Hukum Masalah Dahan Pokok Masuk Ke Tanah Orang

Hukum Masalah Dahan Pokok Masuk Ke Tanah Orang

16 views

Hukum Masalah Dahan Pokok Masuk Ke Tanah OrangIslam sangat menuntut kepada hidup berbaik-baik samada dengan orang yang berjauhan apa lagi dengan dekat yang berjiran dengan kita.

Banyak berlaku masalah apabila yang hidup berjiran itu tidak mengetahui dan menghurmati hak-hak jirannya.

Orang yang suka menyakiti jirannya adalah orang yang tidak sempurna imannya.

Rasulullah saw bersabda :

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِالله وَ اليَوْمِ الآخِر فَلاَ يُؤْذِيْ جَارَهٌ

artinya : “Barangsiapa yang ada ia beriman dengan Allah dan hari akhirat maka janganlah ia menyakiti jirannya.” (Hadith Bukhari)

Antara masalah yang sering berlaku antara jiran tetangga ialah dahan pokok menyeberangi ke halaman jiran.

Islam menganjurkan konsep berlebih kurang dan saling memaafkan antara sesama kita. Jika dahan tersebut tidak memudaratkan jirannya maka hendaklah maafkan sahaja yakni tidak diambil kisah.

Daun-daun yang gugur dari dahan pokok jiran hendaklah dibersihkan olih empunya pokok dan jika empunya pokok tidak membersihkannya elok tuan rumah sahaja yang bersihkannnya. Ini adalah termasuk berbuat ihsan yang sangat disukai olih Allah swt.

Akan tetapi jika dahan tersebut bolih memudaratkan atau menyusahkan tuan rumah maka hendaklah tuan pokok mengalihkan atau memotong dahan yang lebih tersebut.

Tersebut pada kitab Bughyah Murtasyidin :

و لو انتشرت اغصان شجرة او عروقها الى هواء ملك الجار اجبر صاحبها على تحويلها فان لم يفعل فللجار تحويلها

artinya : “Dan jikalau tersebarlah dahan dan ranting pokok ke kawasan milik jiran hendaklah disuruh tuan pokok alihkan dahan tersebut. Maka jika tuannya tidak alihkan maka tuan rumah bolih mengalihkannya.”

Jika tuan pokok itu orang yang baik dan bertanggung jawab maka pasti dia akan alihkan atau potong dahan yang mengganggu jirannya itu. Walau pun perkara ini nampak remeh tapi sebagai orang yang beriman sudah tentu tidak suka melakukan sesuatu yang menyakiti orang lain.

Jika ditakdirkan tuan pokok enggan mengalihkan atau memotong dahan tersebut maka haruslah tuan rumah itu memotongnya sendiri.

Tersebut dalam kitab Al-Mughni :

وَلَهُ قَطْعُهَا وَلَوْ بِلَا إذْنِ قَاضٍ إنْ لَمْ يُمْكِنْ تَحْوِيلُهَا

artinya : “Dan bila tuan pokok tidak mahu memotong dahan tersebut maka harus tuan rumah memotongnya sekalipun tanpa kebenaran pihak berkuasa jika dia tidak bolih mengalihkannya.”

Sebaiknya memotong dahan jiran ini hanyalah pada ketika dahan tersebut memudaratkan atau menyakiti tuan rumah. Jika tidak sampai memudaratkan atau menyakitinya elok bersabar sahaja kerana ini lebih memelihara hubungan sesama jiran.

Akhir sekali bagi tuan pokok hendaklah sentiasa menjaga hak jirannya dan jangan memejam mata pada masalah-masalah yang berlaku di sekeliling kejiranan apatah lagi jika punca masalah adalah darinya.

Ingatlah amaran Rasulullah saw kepada orang yang suka menyusahkan jirannya dalam satu hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda :

لا يدخل الجنة من لا يأمن جاره بوائقه

artinya : “Tidak akan masuk ke dalam syurga siapa yang tidak aman jirannya dari gangguannya.” (Hadith Muslim)

Wallahua’lam. FP UAI Original

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

Ustaz Azhar Idrus – Makan Buah Jiran Pokok Yang Berjuntai Masuk Dalam Pagar

https://www.youtube.com/watch?v=tDf6Xe2YPGM