sungguhnya solat lima waktu itu adalah atas orang-orang yang beriman satu kewajipan yang mempunyai waktu.” (An-Nisak : 103)

Maka barangsiapa yang sengaja sembahyang sebelum waktu atau sengaja melambatkan sembahyang sampai habis waktu dia telah melakukan dosa melainkan pada masalah yang diharuskan syarak seperti kerana musafir atau ada padanya uzur syar’ie seperti terlupa.

Tanda Masuk Waktu Sembahyang

  • Zuhur

Masuk waktunya apabila matahari condong sedikit daripada tengah kepala ke arah terbenam dan habis waktunya apabila masuk waktu asar.

  • Asar

Masuk waktunya apabila bayang lebih panjang dari empunya bayang dan habis waktunya apabila masuk waktu maghrib.

  • Maghrib

Masuk waktunya apabila sekelian bulatan matahari terbenam ke kaki langit dan habis waktunya apabila masuk waktu isyak.

  • Isyak

Masuk waktunya apabila cahaya merah atau cerah ditempat matahari terbenam sudah hilang dan habis waktunya apabila masuk waktu subuh.

  • Subuh

Masuk waktunya apabila keluar cahaya fajar sadiq dan habis waktunya apabila keluar sedikit bulatan matahari di arah matahari naik.

Beberapa Masalah

  • Jika seorang yang hendak sembahyang tetapi tidak tahu adakah sudah masuk atau belum maka tidak bolih dia memulakan sembahyang.
  • Jika baru sedar bahawa sembahyang yang telah dikerjakan belum masuk waktu maka wajib diulangi sembahyang tersebut dan jadilah sembahyang yang telah dikerjakan itu sembahyang sunat. Manakala jika dia ada mempunya hutang sembahyang fardhu maka jadilah sembahyang tersebut sebagai qadha.
  • Jika telah masuk waktu sah seorang itu sembahyang sekalipun belum azan tetapi sembahyang selepas azan itu afdhal.
  • Jika seorang itu sembahyang selepas azan tetapi belum masuk waktu yang sebenarnya maka wajib sembahyang semula kerana sembahyang yang pertama tidak di dalam waktu dan azan itu adalah tersalah.
  • Jika seorang sembahyang serakaat kemudian masuk waktu sembahyang yang lain maka sembahyangnya adalah sah dan dikira sebagai sembahyang tunai. Tetapi jika belum sempat serakaat dia sembahyang lalu masuk waktu lain maka sembahyangnya juga sah tetapi dikira sebagai qadha.

Sabda Rasulullah saw :

مَنْ اَدْرَكَ مِنَ الصُّبْحِ رَكْعَةً قَبْلَ اَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَقَدْ اَدْرَكَ الصُّبْحَ

artinya : “Siapa yang sempat sembahyang serakaat sembahyang subuh sebelum terbit matahari maka sungguhnya dia telah mendapat sembahyang subuh itu.” (Hadith Syaikhain)

– Jika berada pada tempat yang malam atau siangnya sangat panjang maka hendaklah ditentukan waktu sembahyang dengan waktu pada musim biasa jika ada. Jika semua musim ditempat tersebut sama sahaja maka bolih diikut waktu sembahyang negara yg berdekatan dengan tempat dia berada.

Wallahua’lam4. Menutup Aurat

4. Menutup Aurat

Arti aurat disini ialah anggota badan yang wajib ditutup sebelum memulakan sembahyang. Menutup yang betul ialah tidak nampak lagi warna kulit pada mana-mana bahagian badan yang dikira aurat dalam sembahyang.

Dan maksud menutup aurat ketika sembahyang ialah tidak bolih dilihat auratnya dari arah keliling dan atas.

Tersebut pada Kitab I’anah At-Tolibin :

ويجب الستر من الأعلى والجوانب لا من الأسفل

artinya : “Dan wajib menutup aurat dari pihak atas dan pihak keliling. Tidak dari pihak bawah.” (I’anatut Tolibin)

Jika nampak dari mana-mana arah kelilingnya atau dari arah atasnya sedikit bahagian badan yang termasuk aurat maka solat tersebut tidak sah kerana tidak mencukupi syarat sah sembahyang.

Firman Allah swt :

يٰبَنِيْٓ اٰدَمَ خُذُوْا زِيْنَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ.

artinya : “Wahai manusia! Berpakaianlah kamu setiap kali mahu mengerjakan solat.” (Al-A’raf : 31)

Batas Aurat Lelaki

Bahagian badan dari pusat sampai ke lutut dan begitu juga bahagian belakang badannya.

Rasulullah saw bersabda :

عَوْرَةٌالرَّجُلِ مَابَيْنَ سُرَّتِهِ اِلىٰ رُكْبَتِهِ. رواه الدارقطنى والبيهقى.

artinya: “Aurat laki-laki ialah bahagian badan antara pusat sampai dua lutut,” (Hadith Daruqutni dan Baihaqi)

Aurat bahagian belakang pula adalah sama aras dengan bahagian pusat dan lutut.

Batas Aurat Perempuan

Semua bahagian badannya kecuali muka dan dua pergelangan tangan depan dan belakang.

Termasuk yang wajib ditutup ialah rambut, telinga, leher, tengkuk dan bawah dagu.

Bahagian dua tapak tangan atau pergelangan tangan tidak wajib ditutup samada depan atau belakang.

Bahagian bawah seperti tumit, buku lali dan keting juga wajib ditutup samada dengan kain yang dipakai labuh atau memakai setokin atau apa-apa yang dikira menutup.

Dari Ummu Salamah r.a. beliau bertanya kepada Nabi saw :

اَتُصَلِّى الْمَرْأَةُ فِىْ دِرْعٍ وَخِمَارٍوَلَيْسَ عَلَيْهَا اِزَارٌ؟ قَالَ نَعَمْ اِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّىْ ظُهُوْرَقَدَمَيْهَا. رواه أبوداود

artinya :

Artinya: “Bolehkah perempuan sembahyang dengan hanya memakai baju kurung dan tudung kepala sahaja dengan tidak memakai kain?” Jawab Nabi saw : “Boleh jika baju kurung itu panjang sampai menutupi kedua tumitnya.” (Hadith Abu Daud)

Beberapa Masalah

– Wajib juga menutup aurat sekalipun berada di tempat yang sangat gelap sekalipun sudah tidak nampak apa-apa.

– Jika terselak kain olih angin hingga nampak aurat maka hendaklah ditutup dengan kadar segera supaya tidak batal sembahyangnya.

Berkata Imam Syairazi :

وإن كشفت الريح الثوب عن العورة ثم رده لم تبطل صلاته

artinya : “Jika membuka auratnya olih angin kemudian ditutupnya dengan segera maka tidak batal solatnya.” (Kitab Al-Muhazzab)

– Jika terbuka mana-mana bahagian aurat ketika sedang sembahyang dan tidak ditutup dengan segera maka batal sembahyangnya. Adapun jika ditutup dengan segera akan aurat yang terbuka itu maka dimaaf yakni tidak batal semabhyangnya melainkan jika terbuka alat kelamin menurut satu pendapat.

– Jika terbuka aurat dari sebelum memulakan sembahyang lagi lalu tersedar selepas memulakan sembahyang atau tersedar pada penghujungnya atau tersedar selepas memberi salam maka solatnya tadi tidak batal.

– Sah sembahyang orang yang memakai kain atau seluar yang koyak jika tidak menampakkan aurat.

– Jika pakaian sembahyangnya ketat tetap sah sembahyangnya tetapi makruh.

– Begitu juga sah perempuan sembahyang dengan pakaian yang ketat selagi menutup aurat cuma jika ada lelaki bukan mahram yang bolih melihat maka haram hukumnya. Dan jika tidak ada lelaki yang bukan mahram yang dapat melihat maka tidaklah haram.

– Tidak sah perempuan sembahyang dalam keadaan tidak menutup kepala sekalipun ada orang yang mengharuskannya kerana bercanggah dengan perintah Rasulullah saw dalam sebuah hadith yang diriwayatkan dari A’isyah r.a. katanya :

اَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَقْبَلُ اللهُ صَلَاةَ حَائِضٍ اِلَّا بِخِمَارٍ- رواه الخمسة الّاالنسائ

artinya : “Sungguhnya Nabi saw bersabda : Tidak menerima olih Allah akan solat wanita yang dewasa melainkan dengan menutup kepala.” (Hadith Al-Khamsah melainkan Nasaai)

– Jika selepas sembahyang baru sedar bahawa sembahyangnya tadi tidak menututp aurat maka wajib dikerjakan semula sembahyang.

– Kalau merasa was-was adakah sembahyang yang telah dikerjakan terbuka aurat atau tidak maka tidak perlu diulangi kerana itulah hanyalah was-was yang tidak memudaratkan.

– Jika umpama kaki makmum perempuan dihadapan kita terbuka ketika dia duduk membaca tahyat harus makmum dibelakang menutupnya dengan segera.

– Jika ketika lelaki yang hanya memakai kain sujud lalu ternampak pahanya dari arah belakang maka setengah fuqahak mengatakan tidak batal dan setengahnya lagi mengatakan batal. Sebaiknya pakailah seluar panjang dibahagian dalam supaya aurat lebih terpelihara.

– Jika seorang lelaki yang memakai baju yang singkat lalu kelihatan dua lurah punggungnya ketika sujud maka batal sembahyangnya kerana ia termasuk aurat yang wajib ditutup.

– Jika tekeluar rambut perempuan dari tudungnya ketika sembahyang maka jika sedikit hanya sehelai dua yang sukar melihat dia maka dimaafkan. Adapun jika terkeluar banyak rambutnya atau yang mudah kelihatan maka tidak sah sembahyangnya wajiblah diulangi semula.

– Jika sedang sembahyang di kawasan terbuka tiba-tiba turun hujan lalu basah dan nampak auratnya maka batal sembahyangnya.

– Sah lelaki dan perempuan yang sembahyang dengan memakai pakaian yang dibuat dari benang sutera cuma lelaki tersebut berdosa kerana melakukan maksiat yang diharamkan olih Allah. Manakala yang perempuan tidak berdosa kerana sutera dihalalkan ke atas kaum wanita.

– Tidak disyaratkan kaum wanita sembahyang memakai telekung tetapi bolih dengan apa juga pakaian dengan syarat menutup aurat dengan sempurna.

– Makruh sembahyang dengan memakai pakaian bergambar atau bertulis melainkan yang kecil gambar dan tulisannya.

– Sah sembahyang dengan memakai pakaian apa warna sekalipun tetapi dengan memakai warna putih adalah paling afdhal.

– Afdhal memakai pakaian sunnah ketika sembahyang kerana mengikut Rasulullah saw tetapi sah dengan memakai pakaian bukan sunnah sekalipun memakai baju hujan.

– Sunat memakai pakaian yang paling cantik yang kita ada untuk sembahyang kerana Allah suka kepada yang cantik.

– Dimakruhkan lelaki sembahyang hanya memakai kain atau seluar tanpa baju melainkan dia sangat miskin tidak mampu memiliki baju.

– Sunat lelaki sembahyang dengan menutup kepala samada dengan memakai serban, kopiah, songkok atau kain selendang.

Wallahua’lam

5. Menghadap Kiblat

syarat solat

Yang dimaksudkan dengan syarat menghadap kiblat ialah ketika mahu memulakan sembahyang wajiblah seorang itu berdiri menghadap sekelian badannya ke arah kiblat sampai kesudahan sembahyang.

Batal sembahyang jika berpaling dadanya atau sebahagian badannya dari arah kiblat sebelum memberi salam.

Ada pun jika berpaling muka ketika sembahyang dari arah kiblat maka sembahyangnya tidak batal.

Orang yang tidak menghadap kiblat maka sembahyangnya tidak sah kerana tidak mengikut syarat sah sembahyang walau pun syarat-syarat yang lain dipenuhi. Begitu juga wajib menghadap kiblat dalam sembahyang jenazah, sujud syukur, dan sujud sajadah.

Berkata Abu Hurairah r.a. Nabi saw bersabda :

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

artinya : “Apabila kamu mahu memulai sembahyang maka berwuduklah dengan sempurna kemudian menghadap kiblat kemudian bertakbir.” (Hadith Bukhari)

Telah berlaku ijma’ sekelian umat bahawa menghadap kiblat adalah satu kemestian dalam mengerjakan sembahyang dan bahawa arah kiblat itu ialah Kaabah yang berada di dalam masjidil haram.

Firman Allah :

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

artinya : “Maka hendaklah kamu hadapkan wajah kamu ke arah masjidil haram. Dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkan wajah kamu ke arahnya.” (Al-Baqarah : 144)

Jika berada di tempat yang bolih melihat kaabah maka wajib tepat berdiri menghadap kaabah.

Dan jika berada ditempat yang tidak bolih melihat kaabah atau negeri-negeri yang jauh maka memadai dengan menghadap arah masjidil haram di Mekah.

Tersebut pada Kitab Jami’ul Ahkam :

لَا خِلَافَ بَيْنَ الْعُلَمَاءِ أَنَّ الْكَعْبَةَ قِبْلَةٌ فِي كُلِّ أُفُقٍ، وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّ مَنْ شَاهَدَهَا وَعَايَنَهَا فُرِضَ عَلَيْهِ اسْتِقْبَالُهَا، وَأَنَّهُ إِنْ تَرَكَ اسْتِقْبَالَهَا وَهُوَ مُعَايِنٌ لَهَا وَعَالِمٌ بِجِهَتِهَا فَلَا صَلَاةَ لَهُ، وَعَلَيْهِ إِعَادَةُ كُلِّ مَا صَلَّى

artinya : “Tidak ada perselisihan di antara ulama bahawasanya kaabah adalah kiblat dari semua arah. Dan ulama juga ijma’ atas bahawasanya barangsiapa yang nampak kaabah dengan matanya wajib atasnya menghadap kaabah. Dan bahawasnya barangsiapa yang bolih melihat kaabah tetapi tidak menghadap kaabah maka solatnya tidak sah wajib diulangi semula.

Arah kiblat bolih ditentukan dengan apa sahaja yang menunjuk arahnya seperti melihat matahari atau gunung ganang atau kompas atau peralatan moden atau perkhabaran orang-orang yang pandai.

Jika berada pada tempat yang tidak ada tanda-tanda untuk mengetahui arah kiblat seperti malam yang sangat gelap atau dalam hutan yang sangat tebal atau seumpamanya maka hendaklah orang yang mahu bersembahyang itu berijtihad mencari arah kiblat kemudian sembahyanglah ke arah yang ia kuat sangkaan arah tersebut adalah kiblat.

Daripada dari Amir bin Rabi’ah katanya :

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فِي لَيْلَةٍ مُظْلِمَةٍ، فَلَمْ نَدْرِ أَيْنَ القِبْلَةُ، فَصَلَّى كُلُّ رَجُلٍ مِنَّا عَلَى حِيَالِهِ، فَلَمَّا أَصْبَحْنَا ذَكَرْنَا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَزَلَ: ” {فَأَيْنَمَا تُوَلُّوا فَثَمَّ وَجْهُ اللَّهِ}

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

artinya : “Kami bersama Nabi saw pernah musafir hingga masuk waktu malam yang sangat gelap. Maka kami tidak dapat mengetahui manakah arah kiblat yang betul. Maka kami pun sembahyang mengikut arah yang kami yakini. Maka menjelang pagi kami beritahu kepada Nabi saw maka turunlah ayat : Maka ke mana sahaja yang kamu hadap maka di sanalah wajah Allah.” (Hadith Tirmizi)

Dan bolih tidak menghadap kiblat dalam sembahyang bagi orang yang berada dalam situasi yang dibenarkan syarak tidak menghadap kiblat.

Imam Nawawi berkata :

اوهو شرط لصحة الفريضة، إلا في شدة خوف القتال المباح، وسائر وجوه الخوف. وشرط لصحة النافلة، إلا في الخوف، والسفر المباح. والعاجز، كالمريض لا يجد من يوجهه.

artinya : “Dan menghadap kiblat itu syarat bagi sahnya sembahyang fardhu kecuali ketika berada dalam situasi yang sangat takut atau peperangan dan sekelian jenis keadaan menakutkan. Dan menghadap kiblat juga disyaratkan bagi sembahyang sunat melainkan pada situasi takut, musafir, lemah atau orang sakit yang tidak ada orang yang menolongnya menghadap kiblat.” (Kitab Raudhah Talibin)

Kesimpulan & Beberapa Persoalan

  • Arti kiblat ialah arah masjidil haram di Kota Mekah dan Kaabah yang berada di dalamnya.
  • Wajib menghadap kiblat dalam sembahyang dengan ijma’ ulama samada sembahyang fardhu atau sunat.
  • Jika sembahyang sunat di atas kenderaan maka harus tidak menghadap kiblat.
  • Jika orang yang sedang dalam kenderaan dan hendak sembahyang fardhu maka wajib dia turun sembahyang dengan sempurna dan menghadap ke kiblat jika sembahyang di atas kenderaan tidak dapat dibuat dengan sempurna. Adapun jika tidak bolih turun dari kenderaan seperti sangat takut atau berada dalam kesesakan jalan raya maka sah dia sembahyang dalam kenderaan dan wajib menghadap kiblat jika mampu. Jika tidak mampu maka tidak wajib menghadap kiblat dan tidak wajib diulangi jika mematuhi syarat sembahyang yang lain seperti suci dari hadas dan menutup aurat.
  • Jika sembahyang dalam kapal contohnya kemudian di tengah sembahyang kapal berpaling arah dari arah kiblat maka wajib dia berpaling arah ke kiblat jika mampu.
  • Jika dapat mengetahui arah kiblat yang betul maka tidak sah jika tidak menghadap ke arahnya.
  • Jika berada di tempat yang tidak ada tanda arah kiblat maka wajib berijtihad kemudian sembahyang menghadap arah yang dia yakini dengan ijtihadnya itu.
  • Jika seorang itu sembahyang menghadap arah yang salah dan dia berada di tempat yang ada tanda arah kiblat seperti pada tempat tinggal manusia atau ada orang yang tahu untuk bertanya maka solatnya tadi tidak sah dan wajib dia ulangi kerana dia dikira cuai.
  • Jika sembahyang menghadap arah yang salah pada tempat yang tidak ada tanda arah kiblat dan tiada orang yang tahu untuk bertanya dan dia sudah berijtihad maka sembahyangnya adalah sah. Kemudian jika sembahyang yang seterusnya dia meyakini arah yang lain pula selepas berijtihad maka wajib menghadap arah yang baru pula.
  • Jika sedang sembahyang tiba-tiba terpaling dari arah kiblat sebab dilanggar orang contohnya maka sembahyangnya tidak batal jika dibetulkan semula arah kiblat dengan segera.

wallahua’lam

Wallahua’lam FP UAI Original

Ust Azhar Idrus- [ Syarat Sah Solat ] Suci Dari Najis Pada Badan

error: Content is protected !!