Israk Mikraj Satu Perjalanan Peristiwa Penuh Hikmah dan Pengajaran

Israk Mikraj Satu Perjalanan Peristiwa Penuh Hikmah dan Pengajaran

22 views

Israk Mikraj Satu Perjalanan Peristiwa Penuh Hikmah dan PengajaranPada tarikh 27 Rejab setiap tahun, umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad ﷺ dari Mekkah ke Madinah. Apabila bercerita tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah ﷺ bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa:

  1. Israk yakni perjalanan Nabi Muhammad ﷺ menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
  2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Nabi Muhammadﷺ ini telah diabadikan oleh Allah سبحانه وتعالى di dalam Al-Quran:

Firman Allah سبحانه وتعالى:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah ﷺ hanya berlangsung pada satu malam. Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda ﷺ sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi Muhammadﷺ bukannya roh sahaja.

Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah سبحانه وتعالى menegaskan “asra bi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.

Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi Muhammadﷺ dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah Rasulullah ﷺ menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan Baginda ﷺ. Fitnah terhadap Baginda ﷺ bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan Baginda ﷺ, maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ lalu beliau dengan tegas menyatakan :

“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah . Jika baginda mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”

Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Nabi Muhammad ﷺ berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

A. Sebelum Israk dan Mikraj

Sebelum melalui kejadian Israk dan Mikraj, Nabi Muhammadﷺ mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda ﷺ dicuci dengan air zam-zam serta dibuang ketulan hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was²nya. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah ﷺ. Setelah itu, dada Baginda ﷺ dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.

Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama “Buraq” untuk ditunggangi oleh Rasulullah ﷺ dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

B. Semasa Israk

(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Nabi Muhammad ﷺdiiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat² tertentu (tempat² yang mulia dan bersejarah), Rasulullah ﷺ telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat.

Di antara tempat² berkenaan adalah:

  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah ﷺ akan melakukan hijrah.
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah سبحانه وتعالى;
  3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan);

Peristiwa Ajaib

Dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad ﷺ menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa² simbolik yang amat ajaib.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad ﷺ turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Nabi Muhammad ﷺ terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi arak dan susu. Rasulullah ﷺ memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: “Baginda  membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.”

C.  Semasa Mikraj

(Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah سبحانه وتعالى):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi Muhammad h ﷺ dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

  1. Di Tangga Pertama:

Nabi Muhammad ﷺ dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang² yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

  1. Di Tangga Kedua:

Nabi Muhammad ﷺ. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

  1. Di Tangga Ketiga:

Naik langit ketiga. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

  1. Di Tangga Keempat:

Naik tangga langit keempat. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Idris A.S.

  1. Di Tangga Kelima:

Naik tangga langit kelima. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

  1. Di Tangga Keenam:

Naik tangga langit keenam. Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Nabi². Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah ﷺ mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

  1. Di Tangga Ketujuh:

Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah ﷺ.

Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Dikau akan berjumapa dengan Allah سبحانه وتعالى pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu:

“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:

“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.”

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”

Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah ﷺ dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul² di atas Baitullah di Mekah).

  1. Di Tangga Kelapan:

Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺ menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun², batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata² yang indah. Unggas² emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda ﷺ dapat menyaksikan juga sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

  1. Di Tangga Kesembilan:

Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺmasuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10.  Di Tangga Kesepuluh: 

Rasulullah ﷺ sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah سبحانه وتعالى dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah سبحانه وتعالى dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah سبحانه وتعالى: “Ya Muhammad!”

Nabi Muhammad ﷺ: “Labbaika.”

Allah سبحانه وتعالى: “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”

Nabi Muhammad ﷺ : “Wahai Tuhanku! Dikau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Dikau berikan dia kerajaan yang besar. Dikau berkata-kata dengan Musa. Dikau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Dikau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Dikau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Dikau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”

Allah سبحانه وتعالى: “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji² Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”

D. Selesai Munajat

Selepas selesai munajat, Nabi Muhammad ﷺ di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah ﷺ merayu kepada Allah سبحانه وتعالى agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah سبحانه وتعالى perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

E. Selepas Mikraj

Nabi Muhammad ﷺ turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

Penutup

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah سبحانه وتعالى dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang² kafir di zaman Nabi ﷺ langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi Muhammad ﷺ sebaik Baginda  bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Allah سبحانه وتعالى telah menunjukkan bukti² kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda  ﷺ. Sumber : shafiqolbu.

Amalan Dan Iktibar Peristiwa Israk Dan Mikraj

Bulan Rejab merupakan bulan Allah yang banyak keistimewaannya yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada umat-Nya. Pintu rahmat terbuka luas untuk bertaubat dan memohon ampun di atas dosa-dosa yang lepas yang perlu dikerjakan dengan sifat ikhlas, rendah diri dan tawwaduk agar ganjaran yang akan diperolehi itu ada keberkatannya.

Malam 27 Rejab

Beramallah bersungguh-sungguh dengan berjaga sepanjang malam bagi melakukan ibadah solat-solat sunat, beristighfar, bertahmid, berzikir, bertasbih, berselawat dan berdoa. Bersahurlah sebagai persediaan puasa pada siangnya dan amal ibadat yang lain.

Amalan Malam Rejab

  1. Solat Sunat Tahajjud 2, 8 atau 12 rakaat.
  2. Solat Sunat Tasbih,
  3. Solat Sunat Taubat,
  4. Solat Sunat Witir.
  5. Beristighfar 70 kali, 100 kali atau lebih..
  6. Berdoa.
  7. Memohon keampunan diri dan ibu bapa.
  8. Berselawat, berzikir dan bertasbih sehingga fajar subuh.

Banyak lagi ganjaran yang Allah beri jika umat Islam beribadat sepanjang Rejab. Berpuasa sunat adalah antaranya. Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari Israk-Mikraj.

Sayyidatina Aishah berkata bahawa Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: “Semua manusia dalam kelaparan pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Mereka tetap kenyang tanpa berasa lapar dan tidak pula haus.”

Peristiwa Penting

Beberapa peristiwa penting telah berlaku dalam bulan Rejab, antaranya:

  1. Peristiwa Israk dan Mikraj (27 Rejab)
  2. Malaikat Jibril melakukan pembedahan ke atas dada Rasulullah SAW.
  3. Diperlihatkan keadaan syurga dan neraka melalui Rasulullah SAW.
  4. Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Rasul-Rasul terdahulu.
  5. Solat lima waktu difardukan ke atas umat Islam (malam Israk Mikraj)

Peristiwa Israk dan Mikraj ke atas Nabi Muhammad SAW. adalah perkara besar yang berlaku dalam bulan ini. Baginda telah di‘Israk’kan (dibawa berjalan) dengan menggunakan `Buraq’, dari Masjidil Haram di Kota Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis, Palestin serta di‘Mikraj’kan (dibawa naik ke atas) ke Sidratul Muntahauntuk mengadap Allah SWT. Di mana dengan izin-Nya, Solat 5 waktu telah difardukan ke atas umat Islam melalui Rasulullah SAW.

Semuanya berlaku dalam satu malam sahaja. Perjalanan ini disebutkan Allah di dalam Al-Quran menerusi firman-Nya:

amalan israk mikraj

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesunguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”    (Surah Al Israa’: 1)

Menurut ulama, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi itu ialah roh dan jasadnya sekali. Bukannya roh saja atau mimpi. Peristiwa agung itu berlaku setahun sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah iaitu bersamaan dengan tahun 721 masihi ketika Baginda dan sahabat berada dalam tekanan kuat daripada golongan musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.

Iktibar Daripada Kisah Israk Dan Mikraj

Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah kesempurnaan. Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Ketika diisrakkan pada malam itu, Rasulullah SAW terlebih dulu menjalani pembedahan dadayang dilakukan Malaikat Jibril dengan mengeluarkan segala kotoran, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-was. Diisi dengan iman dan hikmah, kemudian dibersihkan hati baginda dengan air zamzam dan dicantumkan semula.

Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq. Ketika perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat. Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.

Setibanya Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Rasulullah SAW mengerjakan solat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman kepada baginda. Lantas baginda memilih susu.

Jibril berkata: “Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan tersesatlah engkau dan umat engkau.”

Dalam peristiwa Mikraj pula, baginda naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

Beberapa tanda kebesaran diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika Israk, antaranya ialah baginda melihat orang yang sedang memotong padi dan selepas tiap potongan, pokok padi itu tumbuh lagi dan demikian seterusnya tanpa henti.

Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah gerangan itu?” Jibril menjawab: “Itulah contohnya umatmu yang suka bersedekah, maka harta yang disedekahkah itu tidak hilang bahkan kian bertambah di sisi Tuhan yang diterima oleh umatmu yang rajin beramal di kemudian hari dengan berlipat ganda.”

Rasulullah SAW turut melihat orang yang memukul kepala dengan besi. Selepas pecah kepala, ia bercantum semula. Kemudian, dipukul lagi dan pecah semula, begitulah seterusnya berulang kali.

Selepas Rasulullah SAW bertanya, Jibril pun menjawab: “Inilah orang yang malas dan enggan mengerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud kepada Allah maka di kemudian hari, dia akan merasakan sendiri kemalasannya itu.”

Ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ketujuh itu. Di tempat mulia itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk baginda dan umatnya, iaitu mengerjakan solat. Nabi mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi Musa as, akhirnya Baginda mendapat keringanan Allah SWT untuk mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi 50 ganjaran pahala.

Rasulullah SAW bersabda: “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh solat, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan solat itu yang sudah pun dikurangkan hingga tinggal lima saja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Solat fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari).

Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain.

Selepas perintah solat itu, Nabi kembali turun ke langit dunia seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang pada malam yang sama ke Makkah sebelum waktu Subuh. Kecepatan Buraq membolehkan Rasulullah SAW pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq mencecah bumi.” Baginda SAW bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis.” 

Begitulah perjalanan dari Makkah ke Palestin, kemudian naik ke langit dan lebih tinggi dari itu sebelum menerima perintah solat.

Diikuti pula pertemuan dengan Rasul terutama bersoal jawab dengan Nabi Musa as, menyaksikan keanehan Sidratul-Muntaha, melihat keindahan syurga. Dalam ‘pengembaraan luar biasa’ itu, Rasulullah SAW menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia kerana melakukan kemungkaran di dunia.dan sebagainya, terus kembali ke alam dunia hingga ke Makkah dengan perjalanan yang singkat.

Peristiwa ini berlaku ketika Nabi berada di puncak kesedihan yang memerlukan sokongan dalaman. Tahun itu dikenali sebagai ‘Aam al Huzni’ (tahun berduka cita).

Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib.

Sesungguhnya, mukjizat Israk dan Mikraj memperlihatkan kekuasaan Allah SWT. Segala peristiwa tercatat seharusnya lebih menguatkan keimanan dan keyakinan manusia terhadap Allah SWT.

Peristiwa ini membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat dan pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa Israk Mikraj ialah seluruh umat Islam bertanggungjawab membebaskan dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang menjadi lambang kebesaran serta tempat suci bagi umat Islam daripada cengkaman Yahudi. Justeru, mereka perlu berkorban menerbitkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebenaran kenabian Muhammad SAW. sumber : shafiqolbu

Teks Khutbah Jumaat Hikmah Kebersihan Jiwa Dari Peristiwa Israk Mikraj

Teks Khutbah Jumaat Hikmah Kebersihan Jiwa Dari Peristiwa Israk Mikraj

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah SWT,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan para jemaah sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakankhutbahbertajuk: “HIKMAH KEBERSIHAN JIWA DALAM PERISTIWA ISRAK MIKRAJ”.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Menurut sebahagian ulama, Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT. Peristiwa Isra’-Mikraj ini juga sebenarnya membuka cerita kepada kita tentang hakikat alam semesta ini. Bagaimana kedudukannya, susunan langit-langit yang tujuh serta tujuh petala bumi, Namun yang pentingnya dalam Isra’ Mikraj adalah petunjuk, pedoman dan panduan untuk kita umat di akhir zaman.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk, ayat 1:

سُبْحَٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimana pun sebelum berlaku Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat Jibril untuk membersih hati daripada ketulan hitam bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya dan dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj mengadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja. Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah SWT ke atas hamba-Nya dalam membina dan memantapkan pegangan akidah.

Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin,  Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah lama meninggal dunia, dan mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu secara berhadapan terus dengan Allah SWT.

Perjalanan yang melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-rasul terdahulu menegakkan syiar Islam. Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa para Nabi semuanya akur terhadap kedudukan Baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah SWT.

Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril, adalah pertemuan kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia. Inilah bukti kekuasan dan kebesaran Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang diinginkan–Nya.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Yakinlah bahawa menjadi salah satu pengajaran dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah persediaan teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian hati ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT, seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji. Dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk berkomunikasi secara khusyuk dengan Allah SWT dan membawa hasil yang menguntungkan.

Kebersihan dan penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka semakin kotor pakaian kita. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika pakaian itu tidak dibasuh. Demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak mandi dan membersihkannya dengan sempurna.

Begitu jugalah hati manusia. Setiap manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah dalam keadaan bersih. Bagaimana pun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya. Manusia menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan kesenangan. Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia kadangkala atau yang berat lagi bertabiat pula melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini akan menjadi titik hitam dalam hati. Semakin banyak kesalahan maka semakin tebal titik hitam dalam hat seseorang. Kelemahan dan kegagalan manusia menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian hati telah menjerumuskan individu atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak asasi manusia.

Mimbar ingin menyatakan bahawa antara tanda- tanda semakin tebal titik hitam dalam hati manusia ialah,

Pertama: Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan.

Kedua: Tidak tersentuh hatinya apabila mendengar ayat- ayat al-Quran.

Ketiga: Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi seperti berlakunya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran sebagai contoh kematian, sakit, bencana.

Keempat: Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat.

Kelima: Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat.

Keenam: Kemaksiatan yang berterusan.

Ketujuh: Meremehkan dosa kecil.

Kelapan: Tidak peduli sumber makanan.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan prestasi hati kita supaya ianya terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat Islam?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pada masa iniumat Islam terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme, pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.

Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya. Berdasarkan pemerhatian mimbar, gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan keimanan dan kecemaran hati umat Islam yang di gelapkan oleh perbuatan mereka sendiri.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa ketahuilah hati kita adalah pusat kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat apabila rata-rata manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.

Inilah masanya umat Islam mesti sedar dan meletakkan kepentingan Islam di dalam hatinya melebihi segala kepentingan yang lain. Pertahankanlah kesucian dan kedaulatan agama Islam sebaik yang mungkin dan bertindaklah berdasarkan kebijaksanaan dan keimanan. Janganlah disebabkan tindakan dan perbuatan kita yang hanya menurut emosi, kesucian agama Islam boleh tergadai dan tergugat.

Justeru, selari dengan sunnah Rasulullah SAW, maka dengan rasa tanggungjawab mimbar yang mulia ini menyeru wahai jemaah sekalian, walaupun dalam keadaan sibuk mana sekalipun dengan urusan dunia, sediakanlah dalam masa-masa tertentu untuk menginsafi, bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Sediakan waktu-waktu tertentu untuk mengingati Allah SWT memuji dan membesarkan Allah SWT, mensucikan Allah SWT agar hati dan jiwa saudara dan jemaah sekalian menjadi kembali bersih.

Muslimin yang dirahmati Allah SWT,

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan kita mengingati peristiwa Isra’ Mikraj ini, mimbar menyeru marilah kita melipatgandakan penyucian diri dan beribadahlah menyembah Allah SWT dengan penuh berkualiti dalam menunaikan solat, berzakat, menunaikan puasa, haji, melaksanakan ibadah sunat yang lain serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT. Mimbar amat yakin sebagai umat Islam sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa.

            Ingatlah, sejarah ataupun peristiwa yang telah berlaku dimasa lalu mesti dijadikan cerminan dan panduan untuk masa hadapan. Yakinlah bahawa hidup ini umpama kita memandu kenderaan, kita memerlukan cermin untuk kita melihat ke belakang sebagai panduan bagi kita untuk memandu ke hadapan. Inilah kepentingan sejarah dan peristiwa yang telah berlaku. Bayangkanlah, apakah akibatnya jika kita memandu kenderaan tanpa menggunakan cermin untuk melihat ke belakang?. Sudah pasti kita akan berhadapan dengan kemalangan mahupun tragedi yang buruk.

Maka, jadikanlah pengajaran di sebalik peristiwa yang telah berlaku terutamanya sejarah dalam negara kita mahupun sejarah Islam untuk meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan Mikraj  merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabuut ayat 45:

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Maksudnya: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur’an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

“Hikmah Kebersihan Jiwa Dalam Peristiwa Isra’ Mikraj”

 (7 Jun 2013 / 28 Rejab1434H)

Kuliah Israk Mikraj – Ustaz Azhar Idrus

https://www.youtube.com/watch?v=6nphDYyVW2M

Gallery for Israk Mikraj Satu Perjalanan Peristiwa Penuh Hikmah dan Pengajaran