Senarai Perkara Yang di Haramkan Ketika Hadas Besar

Senarai Perkara Yang di Haramkan Ketika Hadas Besar

113 views

Senarai Perkara Yang di Haramkan Ketika Hadas Besar

1) Sembahyang

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda :
لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ

artinya : “Tidak akan diterima suatu sembahyang dengan tiada bersuci”. (Hadith Muslim)

Mengerjakan sembahyang samada sembahyang fardhu atau sunat atau sembahyang jenazah dalam keadaan berhadas adalah haram samada hadas kecil atau hadas besar dan pelakunya adalah fasiq.

Berkata Imam Nawawi :

أجمع المسلمون على تحريم الصلاة على المحدت وأجمعوا على أنها لا تصح منه سواء إن كان عالما بحدثه أو جاهلا أو ناسيا لكنه إن صلى جاهلا أو ناسيا فلا إثم عليه وإن كان عالما بالحدث وتحريم الصلاة مع الحدث فقد ارتكب معصية عظيمة

Artinya : “Telah berlaku ijmak umat Islam atas haram sembahyang bagi orang yang berhadas. Dan mereka juga ijmak atas bahawasanya tidak sah sembahyang daripadanya samada dia tahu dia sedang berhadas atau tidak tahu atau terlupa. Dan tetapi jika dia sembahyang dalam keadaan berhadas kerana tidak tahu atau sebab lupa maka dia tidak berdosa dan jika dia tahu dia berhadas dan diharamkan sembahyang maka dia telah melakukan dosa besar.” (Al-Majmu’ Syarah Muhazzab)

Sembahyang dalam keadaan berhadas besar dengan sebab terlupa tidak berdosa tetapi sembahyangnya adalah tidak sah dari kerana bersuci adalah syarat bagi sahnya sembahyang. Dan wajib dia ulangi sembahyangnya itu selepas mandi hadas.

Jikalau seorang yang sedang mengerjakan sembahyang lalu tersedar bahawa dia dalam keadaan berhadas besar maka wajib berhenti dengan segera dari sembahyangnya itu. Sekalipun dia sedang melakukan rukuk atau sujud maka wajib segera keluar dari sembahyang kerana meneruskan sembahyang selepas sedar dalam keadaan berhadas adalah dikira mengerjakan perbuatan yang haram.

Begitu juga dengan imam yang tersedar ketika sedang sembahyang bahawa dia dalam keadaan berhadas wajib dia berhenti dari sembahyang serta merta melainkan jika dia sedang berada di dalam rukuk atau sujud kerana jika dia keluar dari sembahyang ketika sedang rukuk atau sujud akan memudaratkan makmum di belakangnya.

Jikalau seorang baru teringat selepas beberapa masa bahawa dia ada mengerjakan satu sembahyang tanpa mandi hadas terlebih dahulu maka wajiblah diqadha sembahyang tersebut dan sembahyang yang dikerjakan sebelum mandi hadas. Dan dia tidak berdosa kerana kelupaannya itu.

Jika imam berhadas sewaktu sedang mengerjakan sembahyang maka hanya sembahyang imam yang batal manakala sembahyang makmum tidak batal.

Berkata Syeikh Wahbah Az-Zuhaili :

أن العلماء اتفقوا على أنه إذا طرأ الحدث في الصلاة على الإمام، فتفسد صلاته وتظل صلاة المأمومين صحيحة.

Artinya : “Sungguhnya ulama telah sepakat atas bahawasanya apabila berlaku hadas ketika sembahyang bagi imam maka batal sembahyang imam dan sembahyang makmum sekeliannya adalah sah.” (Al-Fiqh Al-Islami)

Begitu juga apabila selesai sembahyang imam teringat dia belum mandi hadas maka imam wajib mengulangi sembahyang selepas mandi hadas manakala makmum sudah sah sembahyang mereka itu.

Orang yang mengalami hadas besar kemudian dia syak adakah sudah bersuci atau belum maka dihukumkan dengan belum bersuci maka wajiblah dia mandi hadas kerana kaedah fiqh :

الأصل العدم

Artinya : Pada asalnya dikira belum berbuat.

Jika selesai mandi lalu datang syak adakah tadi dia berniat mengangkat hadas yang besar atau berniat mengankat hadas yang kecil maka syaknya tidak memudaratkan apa-apa.

Orang yang yakin imam belum mandi hadas tidak sah menjadi makmum kepada imam tersebut kerana syarat sah mengikut imam hendaklah makmum tidak beriktikad tidak sah sembahyang imam.

Sekian

Bersambung… FP UAI Original

Solat Dalam Hadas Besar Kerana Lupa Mandi Wajib – Ustaz Azhar Idrus

https://www.youtube.com/watch?v=fzgOLA9UD1w

2. Tawaf

Haram tawaf ketika hadas besar

Oleh kerana suci dari hadas adalah syarat sah sembahyang maka ia juga menjadi syarat bagi sahnya ibadah tawaf di Baitillah samada tawaf yang fardhu atau tawaf yang sunat.

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ فَأَقِلُّوا مِنْ الْكَلَامِ

artinya : “Bermula tawaf mengelilingi Kaabah itu sama hukumnya seperti sembahyang. Maka kurangkanlah berkata-kata.” (Hadith An-Nasaai)

Maksud tawaf sama dengan sembahyang itu ialah tawaf disyaratkan juga menutup aurat, suci dari najis dan suci dari hadas.

Ketika A’syah r.a sedang haidh dia bertanya Rasuluullah saw lalu kata baginda :

افْعَلِي مَا يَفْعَلُهُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوْفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِيْ

artinya : “Perbuatlah apa yang para haji berbuat selain tawaf mengelilingi Kaabah sehinggalah kamu suci.” (Hadith Bukhari)

Jika tidak sengaja tawaf dalam keadaan tidak suci maka tidaklah berdosa tetapi tawafnya tidak sah.

3. Membaca & Menyentuh Quran

Haram Membaca & Menyentuh Al Quran Ketika Hadas Besar

Barangsiapa yang berhadas besar samada hadas janabah atau haidh atau nifas maka haram atasnya membaca Quran atau menyentuhnya.

Firman Allah swt :

لاَ يَمَسُّهُ إِلاَّ الْمُطَهَّرُونَ

artinya : “Tiada menyentuh Quran itu melainkan mereka yang suci.” (Al-Waqi’ah : 79)

Rasulullah saw bersabda :

لاَ تَمُسُّ القُرْآن إِلاَّ وَأَنْتَ طَاهِرٌ

artinya : “Tiadalah kamu menyentuh Al-Quran melainkan kamu dalam keadaan suci.” (Hadith Al-Hakim)

Maka haram dalam keadaan hadas besar sengaja menyentuh tulisannya, kertas helaiannya dan kulitnya.

Dan haram juga menyentuh helaian Quran yang sudah tercabut atau Quran kecil yang hanya mengandungi hanya satu surah seperti surah Yaasin atau beberapa surah atau ayat.

Tidak haram menyentuh kitab tafsir yang jumlah tafsirnya lebih banyak dari ayat Quran.

Berkata Imam At-Tirmizi :

وَهُوَ قَوْلُ أَكْثَرِ أَهْلِ العِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَالتَّابِعِينَ ، وَمَنْ بَعْدَهُمْ مِثْلِ : سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ ، وَابْنِ الْمُبَارَكِ ، وَالشَّافِعِيِّ ، وَأَحْمَدَ ، وَإِسْحَاقَ

artinya : “Dan ialah pendapat yang paling ramai dari kalangan ulama daripada sahabat Nabi saw dan ulama tabi’in dan ulama yang kemudian dari mereka itu seperti sufyan At-Thauri dan Abdullah bin Mubarak dan Syafie dan Ahmad dan Ishaq.”

Perempuan yang sedang haidh dan nifas adalah sama hukumnya dengan yang sedang berhadas janabah yaitu haram membaca dan menyentuh Quran.

Berkata Imam Nawawi :

في مذاهب العلماء في قراءة الحائض القرآن . قد ذكرنا أن مذهبنا المشهور : تحريمها

artinya : “Pada sisi mazhab-mazhab ulama tentang hukum membaca Quran olih yang sedang haidh telah kami sebutkan bahawa sungguhnya mahzab kami yang terkenal hukumnya diharamkannya.” (Syarah Al-Muhazzab)

Yang dimaksudkan membaca yang diharamkan ini ialah membaca dengan mengeluarkan suara. Maka tidak haram membaca dalam hati atau tidak mengeluarkan suara.

Beberapa Faedah :

  • Harus yang sedang berhadas besar membaca doa yang berasal dari Al-Quran seperti membaca Bismillah atau membaca doa naik kenderaan atau seumpamanya dengan niat zikir bukan dengan niat membaca Al-Quran.
  • Bagi perempuan hafizah yaitu yang hafal Quran jika takut lupa hafalannya maka harus ia membaca dalam hatinya atau membaca dengan menggerakkan bibirnya tanpa suara.
  • Bagi guru Quran wanita yang mengajar muridnya jika dalam keadaan haidh bolihlah mengajar dengan cara menyuruh muridnya membaca Quran dan dia menegurnya apabila murid itu tersalah membacanya.
  • Harus bagi yang berhadas besar samada janabah atau haidh dan nifas membaca terjemahan Quran, zikir, selawat, doa, istighfar dan seumpamanya yang tidak termasuk ayat-ayat Al-Quran.
  • Tidak haram yang berhadas besar menyentuh dan membaca selain Al-Quran seperti hadith, perkataan sahabat dan ulama.
  • Harus pula mereka menyentuh umpama papan hitam yang ada tertulis ayat Quran padanya tanpa menyentuh tulisan ayat Quran tersebut.
  • Harus memegang telefon pintar yang ada padanya Quran tetapi tidak menyentuh pada tulisannya.
  • Dan harus kanak-kanak menyentuh Quran sekalipun tidak bersuci kerana menggalakkan mereka belajar Al-Quran.
  • Harus pula menyentuh Quran ketika darurah seperti ketika kebakaran untuk menyelamatkan Quran dari hangus atau ketika terjatuh di jalanan takut digilis kenderaan atau terkena suatu yang kotor.
  • Haram orang yang suci dari hadas memegang Quran jika ada pada tangannya najis atau kotoran kerana memeliharanya dari yang demikian adalah wajib.

4. Iktikaf & Berada Di Dalam Masjid

Iktikaf artinya duduk di dalam masjid dengan niat ibadah kepada Allah dengan beberapa syarat. Antara syarat iktikaf ialah suci dari hadas.

Olih kerana itu tidak sah bagi orang yang junub atau wanita yang sedang haidh atau nifas beriktikaf di dalam mana-mana masjid dan sengaja ia duduk di dalam masjid itu adalah haram.

A’isyah r.a. telah meriwayatkan sebuah hadith :

كُنَّ الْمُعْتَكِفَاتُ إذَا حِضْنَ أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِخْرَاجِهِنَّ عَنْ الْمَسْجِدِ

artinya : “Kami pernah dulu beriktikaf dan apabila kami mengalami haidh maka Rasulullah saw menyuruh dengan keluar dari masjid.” (Hadith Abu Hafs)

Ummu Athiyah r.a. meriwayatkan :

وَيَعْتَزِلُ اَلْحُيَّضُ اَلْمُصَلَّى

artinya : “Rasulullah saw menyuruh wanita-wanita haid supaya menjauh dari tempat sembahyang.” (Hadith Bukhari)

Demikian juga dilarang bagi yang berhadas janabah dari duduk di dalam masjid.

Firman Allah Taala :

وَلا جُنُبًا إِلا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا

artinya : “Dan tidak bolih masuk ke dalam masjid olih orang yang junub melainkan sekadar lalu sahaja sehinggalah kamu sekelian melakukan mandi.” (An-Nisak : 43)

Yang dilarang dalam ayat ini ialah masuk duduk atau berhenti sekalipun berdiri di dalam masjid bagi yang sedang berhadas besar.

Berkata Imam Ibnu Kathir :

ومن هذه الآية احتج كثير من الأئمة على أنه يحرم على الجنب اللبث في المسجد، ويجوز له المرور، وكذا الحائض والنفساء أيضًا في معناه

artinya : “Daripada ayat ini telah berhujjah kebanyakkan para ulama atas bahawasanya diharamkan ke atas orang yang junub berdiam di dalam masjid. Dan harus baginya lalu sahaja tanpa berhenti. Dan seperti demkian juga yakni haram hukumnya pada perempuan yang haidh dan nifas.”

Berkata Ibnu Abbas r.a. :

تمر به مرًّا ولا تجلس

artinya : “Kamu bolih lalu sahaja di dalam masjid dengan tiada berhenti atau duduk.”

Ayat ini menjadi dalil harus mereka yang sedang junub masuk ke dalam masjid bukan untuk berhenti atau duduk tetapi sekadar melintasi sahaja seperti masuk dari pintu kiri dan keluar melalui pintu kanan untuk pulang ke rumahnya atau masuk mengambil sesuatu yang ada di dalam masjid.

Berkata Imam Ibnu Kathir lagi :

إلا أن يكون مجتازا من باب إلى باب من غير مكث

artinya : “Melainkan bahawa orang yang junub itu melintasi dari satu pintu ke pintu yang lain tanpa berhenti.”

Begitu juga tidak diharamkan perempuan yang sedang hadih atau nifas melintasi di dalam masjid atau mengambil suatu barangan.

Dari A’isyah r.a. berkata :

قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنْ الْمَسْجِدِ قَالَتْ فَقُلْتُ إِنِّي حَائِضٌ فَقَالَ إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ

artinya : “Rasulullah saw berkata kepadaku : Ambilkan untukku akan kain di dalam masjid itu. Maka kata aku : Sungguhnya aku sedang haidh. Maka bersabda Nabi saw : Sungguhnya haidh mu itu bukan pada tanganmu.” (Hadith Muslim & Abu Daud)

Kesimpulannya haram atas orang yang berhadas besar samada hadas janabah atau haidh dan nifas duduk atau berhenti di dalam masjid samada dengan tujuan iktikaf atau menghadiri ceramah agama atau seumpamanya.

Tidak haram ke atas yg berhadas besar lalu sahaja di dalam masjid dengan tujuan melintasi atau mengambil barangan.

Demikian juga tidak diharamkan mereka masuk ke dalam masjid sekalipun dengan berhenti pada ketika darurah seperti peperangan atau lari dari umpama orang jahat atau dikejar olih haiwan yang memudaratkan.

5. Puasa

Hadas besar

Haram melakukan ibadah puasa bagi perempuan yang sedang berhadas dengan haidh atau nifas tetapi tidak haram berpuasa bagi yang sedang berhadas dengan janabah.

Rasulullah saw bersabda :

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Artinya : “Bukankah apabila perempuan itu sedang haidh dia tidak bolih sembahyang dan tidak bolih berpuasa.” (Hadith Bukhari & Muslim)

Tidak diharamkan bagi wanita yang telah suci dari haidh dan nifasnya berpuasa sekali pun belum mandi hadas dengan syarat darahnya kering sebelum masuk waktu subuh dan dia berniat pada malamnya.

Begitu juga sah puasanya jika suci ia bersamaan dengan masuk waktu subuh.

Jika dia lupa sedang haidh atau nifas lalu dia mengerjakan ibadah puasa maka puasanya tidak sah tetapi tidak berdosa dengan sebab bukan kesengajaannya.

Adapun jika sengaja berpuasa pada hal sedar sedang hadih atau nifas maka perempuan itu berdosa.

Jika datang haidh sekalipun beberapa saat sebelum waktu berbuka puasa maka puasanya tetap batal tetapi tidak batal pahalanya yakni dapat ia akan pahala orang yang berpuasa kerana bukan sengaja dia membatalkan puasa tetapi dengan keuzuran.

Perempuan yang tidak berpuasa atau terbatal puasanya sebab haidh dan nifas adalah diwajibkan qadha setelah sucinya.

Aisyah r.a. berkata :

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ.

Artinya : “Adalah dulu kami apabila mengalami haidh maka disuruh kami mengqadhakan puasa dan tidak disuruh kami dengan mengqadhakan sembahyang.” (Hadith Muslim)

Hikmah diwajibkan qadha puasa tetapi tidak wajib qadha sembahyang ialah kerana tidak mahu memberatkan kaum wanita. Puasa hanya setahun sekali maka mengqadhanya adalah ringan manakala sembahyang itu wajib setiap hari maka mewajibkan mereka qadha sembahyang adalah terhitung memberat-beratkan.

Firman Allah Taala :

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّيْنِ مِنْ حَرَجٍ

Artinya : “Dan tiadalah Allah mahu memberatkan kamu sekelian pada perintah menjalani agama.” (Al-Hajj : 78)

Perempuan yang ada tanggungan qadha puasa Ramadhan bolih melakukan qadha pada bila masa yang ia berkelapangan selama tidak sampai masuk ke bulan Ramadhan tahun hadapan.

Aisyah r.a. berkata :

كَان يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلاَّ فِي شَعْبَانَ

Artinya : Adalah atas aku hutang puasa Ramadhan maka tidak sempat aku mengqadhanya melainkan pada bulan Syaaban.” (Hadith Bukahri)

Dan tetapi afdhal jika diqadhanya segera kerana bersegera kepada ibadah itu sangat dituntut.

6. Talak

larangan talak ketika hadas besar

Haram hukumnya ke atas suami menceraikan isterinya yang sedang haidh atau nifas samada baru permulaan keluar darahnya atau pada penghujungnya.

Adapun isteri yang berhadas dengan hadas janabah maka tidak haram suami menjatuhkan talak.

Firman Allah swt :

إِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا۟ ٱلْعِدَّةَ

Artinya : “Apabila kamu hendak menceraikan isteri itu maka ceraikanlah mereka dalam masa hitungan edah mereka dan kiralah bilangan edah itu.” (At-Talaq : 1)

Sebab diharamkan ke atas suami menceraikan isteri yang belum suci adalah kerana ia akan memanjang-manjangkan masa edah. Edah perempuan yang mempunyai hadih ialah tiga kali suci.

Jika diceraikan dalam suci maka perempuan tersebut terus dapat menghitung bilangan edahnya. Adapun jika diceraikan ketika hadih atau nifas maka perempuan tersebut tidak bolih lagi menghitung bilangan edahnya kerana menunggu masa suci terlebih dahulu.

Dan halal menceraikan isteri yang sudah kering darah haidhnya atau darah nifasnya sekalipun belum mandi hadas kerana tidak ada tertangguh baginya untuk mula menghitung bilangan edah.

Allah menyuruh para suami ketika mengambil isteri ialah dengan cara ma’ruf dan abapila ingin menceraikannya pun hendaklah dengan cara ma’ruf.

Firman Allah swt :

أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ

Artinya : “Atau kamu ceraikanlah mereka itu dengan cara yang ma’ruf yakni baik.” (At-Talaq : 2)

Menceraikan isteri dalam keadaan hadih atau nifas itu bukanlah perbuatan yang ma’ruf dan talak tersebut dinamakan talak bidah.

Suami yang sengaja menjatuhkan talak padahal dia sedar isterinya sedang haidh atau nifas adalah berdosa kerana melakukan perbuatan yang haram.

Berkata Imam Nawawi :

أجمعت الأمة على تحريم طلاق الحائض الحائل بغير رضاه فلو طلقها أثم

artinya : “ Telah sepakat para ulama atas mengharamkan talak isteri yang hadih yang tidak hamil dengan tanpa ridha isteri tersebut. Maka jika suami mentalaknya maka suami itu berdosa.” (Kitab Syarah Muslim)

Sunat bagi suami yang telah mentalak isterinya yang sedang haidh supaya merujuknya kembali sebagaimana perintah Nabi saw dalam kes Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceraikan isterinya ketika haidh.

Lalu Umar r.a. pergi bertanyakan kes tersebut kepada Rasulullah saw maka marah olih Rasulullah saw mendengarnya lalu Rasulullah saw berkata :

لِيُرَاجِعْهَا ثُمَّ يُمْسِكْهَا حَتَّى تَطْهُرَ ثُمَّ تَحِيضَ فَتَطْهُرَ فَإِنْ بَدَا لَهُ أَنْ يُطَلِّقَهَا فَلْيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا

artinya : “Suruh Abdulllah bin Umar merujuk isterinya semula kemudian tunggu hingga suci ia kemudian haidh kemudian suci pula kemudian jika dia mahu maka kekakllah sebagai suami isteri dan jika dia mahu maka dia ceraikanlah dalam keadaan suci.” (Hadith Bukhari)

Ada beberapa keadaan dimana tidak haram suami menceraikan isterinya yang sedang haidh. Antaranya ialah :

1. Isterinya masih anak dara kerana belum pernah disetubuhinya selepas berkahwin kerana tiada pada isteri seperti ini edah yang perlu dihitung.

Firman Allah Taala :

ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا

Artinya : “Kemudian jika kamu menceraikan mereka itu sebelum dari kamu mensetubuhi mereka itu maka tidak ada bagi kamu atas mereka itu daripada edah yang perlu kamu hitung.” ( Al-Ahzab : 49)

2. Isterinya itu sedang hamil kerana edah isteri yang sedang hamil ialah dengan melahirkan anak.

Firman Allah :

وَأُولاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنّ

artinya : “Dan perempuan-perempuan yang sedang hamil apabila diceraikan maka edahnya ialah sampai mereka melahirkan anak mereka.” (At-Talaq : 4)

3. Apabila isteri sendiri yang menghendaki suami menceraikannya seperti cerai khulu’. Lalu jadi panjang masa edahnya itu adalah dengan kehendak isteri maka tidaklah berdosa atas suami.

Sekalipun talak ketika isteri dalam keadaan haidh namun talak tersebut adalah berlaku yakni jatuh talak.

Ini kerana berdalilkan dengan hadith Ibnu Umar yakni Nabi saw menyuruhnya supaya rujuk kembali isteri yang diceraikannya ketika haidh menjadi bukti bahawa talak tersebut adalah sah. Jika talak dalam haidh tidak sah maka tidaklah Nabi saw menyuruhnya supaya rujuk semula.

7. Bersetubuh

larangan bersetubuh ketika hadas besar

Haram melakukan persetubuhan ketika isteri sedang haidh atau nifas.

Adapun hadas janabah maka tidak termasuk dalam larangan bersetubuh di sini.

Firman Allah Taala :

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

Artinya : “Dan mereka akan bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah haidh itu adalah kotoran. Maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari isteri pada ketika haidh dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci. Apabila mereka telah bersuci maka haruslah kamu mencampuri mereka itu di tempat yang diharuskan olih Allah kepadamu.” (Al-Baqarah: 222)

Ulamak telah sepakat atas haramnya menyetubuhi isteri yang sedang haidh dengan sengaja dan suami isteri sama-sama berdosa yaitu dosa besar.

Berkata Imam Nawawi :

أجمع المسلمون علي تحريم وطئ الحائض للآية الكريمة والاحاديث الصحيحة

artinya : “Telah ijmak olih para Muslimin atas haram jimak isteri yang haidh kerana nas Quran dan Hadith yang sahih.” (Al-Majmuk)

Adapun jika tanpa sengaja atau tersalah maka tidaklah berdosa.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda :

من أتى حائضاً أو امرأة في دبرها أو كاهناً فقد كفر بما أنزل على محمد

Artinya : “Siapa yang mendatangi isteri yang sedang haidh atau melalui duburnya atau tukang tenung nasib maka sesungguhnya dia telah engkar dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad.” (Hadith Tirmizi & Ibnu Majah)

Jika isteri haidh membohongi suaminya yang ia telah suci dan bersetubuh maka isteri tersebut berdosa manakala suaminya tidak berdosa.

Dan kekal haramnya itu walaupun telah kering darahnya tetapi belum melakukan bersuci kerana ayat di atas mensyaratkan dua perkara untuk halalnya bersetubuh yaitu kering darah dan bersuci.

Menurut pendapat yang muktamad tidak haram suami berseronok dengan yang atas dari pusat isteri dan bawah dari lututnya.

Abdullah bin Saad r.a bertanya kepada Rasulullah s.a.w :

ما يحل لي من امرأتي وهي حائض ؟ قال لك ما فوق الإزار

Artinya : “Apa yang halal bagiku dari tubuh isteriku yang sedang haidh? Jawab Rasulullah saw : “Harus bagimu anggota yang selain dari kawasan memakai kain.” (Hadith Abu Daud)

Dari Maimunah r.a. berkata :

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُبَاشِرُ نِسَاءَهُ فَوْقَ الإِزَارِ وَهُنَّ حُيَّضٌ

artinya : “Adalah Rasulullah bersentuhan dengan isterinya pada anggota yang diluar kain sarung pada ketika sedang haidh.” Hadith Muslim)

Olih kerana itu tidak haram berseronok olih suami akan anggota badannya yang selain antara pusat dan lutut sekalipun dengan tidak berlapik.

Dan sunat bersedekah kepada faqir miskin sebanyak satu dinar apabila berlaku persetubuhan ketika isteri masih haidh ketika darah masih banyak dan bersedekah dengan setengah dinar ketika darah sudah sedikit.

Dan diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. :

إذا كان دما أحمر فدينار وإن كان دما أصفر فنصف دينار

Artinya : “Apabila adalah darah merah (kuat) maka sedekah satu dinar dan apabila darah telah kuning (lemah) maka sedekah setengah dinar.” (Riwayat Tirmizi)

Wallahua’lam. UAI Original

Gallery for Senarai Perkara Yang di Haramkan Ketika Hadas Besar