Solat Dalam Kapal Terbang

Solat Dalam Kapal TerbangSolat lima waktu wajib dilakukan samada dalam keadaan senang atau dalam keadaan susah. Termasuk bagi siapa yang dalam perjalanan udara dengan kapal terbang, tidak gugur kewajipan mengerjakan solat limat waktu.

Firman Allah Taala :

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ

artinya : “Peliharalah kamu sekelian akan solat-solat yang fardhu.” (Al-Baqarah : 238)

Cara solat dalam kapal terbang semuanya sama dengan cara solat di bumi yakni wajib disempurnakan semua syarat dan rukunnya.

Berkenaan syarat bersuci wajib bagi yang hendak solat dalam kapal terbang suci dari hadas besar dan kecil. Jika tidak ada wuduk contohnya maka hendaklah dia mengambil wuduk di dalam kapal terbang tersebut.

Jika tiada air maka hendaklah dia bertayammum dengan debu tanah yang suci. Ini jika dia ada debu tanah yang dibawanya. Tidak bolih tayammum dengan debu pada dinding kapal terbang kerana kapal terbang tidak ada debu pada dinding dan jika ada debu maka itu bukan debu tanah yang menjadi syarat bagi sahnya tayammum.

Begitu juga dengan syarat menutup aurat. Wajiblah solat dalam keadaan menutup aurat dengan betul ketika mengerjakan solat.

Tempat kita solat hendaklah suci begitu juga tubuh badan dan pakaian kita kerana ia adalah syarat sahnya solat.

Waktu sembahyang juga perlu dipatuhi bukan solat sembarangan sesuka hati. Waktu sembahyang dalam penerbangan ialah mengikut waktu dimana negeri yang kita berada di udaranya bukan mengikut waktu sembahyang negeri tempat tingggal kita. Jika tidak mudah mengetahui waktu solat di negeri yang sedang dilalui maka bolih menentukan sendiri dengan melihat keududukan matahari dan pada waktu malam hendaklah berijtihad yakni menganggarkan waktu dengan zhan.

Wajib solat dalam keadaan berdiri dari awal hingga akhir dan mengadap kiblat melainkan jika tidak mampu berdiri kerana gegaran atau tiada ruang untuk berdiiri maka dibolihkan solat duduk di kerusi penumpang.

Jika dia hanya mampu berdiri pada separuh solat maka hendaklah dikerjakan. Tidak gugur satu rukun melainkan apabila tidak mampu melakukannya.

Wajib mengadap kiblat ketika hendak memulakan solat jika mampu. Adapun jika tidak mampu bepusing arah kiblat maka dimaafkan tidak mengadap kiblat.

Jika tidak mengetahui mana arah kiblat, hendaklah berijtihad yakni berusaha menganggarkan arah kiblat. Cukup dikethaui dengan sekira-kira zhan sahaja bukan disyaratkan dengan yakin.

Dan jika tidak dapat mengetahui juga manakah arah kiblat selepas berijtihad maka solatlah arah ke mana sahaja.

Firman Allah swt :

وَلِلَّّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوْا فَثَمَّ وَجْهُ اللهِ إِنَّ اللهَ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ

artinya : “Kepunyaan Allah timur dan barat. Maka ke arah mana pun kamu berhadap maka di sana kamu menghadap Allah. Sungguhnya Allah itu maha luas rahmat-Nya lagi maha mengetahui.” (Al-Baqarah : 115)

Jika hanya mampu berdiri dengan bersandar pada sesuatu maka hukumnya sah solat tersebut kerana uzur berdiri tanpa bersandar.

Rasulullah saw bersabda :

صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

artinya : “Solatlah kamu dalam keadaan berdiri. Maka jika tidak mampu berdiri maka solatlah kamu dalam keadaan duduk. Dan jika tidak mampu duduk maka solatlah kamu dalam keadaan berbaring. ” (Hadith Bukhari)

Solat duduk dilakukan sama seperti solat duduk dalam kenderaan yang lain yaitu rukuk dan sujud dilakukan dengan menundukkan kepala. Ketika sujud kepala hendaklah lebih rendah daripada rukuk.

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

Kesimpulan

  • Solat lima waktu wajib dikerjakan walau di mana sahaja kita berada..
  • Jika telah melakukan solat sekadar mampu sebagaimana keterangan di atas maka solat kita adalah sah dan tidak wajib lagi mengulanginya di darat mengikut satu pendapat di kalangan ulama.

Wallahua’alm. FP UAI Original

Ust Azhar Idrus- Solat Dalam Kapal Terbang & Arah Kiblat / Solat Hormat Waktu

error: Content is protected !!