Apa yang di Maksudkan dengan Miskin Bukan Hina dan Kaya Bukan Mulia

Apa yang di Maksudkan dengan Miskin Bukan Hina dan Kaya Bukan MuliaSebagai orang yang beriman kita yakin siapa yang Allah beri kepadanya kekayaan maka itu adalah dengan kehendak-Nya dan siapa yang Allah jadikan dia miskin maka itu juga adalah kehendak-Nya.

Tiada suatu yang berlaku pada alam ini melainkan semuanya adalah percaturan dan kehendak Allah.

Allah swt telah berfirman :

إِنَّ رَبَّكَ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ إِنَّهُ كَانَ بِعِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا

Artinya : “Sungguhnya Tuhan kamu meluaskan rezeqi kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki dan Dia juga menyempitkan baginya. Sungguhnya Dia adalah dengan segala hamba-Nya amat mengetahui lagi amat melihat.” (Al-Isra’ : 30)

Berkata Imam Ibnu Kathir :

إخباراً أنه تعالى هو الرزاق القابض الباسط المتصرف في خلقه بما يشاء, فيغني من يشاء, ويفقر من يشاء لما له في ذلك من الحكمة

Artinya : “Ayat tersebut memberitahu bahawa Allah Taala yang memberi rezeqi dan Dia yang menahannya dan Dia yang meluaskannya dan mengatur Allah bagi makhluq-Nya dengan apa cara yang Dia kehendaki. Maka Dia kayakan akan siapa yang Dia kehendak dan Dia miskinkan siapa yang Dia kehendak yang pada demikian itu ada hikmahnya.” (Tafsir Ibnu Kathir)

Maka amatlah salah pemikiran kebanyakkan manusia yang menganggap bahawa kaya itu mulia dan miskin itu hina.

Kaya ialah satu kebaikkan apabila disyukuri begitu juga miskin adalah satu kebaikkan apabila disabari.

Rasulullah saw bersabda :

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر فكان خيرا له

Artinya : “Sangat dikagumi urusan seorang yang beriman itu adalah urusannya baik belaka dan tidaklah terjadi demikian pada seorang pun melainkan terjadi hanya kepada orang beriman. Apabila dapat ia suatu yang disukai maka dia bersyukur dan bersyukur itulah kebaikkan baginya. Dan apabila mendapat ia suatu yang dibenci maka dia bersabar dan bersabar itulah kebaikkan baginya.” (Hadith Muslim)

Maka jelas di sini kaya bukanlah satu kebaikkan melainkan empunya kekayaan itu bersyukur.
Dan miskin pula bukan satu kehinaan apabila empunyanya bersyukur. Orang kaya yang kafir dan orang miskin yang kafir sudah terang tidak berada di dalam kebaikkan kerana keelokkan bersyukur dan bersabar hanya berlaku kepada orang beriman.

Bila Allah memberi kekayan kepada seseorang maka belum pasti Allah muliakan dia dan Allah sayang kepadanya. Begitu juga bila Allah miskinkan seseorang belum pasti kerana Allah hinakan dia atau tidak sayang kepadanya.

Berkata Imam Ibnu Kathir :

فإن الله تعالى يعطي المال من يحب ومن لا يحب ويضيق على من يحب ومن لا يحب وإنما المدار في ذلك على طاعة الله في كل من الحالين

Artinya : “Maka bahawasanya Allah Taala memberikan harta benda kepada orang yang Dia kasih dan juga kepada orang yang Dia benci. Dan Alllah menyempitkan harta atas siapa yang Dia kasih dan dan juga atas siapa yang Dia benci. Hanyasanya ukuran kasih atau bencinya Allah ialah atas ukuran ketaatan pada Allah pada kedua keadaan tadi.” (Tafsir Ibnu Kathir)

Maka amatlah meleset sangkaan orang-orang kaya yang menyangka Allah sayang kepada mereka sebab itu mereka menjadi kaya raya dan begitu juga sangkaan orang yang miskin bahawa Allah tidak suka kepada mereka sebab itu mereka hidup dalam kemiskinan. Semua itu sebenarnya adalah kehendak Allah sebagai ujian ke atas hamba-Nya siapa yang benar-benar beriman dan baik amalannya.

Berkata Imam Ibnu Jarir :

ولكنه يفعل ذلك محنة لعباده وابتلاء ، وأكثر الناس لا يعلمون أن الله يفعل ذلك اختبارًا لعباده ولكنهم يظنون أن ذلك منه محبة لمن بسط له ومقت لمن قدر عليه.

Artinya : “”Dan tetapinya Allah memberi kekayaan dan kemiskinan sebagai cubaan dan ujian kepada hamba-Nya. Dan kebanyakkan manusia tidak mengetahui bahawa Allah berbuat demikian sebagai ikhtibar bagi hamba-Nya. Mereka menyangka bahawa Allah sayang pada orang kaya dan benci kepada orang miskin.” (Tafsir Jami’ul Bayan)

Kehidupan yang sebenar ialah kehidupan di akhirat kerana kehidupan di dunia hanyalah sekejap dan sementara. Jika di dunia sudah kaya dan di akhirat juga kaya maka inilah sebaiknya. Dan jika di dunia miskin tetapi di akhirat kaya maka ia juga adalah baik kerana semua manusia mahu akhir yang baik sekali pun awalnya tidak baik.

Tidak ada seorang pun dikalangan ibu bapa yang suka jika anaknya pada awal persekolahan sangat cemerlang tetapi akhir gagal. Dan semua ibu bapa akan suka juga sekalipun pada awal persekolahan anaknya tidak cemerlang tetapi akhirnya mendapat kejayaan.

Maka begitulah dibandingkan dengan hidup dunia dan akhirat.

Sebaliknya jika di dunia kaya raya tetapi di akhirat menjadi miskin maka teramatlah malang. Lebih malang lagi jika di dunia miskin manakala di akhirat bertambah miskin.

Akhir sekali Rasulullah saw meninggalkan kepada kita beberapa ucapan :

قُمْتُ عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فَكَانَ عَامَّةَ مَنْ دَخَلَهَا الْمَسَاكِينُ

Artinya : “Aku berdiri pada depan pintu syurga maka adalah kebanyakkan orang yang masuk padanya ialah orang-orang yang miskin.” (Hadith Bukhari)

Dan sabdanya :

أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ الْجَنَّةِ كُلُّ ضَعِيفٍ مُتَضَعِّفٍ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لأَبَرَّهُ ، أَلاَ أُخْبِرُكُمْ بِأَهْلِ النَّارِ كُلُّ عُتُلٍّ جَوَّاظٍ مُسْتَكْبِرٍ

Artinya : “Mahukah kamu aku beritahu dengan ahli syurga? Yaitulah orang-orang lemah yang dianggap rendah olih manusia yang kalau dia bersumpah maka Allah akan qabulkan. Dan mahukah kamu aku beritahu dengan ahli neraka? Yaitulah setiap orang yang kasar, bakhil, sukakan harta yang banyak dan sombong.” (Hadith Muslim)

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

Maka terang sudah bahawa miskin bukan berarti hina dan kaya bukan berarti mulia. Manusia yang cetek aqalnya sahaja yang mencipta perbandingan sedemikian rupa.

Kesimpulan Mengenai Apa yang di Maksudkan dengan Miskin Bukan Hina dan Kaya Bukan Mulia

  • Kaya bukan merupakan satu kesalahan bahkan orang yang kaya yang bersyukur adalah dipuji olih Allah.
  • Miskin bukan satu kesalahan. Bersabarlah agar mendapat kebaikkan dari sisi Allah dan berusahalah keluar dari kemiskinan.
  • Tidak ada orang kaya yang masuk syurga sebab kayanya dan tidak ada orang miskin yang masuk syurga sebab miskinnya. Begitu juga tidak ada orang kaya yang masuk neraka sebab kayanya dan tidak ada orang miskin masuk neraka sebab miskinnya. Hanya iman dan amal solih yang menjadi penentu buruk atau baiknya nasib seseorang di akhirat nanti.
  • Bersykur bukan sekadar menyebut Alhamdulillah tetapi ialah menggunakan semua nikmat yang Allah telah berikan kepada jalan yang di redhai olih Allah swt.
  • Bersabar bukan berarti diam di dalam kesusahan tetapi redha hatinya dengan ketentuan Allah dan berusaha untuk melepaskan diri dari kesusahan yang dia alami.

Wallahua’lam. FP UAI Original

‘Jangan Hina Keturunan Orang Lain..’ – Ustaz Azhar Idrus

error: Content is protected !!