Hukum Baca Fatihah Sebelum Memulai Majlis

Hukum Baca Fatihah Sebelum Memulai MajlisSelalu kita lihat apabila sesuatu majlis hendak dimulai maka pengerusi majlis akan meminta para hadirin membaca surah Fatihah agar majlis tersebut mendapat keberkatan.

Sedangkan ada sebahagian orang yang mengatakan membaca Fatihah pada permulaan majlis adalah haram dan berdosa. Maka terjadi kekeliruan kepada masyarakat pada masalah tersebut adakah harus atau haram membaca Fatihah seperti yang diamalkan orang ramai itu?

Daripada A’isyah r.a. katanya :

كان النبي صلى الله عليه وسلم يذكر الله في شأن كله

Artinya : “Adalah Nabi saw berzikir kepada Allah swt pada sekelian pekerjaannya.” (Hadith Bukhari)

Pada hadith ini tidak disebut apakah bentuk zikir yang dibaca olih Nabi saw maka jadilah perintah zikir ini umum. Maka haruslah berzikir dengan menyebut nama Allah sahaja atau Bismillah atau Subhanallah atau Alhamdulillah atau Allahu Akbar atau membaca ayat Quran atau seumpamanya.

Dan maksud ‘pada sekelian pekerjaan Nabi’ pada hadith tersebut ialah semua pekerjaan yang dilakukan bolih kita berzikir samada mahu berjalan atau berhenti atau membuka majlis atau menutupnya atau melakukan pekerjaan mencari rezeki seperti bercucuk tanam atau berternak atau seumpamanya.

Tidak bolih menentukan hanya satu jenis zikir sahaja atau satu jenis pekerjaan sahaja kerana tidak disebut secara khusus dalam hadith tersebut jenis zikir yang mana dan tidak disebut pula jenis pekerjaan yang mana.

Maka siapa yang menetapkan hanya zikir tertentu sahaja bolih dibaca atau pekerjaan tertentu sahaja yang bolih atau menentukan zikir yang ini tidak bolih atau majlis yang ini tidak bolih maka dikehendakki darinya membawa dalil yang khusus daripada Quran atau hadith. Maka jika tiada dapat membawa dalil maka jadilah perkataannya lagha tidak bolih dipakai.

Olih itu hukum membaca apa sahaja zikir adalah harus dan dapat pahala yang membacanya dan majlis yang mana pun harus membaca zikir selagi tidak ada nas dari Al-Quran atau Hadith yang melarang secara khusus.

Berkata Imam Nawawi :

ويفتتح مجلسه ويختتمه بتحميد الله والصلاة والسلام على النبي صلى الله عليه وسلم ودعاء يليق بالحال، بعد قراءة قارئ حسن الصوت سيئا من القرآن العظيم

Artinya : “Dan hendaklah dibuka akan majlisnya atau ditutup akan majlis itu dengan memuji Allah dan berselawat atas Nabi saw dan berdoa dengan doa yang sesuai. Ini adalah kemudian dari membaca olih qari yang sedap suaranya akan suatu ayat daripada al-Quran.” (Kitab At-Taqrib)

Tiada ada perselisihan ulama atas bahawa memuji Allah itu dengan menyebut Alhamdulillah sekurang-kurangnya atau seumpamanya dan termasuk memuji Allah ialah dengan membaca surah Al-Fatihah kerana namanya juga adalah surah Al-Hamd artinya surah pujian.

Maka siapa yang berkata membaca surah Fatihah tidak termasuk memuji Allah maka orang tersebut adalah jahil lagi kurang aqalnya yang tertolak perkataannya.

Abu Said Al-Khudri r.a. meriwayatkan :

كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا قعدوا يتحدثون كان حديثهم الفقه إلا أن يأمروا رجلا فيقرأ عليهم سورة أو يقرأ رجل سورة من القرآن

Artinya : “Adalah dahulu para sahabat Nabi saw apabila mereka berada dalam satu majlis membincangkan hukum-hukum agama adalah menyuruh seseorang membaca atas mereka akan Quran atau membaca seorang akan surah daripada Quran.” (Hadith Baihaqi & Ibnu Saad)

Dan pada lafaz yang lain daripada Abu Nadhrah r.a. :

كان أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا اجتمعوا تذاكروا العلم ، وقرءوا سورة

Artinya : “Adalah para sahabat Nabi saw apabila membincangkan ilmu mereka membaca akan satu surah (dari Al-quran).” (Hadith Al-Khatib)

Dalam dua hadith di atas disebut para sahabat membaca surah pada majlis yang mereka hadiri. Tidak disebut surah manakah yang dibaca maka jadilah ia umum yakni apa sahaja surah yang dibaca kerana mengambil berkat dengannya dan agar mulia majlis tersebut maka hukumnya adalah harus.

Tidak semestinya surah Fatihah sahaja dan tidak pula semestinya surah yang lain.

Olih itu menetapkan satu surah sahaja adalah tidak benar dan melarang satu surah yang disukai olih yang membacanya juga adalah tidak benar.

Yang jelas bahawa membaca surah apa pun samada Fatihah atau lain dari Fatihah adalah harus dan melarangnya adalah salah.

Abu Hurairah r.a. meriwayakan sebuah hadith :

ما اجتمع قوم فتفرقوا عن غير ذكر الله إلا كأنما تفرقوا عن جيفة حمار

Artinya : “Tiadalah berhimpun satu kaum kemudian bersurai tanpa berzikir kepada Allah melainkan seolah-olah bersurai mereka itu dari bangkai keldai.” ( Hadith Nasaai & Ahmad)

Maka membaca surah Al-Fatihah juga termasuk zikir. Walaupun bolih berzikir dengan ucapan yang lain dan bolih membaca surah selain Fatihah tetapi jika seseorang itu memilih untuk membaca surah Fatihah kerana melihat kepada kehebatan surah tersebut yang merupakan ibu bagi Al-Quran maka pilihannya itu adalah harus dan elok.

Rasulullah saw menyatakan kehebatan surah Al-fatihah dalam sabdanya :

أُمُّ الْقُرْآنِ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِيْ وَالْقُرْآنُ الْعَظِيْمُ

Artinya : “Ummul Quran ialah sab’ul mathani (tujuh ayat yang selalu diulang-ulang) dan Al-Quran yang agung.” (Hadith Bukhari)

Akhir sekali sememangnya tidak dapat dinafikan siapa sahaja yang membaca surah Al-Fatihah pada permulaan majlis semestinya dia mengharapkan kebaikkan pada majlis tersebut. Maka sangat tepat sekali dia mulakan dengan suatu surah yang menjanjikan kebaikkan kalau dibaca dan maqbul keberkatan yang diharapkan.

Ubai bin Kaab r.a. telah berkata bahawa Nabi saw bersabda :

”مَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِيْ التَّوْرَاةِ وَلاَ فِيْ الإِنْجِيْلِ مِثْلَ أُمِّ الْقُرْآنِ ، وَهِيَ السَّبعُ الْمَثَانِيْ وَهِيَ مَقْسُوْمَةٌ بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ”

Artinya : “Tiada menurunkan olih Allah ‘Azza Wa Jalla pada Kitab Taurat dan tiada pada Kitab Injil seumpama Ummul Quran yakni Fatihah. Ialah tujuh ayat yang diulang-ulang. Ia dibahagi antara Aku dan hamba Ku. Dan dapat bagi hamba Ku apa yang dia minta.” (Hadith Nasaai)

Maka jelas dari hadith ini siapa yang membaca Fatihah pada permulaan majlis kerana mengharapkan keselamatan dan keberkatan majlis maka akan diberi keselamatan dan keberkatan pada majlis tersebut.

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

Kesimpulannya dapat pahala siapa yang mengamalkan membaca Fatihah pada permulaan majlis dan berdosa orang yang melarangnya lagi menjadi fasiq kerana tergolong dalam orang yang melarang perbuatan baik.

Sekian. FP UAI Original

Ustaz Idris Sulaiman – Buka Majlis dengan al-Fatihah & Sedekah al-Fatihah kepada Arwah

error: Content is protected !!