Ketahui Cara & Syarat Taubat Seorang Pencuri

Ketahui Cara & Syarat Taubat Seorang Pencuri

Mencuri adalah termasuk menzalimi orang lain pada hartanya dan memakan harta orang lain cara zalim. Hukumnya haram dan berdosa dan pelakunya di dunia menjadi fasiq dan di akhirat mendapat azab neraka.

Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Ertinya : “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.” (An-Nisa : 29)

Dalam ayat yang lain Allah swt berfirman :

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

maksudnya : “Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim akan manusia dan melampaui batas di atas muka bumi tanpa hak. Mereka itu ialah orang-orang yang akan mendapat azab yang pedih.” (As-Syura : 42)

Pencuri adalah orang jahat di sisi agama dan masyarakat.

Rasulullah saw bersabda :

المسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

artinya :“Seorang Islam yang baik ialah orang yang selamat orang-orang Islam dari kejahatan lidah dan tangannya.” (Hadith Syaikhain)

Syarat-syarat Bertaubat Dari Dosa Mencuri

  1. Berhenti mencuri
  2. Menyesal kerana telah mencuri
  3. Berazam sunguh-sungguh tidak akan mengulangi mencuri
  4. Memulangkan kembali harta yang dicuri.

Ada pelbagai keadaan harta curian, cara mencuri dan tuan punya harta curian. Kawan mencuri harta kawan dan saudara mara, pekerja mencuri wang majikan, pemerintah mencuri wang rakyat, rakyat mencuri wang pemerintah, penjaga amanah mencuri harta yang diamanahkan kepadanya, merompak, menyamun, meragut dan sebagainya.

Semuanya wajib dikembalikan dengan segera dan jika empunya harta sudah mati maka hendaklah dikembalikan kepada warisnya. Jika harta curian sudah rosak atau hilang atau seumpamanya maka wajib menggantinya dengan nilai harga harta tersebut. Bertaubat tanpa memulangkan kembali wang dan harta yang dicuri itu adalah tidak sah taubatnya.

Maka jika telah melakukan syarat-syarat tersebut Allah pasti akan mengampunkannya dan di akhirat nanti dia termasuk orang-orang yang beruntung.

Firman Allah swt :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

artinya: “Wahai orang-orang yang beriman bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah dengan taubat yang sebenar. Pasti Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahan kamu itu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (At-Tahrim : 8)

Bertaubat hendaklah dengan segera dan jangan sekali-kali menangguh ke waktu yang kita tidak pasti masih bernyawa atau sudah menjadi mayat.

Firman Allah swt :

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالْأَرْضُ

artinya : “Dan bersegeralah kamu semua kepada memohon ampun dari Tuhanmu dan syurga-Nya itu seluas langit dan bumi.” (Ali-Imran : 133)

Apabila pencuri sudah bertaubat dengan taubat nasuha maka dia tidak lagi berada dalam kemurkaan Allah bahkan sudah tergolong dalam orang-orang yang baik..

Rasulullah saw pernah bersabda :

كلُّ بَني آدمَ خطَّاء، وخيرُ الخطَّائين التوَّابون

artinya : “Setiap anak Adam (cenderung) melakukan kesalahan. Dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (Riwayat Jama’ah)

Kepada semua pencuri, perompak, penyamun dan yang seumpamanya diluar sana marilah kita segera bertaubat kepada Allah dengan sungguh-sungguh mudah-mudahan segala dosa dan kesalahan diampuni olihNya.

Akhir sekali Nabi saw bersabda :

من كانت عنده لأخيه مظلمة فليتحلله اليوم قبل أن لا يكون دينار ولا درهم إن كان له عمل صالح أخذ من حسناته بقدر مظلمته فإن لم يكن له حسنات أخذ من سيئات صاحبه فحمل عليه

artinya : “Barang siapa yang ada sangkut paut berbuat zalim dengan saudaranya samada berkaitan kehormatan diri atau lainnya maka mintalah dihalalkan daripadanya pada hari ini. Sebelum tiba hari (kiamat) yang tidak laku lagi wang ringgit. Jika dia mempunyai pahala amal solih, pasti akan diambil pahala itu lalu diberikan kepada orang yang dia zalimi. Maka jika dia tidak mempunyai pahala amal lagi maka akan diambil dosa orang yang dia zalimi lalu dipikulkan ke atasnya.” (Hadith Bukhari)

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

wallahua’lam FP UAI Original

Video Penjelasan Ustaz Azhar Idrus Mengenai Mencuri & Bertaubat

error: Content is protected !!