Cara Mandi Wajib yang Ringkas dan Sempurna

Cara Mandi Wajib yang Ringkas dan Sempurna

Pengertian Mandi Wajib

Artinya mandi yang diwajibkan ke atas seseorang yang berhadas besar samada hadas itu janabah atau haidh atau nifas atau wiladah.

Apabila suci dari hadas adalah syarat sahnya sembahyang maka wajiblah seorang yang berhadas besar melakukan mandi yang dikenali sebagai mandi wajib.

Cara Mandi Wajib Yang Paling Ringkas

  • Berniat ketika memulai mandi sambil meratakan air pada sekelian anggota badan yang zahir.
  • Maka siapa yang melakukan kedua perkara di atas maka sahlah mandinya dan haruslah dia melakukan sembahyang dan perkara-perkara lain yang diwajibkan bersuci.

Cara Mandi Wajib Yang Sempurna

1. Membersihkan segala najis yang ada pada badannya samada najis yang ada pada kemaluan atau lainnya.

Daripada Aisyah r.a. menceritakan perilaku mandi Rasulullah saw :

فَيَغْسِلُ فَرْجَهُ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ

Artinya : “Lalu baginda membasuh akan kemaluan kemudian mengambil wuduk.” (Hadith Muslim)

2. Membaca Bismillah

Ini jika bukan di dalam tandas. Ada pun jika di dalam tandas maka hendaklah dibaca Bismillah ketika berada di luar tandas waktu hendak masuk.

3. Membasuh kedua belah tangan dan berwuduk

Dari Aisyah r.a. katanya :

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ

artinya : “Sungguhnya Nabi saw apabila baginda mandi dari janabah baginda memulai dengan membasuh dua tangan terlebih dahulu kemudian baginda mengambil wuduk seperti wuduk untuk sembahyang.” (Hadith Bukhari)“

4. Niat

Masa berniat ialah ketika mula air kena pada badan. Tidak kira sama niat ketika air kena pada kepala atau tangan atau kaki atau lainnya maka sahlah niatnya itu.

Tidak sah niat sebelum mandi atau selepas selesai mandi.

Tidak mengapa niat selepas air kena dahulu pada badan kemudian baru ia berniat cuma anggota badan yang kena air sebelum berniat wajib diratakan semula jika selepas itu tidak lagi sampai air ke situ.

Contoh niat ialah dihadhirkan di dalam hati :

”Sahaja aku mandi yang wajib”

Atau

”Sahaja aku mengangkat hadas yang besar”

Sah berniat dengan kedua contoh ini samada yang mandi itu sebab hadas janabah atau haidh atau nifas atau wiladah.

Jika seorang wanita mengalami dua hadas seperti wiladah dan nifas maka apabila kering darah nifas maka sah ia mandi sekali sahaja dengan berniat mandi yang wajib atau mengangkat hadas yang besar.

5. Membasuh rambut dan kepala

Ketika membasuh kepala wajiblah diratakan air dengan cara menyelat-nyelat dengan jari atau menggosok sampai kena semua helaian rambut dan kulit kepala.

Dari Aisyah r.a. katanya :

ثم اغتسل ثم يخلل بيده شعره حتى إذا ظن أنه قد أروى بشرته أفاض عليه الماء ثلاث مرات

artinya : “Kemudian Rasulullah saw pun mandi dan menyelat-nyelati dengan jarinya akan rambutnya hingga baginda yakin rata air pada sekelian pangkal rambut yaitu sebanyak tiga kali.” (Hadith Muttafaq ‘Alaih)

Maka wajib bagi wanita yang rambutnya diikat atau disanggul membuka sanggulnya supaya rata air mandian pada semua helaian rambut dan kulit kepala.

Daripada Asma’ r.a. katanya adalah Rasulullah mengajar kaum wanita mandi hadas dengan sabdanya :

ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ دَلْكًا شَدِيدًا حَتَّى تَبْلُغَ شُئُونَ رَأْسِهَا

Artinya : “Kemudian hendaklah seorang kamu siram air atas kepalanya dan gosok kuat-kuat hingga sampai ke akar rambutnya.” (Hadith Bukhari)

Tetapi jika air bolih rata pada sekelian helaian rambut dan kulit kepala tanpa menyelati dengan jari atau menggosok maka sunat ia buka ikatan dan sanggul rambutnya tidak wajib.

Dari Ummu Salamah r.a. katanya kepada Rasulullah saw :

يَا رَسُولَ اَللَّهِ إِنِّي اِمْرَأَةٌ أَشُدُّ شَعْرَ رَأْسِي أَفَأَنْقُضُهُ لِغُسْلِ اَلْجَنَابَةِ ؟ فَقَالَ: لَا إِنَّمَا يَكْفِيكِ أَنْ تَحْثِي عَلَى رَأْسِكِ ثَلَاثَ حَثَيَاتٍ

Artinya : Wahai Rasulullah! Sungguhnya aku termasuk wanita yang mengikat rambut. Apakah aku perlu lepaskan ikatan rambut untuk mandi janabah? Maka jawab baginda : Tidak. Telah memadai bagi mu bahawa kamu siram air atas kepala mu itu tiga kali.” (Hadith Muslim)

6. Meratakan air seluruh badan

Wajib ketika membasuh muka diratakan air pada segala anggota muka yang zahir seperti pangkal anak mata, hujung anak mata, tepi lubang hidung, dua bibir dan dua cuping telinga luar dan dalam.

Wajib bagi wanita menanggalkan terlebih dulu segala perhiasan muka jika ada seperti gincu, eye liner, pembayang mata, bulu mata palsu atau bedak sebelum memulakan mandi kerana ia akan menghalang dari sampai air ke kulit muka.

Jika bedak yang sedikit sekira-kira tidak menghalang sampai air ke kulit muka ketika mandi maka tidak wajib dihilangkan terlebih dulu.

Dan wajib rata air pada sekelian helaian bulu yang ada pada muka seperti bulu roma, bulu kening, bulu mata, misai, jambang dan janggut.

Jika ada sedikit sahaja bahaian yang tidak rata air padanya maka mandi tersebut adalah tidak sah.

Dari Ali r.a. katanya :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ تَرَكَ مَوْضِعَ شَعْرَةٍ مِنْ جَنَابَةٍ لَمْ يَغْسِلْهَا فُعِلَ بِهَا كَذَا وَكَذَا مِنْ النَّارِ

Artinya : “Sungguhnya Rasulullah saw bersabda : Barangsiapa yang meninggalkan satu tempat dari rambutnya daripada janabah tidak dia basuh maka akan diperlakukan begini dan begini di dalam neraka.” (Hadith Abu Daud)

Wajib sampai air pada celah ketiak dan bulunya dan lubang pusat begitu juga segala jari kaki dan tangan dan bawah kuku sekelian jari kaki dan tangan.

Wajib ditanggalkan semua perhiasan yang dipakai pada badan seperti cincin, subang dan lainnya jika ia dapat menghalang dari sampai air pada badan supaya rata air pada tempat tersebut.

Jika sampai air tanpa membuka umpama cincin maka tidaklah wajib menanggalkannya.

Begitu juga wajib dihilangkan terlebih dulu sebelum mandi segala yang menghalang air sampai pada badan seperi cat, minyak, lilin, gam atau seumpamanya.

Dan wajib pula ia duduk mencangkung ketika membasuh bahagian kemaluan depan dan belakang.

Apa yang terbuka pada bahgian faraj wanita ketika duduk mencangkung itu adalah dikira sebagai anggota yang zahir. Maka wajib diratakan air di situ.

Begitu juga hukumnya pada apa yang terbuka di bahagian dubur bagi lelaki dan wanita ketika duduk mencangkung.

Ada pun jika tanpa duduk mencangkung pun air sudah dapat rata pada bahagian kemaluan seperti dia ratakan air sambil berdiri pada celah kemaluan dengan cara menjolok dengan berus atau kayu yang dibasahkan dengan air lalu menjadi rata air pada celah faraj atau duburnya maka tidaklah wajib ia duduk mencangkung bahkan sunat sahaja ia duduk tetapi yang demikian itu adalah sukar dan mungkin menyakitkan.

7. Membasuh bahgian yang kanan dahulu

‘Aisyah r.a. meriwayatkan :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ دَعَا بِشَيْءٍ نَحْوَ الْحِلَابِ فَأَخَذَ بِكَفِّهِ بَدَأَ بِشِقِّ رَأْسِهِ الْأَيْمَنِ ثُمَّ الْأَيْسَرِ

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

Artinya : “Adalah Rasulullah saw apabila mahu melakukan mandi dari janabah maka baginda meminta suatu bekas air yang besar maka mengambil ia akan air dengan tapak tangannya dan menyiram air mulai bahagian yang kanan kepalanya dahulu kemudian bahagian yang kiri.” (Hadith muslim)

8. Membasuh anggota badan tiga-tiga kali sebagaimana ketika berwuduk.

Sekian. UAI Original

Cara Mandi Wajib Yang Betul – Ustaz Azhar Idrus

error: Content is protected !!