Bacaan Doa Qunut dalam Solat Subuh & Penerangan Maksud Mengenainya

Doa-qunut-dalam-solat-subuh-bagi-doa-solatBismillahir rahmanir rahim. Alhamdulillahi rabbil alamin wa bihi nastain was salamun ‘ala rasulullilah wa ‘ala ‘alihi wasahbihi ajmain. Salam dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad pesuruh Allah Yang Mulia.  Alhamdulilah syukur ke atas redha illahi kerana kurniaan limpah dan ‘inayahnya kita masih dapat bertemu di ruangan diskusi ini bagi membincangkan bab ataupun tajuk yang berkaitan dengan agama. Mesti para pembaca tertanya-tanya, agak-agak tajuk apa hari ini yang kita akan bincangkan. Tajuk diskusi agama kita pada hari ini ialah : Doa Qunut.

Pelbagai Permasalahan & Pertanyaan Melibatkan Bacaan Doa Qunut dalam Masyarakat Malaysia

Apabila kita berbicara mengenai doa qunut, sudah semestinya para pembaca akan terlintas di fikiran ia berkait rapat dengan solat subuh. Doa qunut ini adalah dibaca ketika kita berada di rakaat yang kedua pada solat subuh sewaktu sebelum rukuk. Ketika saya mengajar di dalam kelas bersama para pelajar tingkatan 3, terdapat segelintir pelajar yang masih kurang jelas dan kurang faham akan doa qunut ini. Seperti contoh, mereka dibelenggu dengan jika imam itu terlupa untuk membaca doa qunut, apa yang perlu dibuat. Apakah solat mereka itu sah?

Selain itu, saya juga sering dihujani dengan persoalan, adakah terdapat hadis yang berkaitan dengan doa qunut ini. Seperti yang kita sedia maklum, setiap apa yang diturunkan oleh Allah kepada junjungan besar Nabi Muhammad kita, pasti ada asbab yang tertentu. Oleh yang demikian,  setiap kali saya masuk ke kelas juga lebih-lebih lagi mengajar subjek As-Syariah di dalam silibus Kurikulum Bersepadu Dini di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ini, para pelajar sering bertanya akan hadis doa qunut ini.

Pada pandangan saya, ia adalah suatu budaya yang baik kerana setiap apa yang para pelajar ini belajar akan sesuatu perkara terutamanya bidang keagamaan, ia akan mewujudkan lagi suasana diskusi seperti di dalam dewan kuliah di universiti. Malah, boleh jadi pemikiran mereka ini, jauh luar daripada kotak jika di ajak berbincang tentang bab-bab agama. Balik kepada persoalan tadi, macam mana jika sekiranya kita sebagai ibu bapa ditanya oleh anak-anak kita, dari mana datangnya doa qunut ini?. Adakah di sebalik doa qunut ini terdapat sesuatu peristiwa yang berlaku?.

Bagi menjawab persoalan yang pertama tadi,  InsyaAllah jawapan tersebut akan saya ungkapkan di ruangan permasalahan nanti. Untuk persoalan yang kedua dan ketiga, adakah hadis yang berkaitan akan doa qunut ini?. Jawapannya, ya. Hadis tersebut adalah diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad :

doa qunut dalam solat subuh 1

Maksudnya : Di riwayatkan di dalam Musnad Imam Ahmad, Daripada Hassan bin Ali RadiyaAllah ‘anhuma telah berkata: Ajarkanlah aku Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam akan perkataan-perkataan yang perlu aku sebut di dalam qunut sewaktu solat witir. Kemudian, Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda : Allahummah dini fiman hadait, wa ‘afini fiman ‘afait, wa tawallani fiman tawallait, wa barakli fiman ‘atoit, wa qini syarra ma qadhait, fainnaka taqdi wala yuqdo alaik, innahu la yazillu man walait, tabarak rabbana wa ta’alait.

Alhamdulillah, terjawab sudah persoalan yang kedua. Sungguh, setiap kali apa yang kita lakukan mesti ada sebab musababnya. Jadinya, apabila kita didatangi dengan soalan sedemikian, harapnya para pembaca boleh menjawab dengan hemah dan cermat kerana dalam urusan agama ada ketika kita boleh berlemah-lembut serta bertolak ansur dan ada ketikanya pula kita memerlukan untuk bersikap tegas.

Tak kenal maka tak cinta. Itulah kata-kata pepatah yang sering diguna pakai di dalam kalangan masyarakat melayu kita apabila kita tidak mengetahui sesuatu, maka kita tidak tahu apa yang ada di sebaliknya. Seterusnya, kita akan mengenali wacana yang pertama dalam artikel ini iaitu maksud dari segi bahasa dan juga istilah bagi doa qunut ini.

Apakah Maksud Doa Qunut?

Maksud-Doa-Qunut

Baiklah, sebelum itu akan bahagikan kepada dua pembahagian iaitu doa dan qunut. Apakah yang di maksudkan dengan doa?. Doa itu ialah memohon kebaikan dan keselamatan untuk diri sendiri dan orang lain. Manakala qunut itu pula ialah dari segi bahasanya berasal daripada tiga huruf iaitu qa na ta yang bermaksud menjadi taat dan warak. Oleh itu, doa qunut dari segi istilahnya ialah memohon sesuatu kebaikan dan keselamatan kepada Allah untuk diri sendiri dan orang lain agar kita menjadi taat dan warak akan perintah dan suruhan Allah S.W.T

Seterusnya kita beransur pula ke pembahagian doa qunut. Pasti ada yang tertanya-tanya, apakah perbezaan di antara doa qunut subuh dan doa qunut nazilah?. Adakah kedua-duanya bertujuan yang sama ataupun sebaliknya?.

Perbezaan Doa Qunut Subuh dengan Qunut Nazilah

Perbezaan-doa-qunut-subuh-dan-doa-qunut-nazilah

Saya akan terangkan serba sedikit apa itu qunut nazilah. Saya khuatir sekiranya berbicara terlalu ke hadapan, perkara yang sepatutnya dijelaskan saya tidak menerangkannya. Qunut nazilah dan qunut subuh kedua-duanya adalah berlainan. Qunut subuh adalah doa yang diungkapkan ketika di rakaat terakhir sebelum rukuk sewaktu menunaikan solat subuh bertujuan untuk memohon kebaikan diri agar kita menjadi lebih taat dan taqwa. Manakala qunut nazilah itu pula ialah doa yang diungkapkan bila mana untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah dengan mendoakan saudara-saudara muslim yang di timpa bala bencana, ancaman, penganiyaan, penindasan daripada musuh-musuh Allah dan musuh-musuh orang muslim.

Sepertimana pernah dikisahkan di dalam sirah akan Amir bin Malik yang mana merupakan ketua Bani Sulaym yang meminta bantuan kepada Rasulullah Sallahu ‘alaihi Wassalam bagi menghadapi musuh kaumnya. Rasulullah telah menerima permohonannya lalu mengirimkan tujuh puluh orang sahabat yang mana mereka semua ini terdiri daripada para Quraa’ (orang yang mahir dalam pembacaan Al-quran). Seterusnya kaum Bani Sulaym tersebut menawan para sahabat di sebuah tempat yang bernama Bir Ma’unah dan kemudian membunuh mereka.

Malaikat Jibril Alaihis Salam memberitahu perkara ini kepada Nabi Muhammad dan menyampaikan mesej terkini dari ahli yang membaca quran tersebut, :

Khabarkan kepada orang-orang bahawa kami telah berjumpa Tuhan kami. Dia (Allah) redha kepada kami dan kami redha kepadaNya. Peristiwa ini telah menyebabkan Rasulullah mengalami kesedihan yang terlalu mendalam. Abdullah bin Mas’ud RadiyaAllah anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah telah membaca qunut nazilah selama satu bulan untuk Bani Sulaym. (HR Bukhari 2: 586)

Para pembaca yang dihormati,

Hukum Bacaan Doa Qunut di Dalam Solat Mengikut Perbezaan Mazhab

Perbezaan-pendapat-mazhab-tentang-doa-qunut

Setiap apa yang kita lakukan mesti ada hukumnya. Setiap apa yang dilaksanakan mesti ada perkara disebaliknya. Oleh yang demikian, saya akan membicarakan lebih mendalam berkenaan dengan hukum doa qunut ini. Pada suatu hari saya singgah menunaikan solat subuh di sebuah masjid yang berimamkan dengan seorang imam yang tidak membaca doa qunut. Lantas, pada waktu itu usai sahaja solat subuh datanglah dua orang pelajar saya menanyakan persoalan dengan hukum doa qunut ini.

Suka saya membicarakan tentang akan hukum doa qunut ini dengan memetik daripada  pandangan  Syeikh Muhammad bin Solih Uthamain di dalam kitabnya menyatakan bahawa :

  1. Mazhab Syafie :

Para Ulama dari kalangan mazhab Syafie berpendapat bahawa tidak ada doa qunut di dalam solat witir kecuali ada pada pertengahan akhir di bulan Ramadhan. Selain itu juga, tidak ada doa qunut di dalam mana-mana solat kecuali di dalam solat subuh sahaja. Di samping itu pula, doa qunut juga akan di baca sewaktu umat islam berada di dalam musibah ataupun kecelakaan yang mana ia di namakan sebagai qunut nazilah.

  1. Mazhab Maliki :

Para Ulama dari kalangan mazhab Maliki pula berpendapat bahawa tidak ada doa qunut kecuali hanya pada solat subuh sahaja. Selain itu juga, doa qunut juga tidak ada di dalam mana-mana solat. Pada pandangan saya, mereka memeilih untuk bersikap tegas dalam hal ini. Hal ini kerana, mungkin para ulama dari kalangan mazhab Maliki mempunyai suatu kaedah yang kita tidak ketahui.

  1. Mazhab Hanafi :

Mereka berpendapat bahawa doa qunut ada di dalam solat witir, kemudian tidak ada doa qunut di dalam mana-mana solat kecuali ketika berlakunya sesuatu perkara musibah di atas umat islam, maka qunut nazilah akan di baca di dalam solat subuh. Caranya ialah, apabila solat berjemaah imam membaca qunut maka makmum di belakangnya mengaminkan. Manakala, jika solat bersendirian maka tidak ada doa qunut ini.

  1. Mazhab Hanbali :

Di dalam mazhab Hanbali, para ulama telah berpendapat mengatakan bahawa doa qunut ada di dalam solat witir. Tidak ada doa qunut di dalam mana-mana solat kecuali berlakunya sesuatu musibah yang besar seperti musibah penyakit maka doa qunut tersebut akan di baca oleh imam ketika mengerjakan di dalam solat lima waktu kecuali solat jumaat. Imam Ahmad berpendapat bahawa tidak ada hadis yang sahih menyatakan bahawa doa qunut itu di baca sebelum rukuk ataupun selepas rukuk.

Oleh yang demikian, itulah pendapat-pendapat yang ada di dalam empat mazhab yang terkemuka. Dipersilakan kepada para pembaca untuk menilai. Sesunggguhnya, perkara khilaf iaitu pendapat yang berbeza adalah suatu hikmah. Ini kerana, pendapat yang berbeza-beza ini adalah mengikut uruf dan adat di sesuatu tempat tersebut. Tidak perlu berbalah, tidak perlu bersengketa akan hal ini kerana para ulama dahulu telah lama membahaskannya. Moga-moga kita semua memperoleh manfaat dan syafaat daripadanya.

Kenapa Wujud Perbezaan Pendapat 4 Mazhab dalam Islam Mengenai Doa Qunut & Lain-lain  

Saya pernah di datangi dengan sekumpulan ahli yang mana pada saya mereka ini banyak mendatangkan soalan yang memerlukan kita berfikir di luar kotak. Sebagai contoh, mereka bertayakan kepada saya mengapa dalam agama islam ini terdapat pelbagai pendapat dan teori?. Tidak bolehkah pendapat-pendapat ini semuanya dalam satu pendapat yang sama?.

Sekiranya para pembaca di datangi dengan soalan begini, apakah jawapan yang terbaik untuk kalian menjawab?. Jawapannya ialah, Islam itu adalah agama yang syumul (lengkap dalam semua aspek). Di dalam agama islam terdapat tiga cabang yang menjadi teras kepada penganutnya iaitu cabang akidah, cabang muamalat dan cabang akhlak. Di dalam akidah, umat Islam semua berpendapat yang sama kerana dalam bab akidah tidak ada yang boleh berbeza pendapat.

Kemudian, di dalam cabang akhlak, agama islam menyuruh kita untuk lebih berakhlak sesuai dengan tuntutan syarak dan perintah Allah. Manakala di dalam bidang muamalat (feqah), di sinilah terdapat pelbagai pendapat yang kita terima. Antara salah satunya ialah untuk meraikan sesuatu pendapat di sesebuah kawasan. Oleh itu, khilaf dalam berbeza pendapat itu adalah rahmah di dalam agama Islam.

Bacaan Doa Qunut & Maksud Doa

 

Untuk wacana seterusnya, saya akan memberikan kepada anda semua bacaan doa qunut yang kita selalu melafazkannya sewaktu solat subuh. Jika anda menjadi imam dalam mengetuai solat subuh maka bacaan ‘ni’ (aku) akan berubah kepada ‘na’ (kami).

bacaan doa qunut

Bagi mereka yang belum dapat membaca tulisan ayat ini, boleh cuba baca dibawah. Namun pastikan anda mendapatkan bantuan sesiapa untuk mendengar bacaan doa ini juga.

Bacaan Doa Qunut dalam Rumi

Cara sebutannya : Allahummah dini fi man hafait, wa’a fini fi man ‘afait, watawal lani fi man tawallait, wa barik li fi man ‘atoit, wa qini syaroma qadait, fainnaka taqdi wala yuqdo ‘alaik, wa innahu la yazillu man walait, wala yaizzuman ‘adait, tabarakta rabbana wa ta’alait, falakal hamdu ‘ala ma qadoit, was taghfiruka wa atubu ilaik, wa sallahu ‘ala saiyyidina Muhammad dinin nabiyyil ummiyyi wa ‘ala alihi wa sahbihi was salam.

Apa Maksud Bacaan Doa Qunut di dalam Solat Subuh?

Maksudnya : Ya Allah tunjukkanlah akan daku sebagaimana mereka yang telah Engkau tunjukkan, Dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan, Dan peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan, Dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan, Dan selamatkan aku dari bahaya kejahatan yang Engkau telah tentukan,
Maka, sesungguhnya Engkaulah yang menghukum dan bukan kena hukum
Maka, sesungguhnya tidak hina orang yang Engkau pimpin
Dan tidak mulia orang yang Engkau memusuhinya
Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan Maha tinggi Engkau
Maha bagi Engkau segala pujian di atas yang Engkau hukumkan
Ku memohon ampun dari Engkau dan aku bertaubat kepada Engkau
(Dan semoga Allah) mencurahkan rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad, keluarga dan sahabatnya.

Selain itu, saya tertarik sedikit untuk berkongsi maklumat bersama-sama dengan para pembaca bagi menerangkan serba sedikit maksud di sebalik lafaz doa qunut yang sering kita lafazkan sewaktu solat subuh. Huraian lafaz maksud doa ini saya petik daripada kitab Syarah Doa Qunut Witir karangan al-Imam Muhammad bin Soleh bin Muhammad Uthaimain wafat pada tahun 1421 hijrah.

bacaan doa qunut 2

Maksudnya :  Kita sebagai hamba Allah memohon hidayah kepada-Nya.

Hidayah tersebut ialah hidayah ilmu dan hidayah amal. Seperti mana di dalam Surah al-Fatihah ayat ke-6 yang bermaksud “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa seseorang hamba itu menyerahkan sepenuh hatinya untuk memohon kepada Allah akan hidayah-Nya.

bacaan doa qunut 3Maksudnya : Kita memohon ampun kepada Allah daripada penyakit hati dan penyakit badan.

Selain itu, diwajibkan ke atas kita untuk mengikhlaskan hati apabila memohon seuatu daripada Allah. Sesungguhnya, Allah jua lah penyembuh segala penyakit yang ada pada kita.

bacaan doa qunut 4

Maksudnya : Kita semua adalah hambaNya.

Menurut pendapat al-Imam Muhammad bin Soleh, lafaz ini membicarakan kepada kita akan wilayah (penguasaan) Allah. Penguasaan Allah terbahagi kepada dua iaitu penguasaan am dan penguasaan khas. Apa itu penguasaan am dank has?. Penguasaan am itu ialah Allah itu Esa. Tiada tuhan melainkan Allah. Jadinya maksud lafaz di sini penguasaan am itu merujuk kepada sifat Allah iaitu Esa. Manakala penguasaan khas itu pula ialah khusus untuk orang mukmin sahaja.

Seperti mana Allah telah menurunkan ayat al-quran Surah Al-Baqarah 2: 752 yang bermaksud : “Allah itu berkuasa ke atas orang-orang yang mukmin dengan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada sinar cahaya (agama islam) manakala bagi mereka orang kafir yang menyembah berhala, mereka telah mengeluarkan daripada cahaya ke kegelapan. Sesungguhnya mereka itu penghuni neraka yang dalam”.

bacaan doa qunut 5

Maksudnya : Para Ulama bersepakat bahawa kalimah ‘baraka’ di sini adalah merujuk kepada keberkatan.

Makna di sebaliknya ialah kita sebagai hamba memohon banyak keberkatan dan kebaikan daripada-Nya. Al-Imam Muhammad bin Soleh menyatakan dalam kitabnya : “Wahai tuhanku, turunkanlah kepadaku akan keberkatan seperti mana apa yang engkau telah turunkan kepada aku”. Oleh itu, lafaz ayat ini adalah merujuk kepada memohon keberkatan di atas segala apa yang Allah telah turunkan kepada kita. Ingatlah wahai para pembaca, sesungguhnya apa yang diturunkan kepada kita, tidak semestinya da keberkatan. Oleh itu, kita sebagai hamba perlu tunduk tawaduk memohon keberkatan kepada Allah.

bacaan doa qunut 6

Maksudnya : Dalam lafaz ini merujuk kepada perkataan Allah menunaikan segala haknya ke atas kita. Ia ada perkaitan dalam isu ‘qadha’ . Apakah yang dimaksudkan dengan qadho?. Qodho bermaksud sesuatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah. Maka, di sini kita dapat simpulkan lafaz fainnaka taqdi wala yuqdo alaik bermakna Maka, sesungguhnya Engkaulah yang menghukum dan bukan kena hukum.

Di sini merujuk bahawa seorang hamba itu tidak boleh menyoalkan kenapa sesuatu benda itu terjadi padanya. Seperti contoh, Ahmad di timpa musibah jatuh motosikal ketika hendak ke sekolah, kemudian dengan marahnya terus berkata ‘kenapa benda celaka ini kena pada aku. Ini tidak adil’. Kesimpulannya di sini kita boleh katakan bahawa kita meminta sesuatu daripada Allah untuk menangguh hukuman yang sepatutnya berlaku ke atas kita.

Lafaz “wa innahu la yazillu man wa ait”. Al-imam Muhammad bin Soleh merujuk lafaz ini adalah berdasarkan daripada perkataan ‘yazillu´ bermaksud yang hina ataupun tunduk patuh. Oleh yang demikian, lafaz ini sekali gus menerangkan kepada kita bahawa dalam lafaz doa kita itu menunjukkan bahawa kita ini tunduk dan patuh atas perintah Allah kerana kita adalah hamba yang lemah lagi hina. Jadinya, tidak salah kalau kita tunduk dan patuh taat akan perintah-Nya.

bacaan doa qunut 7

Maksudnya : Kalimah ‘tabarakta’ adalah berdasarkan kalimah bahasa arab iaitu ‘ba ra ka’. Maksud ‘ba ra ka’ pula ialah memohon keberkatan. Di samping itu, dalam lafaz doa tersebut menunjukkan perkataan ‘rabbana’ iaitu wahai tuhan kami. Kemudian perkataan ‘wa taalait’ pula asal kalimahnya ialah daripada perkataan ‘al-‘ulu’ iaitu tinggi. Maka, dapat disimpulkan di sini bahawa kita sebagai hambanya memohon kepada Yang Maha Berkuasa akan keberkatan di dunia dan akhirat.

Alhamdulillah, selesai sudah penghuraian di setiap lafaz-lafaz daripada doa qunut. Benar kata ulama terdahulu, semakin kita banyak mempelajari semakin banyak perkara yang kita jahil. Jelaslah di sini bahawa setiap penerangan yang kita peroleh sebentar tadi banyak maklumat-maklumat baru yang kita sendiri pun tidak tahu akannya.

Apakah Kelebihan Membaca Doa Qunut di dalam Solat Subuh?

Seterusnya kita akan bahaskan apa sebenarnya manfaat ataupun kelebihan membaca qunut ini?. Jawapannya mudah sahaja, kembalilah rujuk semua lafaz-lafaz doa qunut tersebut. Sebagai contoh :

  1. Memohon petunjuk hidayah daripada Allah.

Ini bersesuaian dengan lafaz ‘Allahummah dini fi man hadait’ yang bermaksud Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah kami hidayah petunjukmu sebagaimana mereka yang telah engkau tunjukkan.

  1. Memohon kesihatan diri.

Perkara yang ingin disampaikan di sini ialah, kita memohon kesihatan yang sejahtera seperti mana Allah telah memberikan kesihatan yang sempurna kepada hambanya.

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

  1. Menghindarkan diri daripada penyakit.

Kalimat yang sesuai diguna pakai dalam hal ini ialah, ‘wa ‘afini fi man hadait’. Hal ini kerana maksud di sebalik ayat itu ialah Dan peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan. Pelihara di sini ialah meminta di hindarkan daripada musibah, kecelakaan atau penyakit.

  1. Memohon keberkatan daripada Allah

Seperti yang saya sudah ungkapkan di atas, setiap apa yang kita laksanakan mesti memohon akan keberkatannya. Keberkatan daripada Allah itu sangatlah penting. Di samping itu, peranan keberkatan juga akan menjadikan manusia ini lebih tawaduk, patuh dan taat segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.

Penutup

Alhamdulillah, selesai sudah perbahasan kita dalam entri siri kali ini berkenaan dengan doa qunut. Sungguh tidak percaya kerana terlalu banyak ilmu yang kita peroleh daripada entri kali ini walaupun tajuknya hanyalah dua patah sahaja iaitu doa qunut. Moga-moga kita semua dapat syafaat dan berkat di atas segala apa yang kita perolehi. Segala yang baik itu datangnya daripada Allah, dan segala yang kurang itu datangnya daripada Allah dan disandarkan ke atas saya sendiri. Jumpa lagi di entri siri yang lain. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bibliografi

  1. Muhammad Bin Soleh bin Muhammad Uthamain, Syarah Doa Qunut Witir
  2. Mujamma’ al-Lughah al-Arabiah, 2004, Mu’jam al-Wasit, m/s 194, jil. 1, Jumhuriyah Misr al-Arabiah, Maktabah asy-Syuruk ad-Dauliyah.
  3. Al-Walid bin Abdur Rahman bin Muhammad ali Faryan, Qunut fil Witr, 1 Dar Ibnu Athir, Mamlakah al-Arabiah As-Saudiyah
  4. Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, m/s 574, Maktabah al-Ma’arif, Riyadh
  5. Muslim an-Naisaburi, Sahih Muslim, m/s 656, Dar Ehyak at-Turath al-Arabiy, Beirut
  6. Imam al-Qurtubi, Fathul Mu’in, m/s 22
  7. Imam an-Nawawi, Majmuk Syarh Muhazzib, Bayt al-Afkar ad-Dauliyah

error: Content is protected !!