solat dhuha kelebihan

Solat & Doa Dhuha Pembuka Pintu Rezeki Umat Manusia

191 views

solat dhuha kelebihan

Bismillahir Rahman nir Rahim. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam yang menciptakan langit, bumi dan seisinya. Kepada Dia-lah kita memohon dan kepada Dia-lah jua kita berserah atas segalanya.

Alhamdulillahi rabbil alamin wabihi nastain wassalamu ala rasulillahi wa’ala alihi wasahbihi ‘ajmain.  ‘Solat & Doa Dhuha Pembuka Pintu Rezeki Umat Manusia’ ini merupakan satu artikel yang sangat penting untuk di kongsikan kepada semua.

Para pembaca sekalian,

Apabila kita berbicara tentang solat dhuha, apakah yang kalian terlintas di fikiran tentang solat dhuha?. Apakah itu solat dhuha?. Baiklah, sebelum kita berbicara akan solat dhuha, maka moleklah kiranya kita mengenali serba sedikit akan pengenalan solat yang sering dilakukan oleh para usahawan yang menginginkan rezeki mereka melimpah-ruah, para pelajar yang inginkan kejayaan dalam peperiksaan dan seumpama dengannya.

Persoalan & Permasalahan Tentang Solat Dhuha

Namun begitu, disebalik pertanyaan ini pasti ada banyak permasalahan yang wujud berkaitan dengan solat dhuha serta doa dhuha ini.  Antaranya ialah seperti yang dikongsikan dibawah ini.

  1. Bilakah masa mula dan tamatnya waktu untuk solat dhuha?
  2. Apa hukum curi waktu bekerja sebentar untuk solat dhuha?
  3. Berapa rakaat solat dhuha yang dilakukan mengikut sunnah nabi Muhammad saw?
  4. Bolehkah qada solat dhuha jika tertinggal dilakukan?

Sebenarnya masih banyak lagi persoalan-persoalan dan masalah yang ada mengenai solat dhuha ini namun mungkin ini antara yang banyak ditanya. InsyaAllah jika diberikan peluang kita akan cuba kongsikan jawapan untuk soalan-soalan ini jika berkemampuan. Pa

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita belajar perkara asas dahulu.

Apakah Itu Solat?

solat dhuha

Tetapi sebelum itu, izinkan saya bertanya sekiranya pada suatu hari anda telah didatangi oleh seseorang yang bukan dikalangan orang beragama islam bertanyakan tentang apakah yang dimaksudkan dengan solat?. Maka apakah jawapan anda yang sesuai berkenaan solat?.

Baiklah, kalimah solat adalah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mana ia membawa maksud ‘mendoakan kesejateraan diri sendiri dan orang lain’,

Seperti mana Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah Taubah 9, 103 :

solat sunat dhuha

Maksudnya : Dan berdoalah kepada mereka, Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Maksud di sebalik ayat Al-Quran ini adalah merujuk kepada orang islam yang mana mereka ini solat semata-mata hanyalah untuk meminta keampunan daripada Allah. Maka jelaslah di sini bahawa solat itu adalah untuk mendoakan kesejateraan diri sendiri dan orang lain.

Selain daripada itu, para fuqaha’ juga telah menetapkan bahawa solat itu adalah dinisbahkan kepada segala perbuatan dan percakapan yang khusus dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Mereka menamakan itu solat adalah kerana di dalam solat itu meliputi segala aspek iaitu segala kebaikan dan kesejahteraan untuk diri sendiri dan orang lain.

Para pembaca yang dikasihi,

Allah telah mensyariatkan kepada semua makhluk untuk tunduk ke atasnya. Allah juga telah menegaskan kepada kita semua akan solat itu adalah aspek yang paling penting di dalam kehidupan seharian. Malah solat juga telah disebut di dalam rukun islam yang kedua iaitu menunaikan solat sehari semalam. Di situ juga terdapat pelbagai ayat Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas hambanya berkenaan dengan solat.

Antaranya, Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah An-Nisa’ 4, 103 :

solat sunat dhuha 2

Maksudnya : Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang yang beriman.

Jelaslah di sini bahawa ayat ini membawa maksud solat itu adalah fardhu ke atas semua orang mukmin. Hal ini juga dikuatkan lagi dengan hadirnya hadis-hadis daripada Rasulullah berkenaan dengan kepentingan solat serta panduan bagaimana untuk menunaikan solat. Perlu diketahui juga bahawa solat itu terbahagi kepada dua kategori di mana ia di kategorikan kepada solat fardhu dan solat sunat. Solat fardhu adalah solat yang hukumnya wajib untuk kita melaksanakannya, dan sesiapa yang meningggalkannya maka berdosalah ke atas dirinya. Manakala, solat sunat pula adalah solat untuk menambahkan lagi pahala ke atas seseorang muslim dan mukmin sesuai dengan maksud sunat itu sendiri dari segi bahasa iaitu menambah.

Nama-nama S0lat Dhuha

Solat dhuha adalah di bawah kategori solat sunat. Nama lain bagi solat dhuha ialah solat awwabin, Perkataan ‘awwabin’ itu merujuk kepada perkataan bahasa arab awwab ialah kembali kepada Allah dengan memohon keampunan daripadanya.  Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis daripada Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam :

solat dhuha & doa dhuha

Maksudnya : Telah diceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim, dikhabarkan kepada kami Syu’bah, telah diceritakan kepada kami Abbas al-Jurairi (Ibn Farrukh), daripada Abi Usman an-Nuhdi, daripada Abu Hurairah Radiyallahu anhu, telah bersabda Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam: Aku telah di wasiatkan oleh Khalili (Nabi Ibrahim) dengan tiga perkara ke atasku jangan ditinggalkan perkara-perkara ini sehinggalah aku meninggal dunia iaitu puasa tiga hari pada setiap bulan (bulan-bulan islam), solat dhuha dan witir sebelum tidur.  (HR Bukhari)

Mari Belajar Apakah Itu Dhuha

matahari terbit waktu solat dhuha

Maksud dhuha dari segi bahasa adalah merujuk kepada waktu dhuha.  Manakala maksud solat dhuha itu sendiri ialah solat sunat yang dilakukan pada waktu matahari bermula naik kira-kira 28 minit selepas waktu syuruk. Sebahagian ulama ada yang menganggap bahawa solat dhuha itu ialah solat isyraq  Mereka menisbahkan perkataan isyraq itu kepada waktu syuruk seperti mana yang kita sedia maklum waktu syuruk adalah selepas terbitnya matahari pada waktu subuh. Ada sebahagian ulama menisbahkan solat dhuha ini adalah solat isyraq. Akan tetapi, para fuqaha pula berbeza pendapat akan mengenainya. Mereka berpendapat bahawa solat dhuha itu berbeza dengan solat isyraq. Secara kesimpulannya, para ulama bersepakat bahawa solat dhuha adalah zat yang disandarkan dengan solat isyraq berdasarkan ayat Al-Quran Surah Sadd 38, 18 :

solat sunat dhuha 3

Maksudnya : Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan gunung-ganang untuk bertasbih bersama dia (Daud) pada waktu petang dan pagi.

Ayat Al-Quran yang Allah telah turunkan kepada kita ini adalah menerangkan kepada hambanya semua makhluk yang diciptakan oleh Allah bertasbih pada waktu pagi dan petang. Perkataan pagi di sini adalah merujuk kepada waktu syuruk selepas waktu solat subuh. Oleh itu, mereka sepakat bahawa solat dhuha ialah sesuatu solat yang disandarkan ketika berlakunya waktu syuruk.

Apa Hukum Solat Dhuha

Setiap apa yang kita lakukan sesuatu amalan mahupun perbuatan, padanya terdapat hukum-hukum yang ditetapkan. Di sini terdapat dua pendapat mengenai amalan solat dhuha. Jumhur fuqaha bersepakat bahawa solat dhuha hukumnya adalah sunat. Barangsiapa yang menunaikan solat dhuha maka pahala akan diperoleh dan barangsiapa yang meninggalkannya maka tiada apa-apa kesan ke atas dirinya.

Hujah ini dikuatkan lagi dengan hadirnya hadis daripada Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam yang bersabda :

Telah diceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim, dikhabarkan kepada kami Syu’bah, telah diceritakan kepada kami Abbas al-Jurairi (Ibn Farrukh), daripada Abi Usman an-Nuhdi, daripada Abu Hurairah Radiyallahu anhu, telah berkata Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam: Aku telah di wasiatkan oleh Khalili (Nabi Ibrahim) dengan tiga perkara ke atasku jangan ditinggalkan perkara-perkara ini sehinggalah aku meninggal dunia iaitu puasa tiga hari pada setiap bulan (bulan-bulan islam), solat dhuha dan witir sebelum tidur. (HR Bukhari)

Selain itu, terdapat beberapa pandangan lain yang boleh kita bahaskan dalam ini. Antaranya ialah mengikut pada mazhab Syafie dan Maliki, mereka berpendapat bahawa solat dhuha itu hukumnya adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut). Manakala dalam mazhab Hanbali pula berpendapat solat dhuha hukumnya adalah barangsiapa yang melihat ia adalah sesuatu yang tidak dituntut maka seseorang itu tidak perlu menunaikannya.

Hal ini bertujuan untuk mengelakkan perkara sunat tersebut bertukar menjadi suatu kefardhuan ke atas orang muslim. Walaupun di sini terdapat pelbagai pendapat daripada mazhab-mazhab, akan tetapi pokok pangkalnya adalah tetap sama hukumnya iaitu sunat. Oleh yang demikian, jelaslah di sini bahawa solat dhuha itu hukumnya adalah sunat.

Segelintir masyarakat ada yang mengatakan ‘tengok, aku tidak perlu solat dhuha pun tetapi rezeki aku, gaji aku banyak melimpah-ruah sampai tujuh keturunan pun tak luak, bukan macam kau, solat dhuha tapi sama sahaja. Tiada apa perubahan pun malah aku lihat kau sampai meminta-minta lagi dengan aku’.

Tuan-tuan dan puan-puan, solat dhuha ini bukanlah semata-mata untuk menginginkan rezeki bertambah, akan tetapi solat dhuha ini sebenarnya adalah untuk mendekatkan lagi diri kita dengan Allah di samping kita bekerja keras untuk kehidupan seharian. Selain itu juga, masih ada sebilangan yang bongkak dengan rezeki yang dimilikinya. Jaga-jaga tuan, harta yang kita miliki itu semuanya datang daripada Allah. Adakalanya perlu dikongsi bersama dengan makhluk yang lain.

Waktu Solat Dhuha di Lakukan

waktu solat matahari terbit

Kini, kita akan mendiskusikan berkenaan dengan waktu solat dhuha. Tuan-tuan dan puan-puan, bilakah sebenarnya waktu yang sesuai untuk menunaikan solat dhuha?. Adakah dilakukan pada waktu syuruk ataupun sebaliknya?. Baiklah, mengikut pada pandangan al-Imam Syafie dalam kitabnya ‘fiqh manhaji’ berpendapat bahawa waktu menunaikannya adalah ketika matahari tegak naik dan yang paling afdhal menunaikannya ialah sewaktu matahari naik tinggi segalah kira-kira dalam (3 meter atau 7 hasta) lebih kurang satu per empat waktu pagi.

Contohnya, waktu syuruk berlaku pada pukul 7.20 pagi. Maka waktu dhuhanya adalah lebih kurang 25-30 minit selepas waktu syuruk. Jadinya, waktu dhuha pada hari tersebut adalah lebih kurang pada pukul 8.00 pagi.

Walau bagaimanapun, waktu yang paling afdhal untuk menunaikan solat dhuha ialah kira-kira anggaran matahari naik, tinggi segalah (3 meter atau 7 hasta) lebih kurang pukul 9.15 pagi. Mengikut pendapat dalam kitab ‘syarah muqaddimatul al-hadramiyyah’  yang dikarang oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih Abdullah bafdhal al-Hadramiy : waktu untuk menunaikan solat dhuha adalah selepas matahari naik dan disunatkan untuk melewatkannya sehingga ke satu per empat waktu sebelum masuknya waktu zohor.

Cara Melakukan Solat Dhuha

Para pembaca yang disayangi,

Baiklah, langkah seterusnya kita akan membincangkan bagaimana cara untuk menunaikan solat dhuha. Secara umumnya, solat dhuha adalah dilakukan dengan dua rakaat serta disusuli dengan satu salam. Jika seseorang itu ingin menunaikan solat dhuha sebanyak empat rakaat, enam rakaat ataupun lapan rakaat, maka solat tersebut mestilah dipisahkan dengan dua rakaat satu salam.

Panduan Cara Solat Dhuha

1. NIAT : Sahaja aku solat sunat dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.

2. Mengangkat takbir

3. Membaca Doa Iftitah

4. Membaca Surah al-Fatihah

5. Disunatkan untuk membaca surah ash-Syams pada rakaat pertama, manakala surah ad-Dhuha pada rakaat kedua. Ataupun surah al-Kafirun pada rakaat pertama, manakala rakaat kedua surah al-Ikhlas

6. Rukuk

7. Sujud

8. Sujud yang terakhir baca doa ini sebanyak 3 kali :

هب لي يا وهاب، علما وحكمة وارزقني يا رزاق كن لي مسهلا

Habli ya wahhab, ‘ilmau wahikmataw warzuqni ya razzaqu kun li musahhala

9. Tahiyat Awal

10. Tahiyat Akhir & Salam

Bacaan Doa Dhuha yang Indah

Selepas selesai menunaikan solat dhuha, kita digalakkan untuk membaca doa solat dhuha ini yang sangat hebat dan indah disusun. Berikut ialah bacaannya.

Bacaan Doa Solat Dhuha Jawi & Rumi serta Maksudnya

Doa Solat Dhuha

Video Bacaan Doa Dhuha oleh UNIC

Jika mendengarkan bacaan doa solat sunat dhuha ini pasti ianya menusuk kalbu kerana ianya sangat-sangat bermakna. Fahami maksudnya, dan banyakkan insafkan diri dengan maksud-maskud doa ini.

Fadhilat atau Kelebihan Solat Sunat Dhuha

Di samping itu, banyak juga hadis yang diturunkan kepada kita akan fadhilat menunaikan solat dhuha yang mana jika hamba tersebut melaksanakannya, pahala akan sentiasa mengiringinya. Antara salah satu kelebihan yang Allah berikan kepada hambanya yang menunaikan solat dhuha ialah solat dhuha akan memberikan kita pahala di samping membuatkan diri kita ini sentiasa bertasbih, bertahlil dan bertakbir kepada Allah S.W.T.

Jika kita mengamalkan amalan-amalan tersebut ia juga dikira sebagai bersedekah seperti mana di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dzar r.a., Rasulullah SAW bersabda:

“Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah di kira sebagai sedekah, setiap tahmid itu adalah sedekah, setiap tahlil itu pula adalah sedekah, dan setiap takbir itu juga adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.” (HR Muslim)

Selain itu, solat dhuha juga membuatkan manusia akan memperoleh pahala walaupun kamu tidak berniat untuk melakukannya tetapi bangun untuk menunaikannya. Hal ini dikuatkan lagi dalam hadis yang diriwayatkan oleh Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam

Maksudnya : Telah diceritakan kepada kami oleh Abu Taubah, telah disampaikan kepada kami Haitham bin Humaid daripada Yahya bin Harith daripada Qasim Abi Abdir Rahman daripada Abi Umamah bahawasanya Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam telah bersabda Barangsiapa yang telah keluar daripada rumahnya dalam keadaan suci untuk menunaikan solat maktubah (fardhu) maka pahalanya adalah seperti orang yang menunaikan haji, dan barangsiapa yang telah keluar untuk bertasbih dhuha maka tidak lain tidak bukan ia memperoleh pahala seperti orang yang mengerjakan umrah, dan kemudian solat (fardhu) ke atas solat (sunat) itu maka janganlah melakukan perkara lagha (sia-sia) seperti yang telah ditetapkan di dalam kitab (Al-Quran). (HR Abu Daud)

Soal Jawab Mengenai Solat Sunat Dhuha dalam Masyarakat di Malaysia

solat

1. Apa hukum curi masa bekerja untuk tunaikan Solat Dhuha?

Soalan : Saya seorang yang sangat menjaga amalan solat sunat Dhuha. Namun, akibat kekangan waktu kerja yang padat menyebabkan saya sukar menunaikan solat itu. Adakah boleh saya mencuri sedikit masa untuk menunaikan solat Dhuha ketika kerja.

Jawapan : Tahniah kerana anda seorang yang sangat menjaga amalan sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, kita perlu faham bahawa Islam menitikberatkan perkara wajib terlebih dahulu berbanding perkara sunat.

Menjalankan tugas di tempat kerja adalah suatu yang dituntut dan wajib ditunaikan dalam apa juga keadaan sekalipun selagi ia tidak bercanggah dengan Islam. Manakala solat sunat pula adalah amalan digalakkan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Oleh itu, bagi umat Islam yang memelihara amalan sunat perlu bijak membahagikan masa untuk menunaikannya supaya tidak mengganggu waktu bekerja. Bagi menyelesaikan masalah saudara ini, ada dua saranan, pertama, mengganti kembali waktu yang telah diperuntukkan untuk tujuan solat sunat Dhuha.

Contohnya, mengganti kembali waktu yang telah diambil untuk tujuan itu di akhir waktu pejabat. Jika waktu yang diperuntukkan untuk solat sunat Dhuha selama lima minit, maka anda wajib melewatkan lima minit waktu untuk pulang. Jika hal ini dapat dilakukan dengan betul, maka hukum berbuat demikian di waktu pejabat diharuskan dan tidak berdosa.

Kedua, pastikan peruntukan masa untuk tujuan menunaikan solat sunat Dhuha di pejabat dengan kadar yang sangat minimum. Cukup sekadar dua rakaat tanpa berlebih-lebih hingga menjejaskan tugasan hakiki. Jika waktu diperuntukkan terlalu panjang hingga menjejaskan tugas hakiki, maka hukum berbuat demikian adalah haram dan berdosa apatah lagi jika ia tidak diganti di akhir waktu pejabat.

Semua hukum yang dibincangkan adalah untuk peruntukan masa solat sunat. Manakala peruntukan masa solat fardu tidak ada kompromi. Umat Islam wajib menunaikannya dalam apa juga keadaan sekalipun. Ini kerana tidak ada perkara wajib yang lebih besar berbanding kewajipan menunaikan solat lima waktu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya solat (lima waktu) adalah kewajipan yang telah ditentukan oleh Allah ke atas orang mukmin.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

2. Berapa bilangan rakaan untuk solat sunat dhuha yang boleh dilakukan?

Bilangan raka‘at yang paling sedikit ialah dua raka‘at. Bilangan yang sekadar sempurna (adna al-kamal) ialah empat raka‘at. Lebih sempurna daripada itu ialah enam raka‘at.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami, bilangan raka‘at yang maksima bagi sembahyang Dhuha ialah dua belas raka‘at. Ini turut dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Ar-Raudhah, walaupun dalam kitab Al-Majmu‘ beliau mengatakan lapan adalah raka‘at terbanyak. Mengikut As-Sayyid Al-Bakri dalam kitabnya I‘anah at-Thalibin, pendapat Imam Ibnu Hajar itu adalah pendapatnya yang muktamad. Ketika menyatakan pendiriannya, Imam Ibnu Hajar bersandar kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu ZarRadhiallahu ‘anhu walaupun ini menyebabkan kebanyakkan ulama’ tidak sehaluan dengannya kerana hadis tersebut tidak terkeluar daripada menerima kritikan. Imam Ibnu Hajar berpendapat bahawa berpegang kepada hadis yang sedemikian sifatnya adalah tidak mengapa dalam persoalan ini. Beliau juga berpendapat, lapan raka‘at ialah bilangan raka‘at yang paling afdhal dilakukan, tetapi bukannya had terbanyak sebagaimana yang dipegang oleh kebanyakkan ulama’ yang lain.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Zar Radhiallahu ‘anhu:

bilangan rakaan solat sunat dhuha

Maksudnya: “Sesiapa mengerjakan sembahyang Dhuha dua raka‘at dia akan ditulis dari kalangan orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah. Sesiapa menunaikannya empat raka‘at dia akan ditulis dari kalangan orang-orang muhsinin (orang-orang yang sering melakukan kebaikan). Sesiapa menunaikannya enam raka‘at dia akan ditulis dari kalangan orang-orang yang ta’at mengerjakan ibadat. Sesiapa menunaikannya lapan raka‘at Allah akan menulisnya dari kalangan orang-orang yang berjaya. Sesiapa menunaikannya sepuluh raka‘at tidak ditulis baginya pada hari itu walau satu dosa sekalipun, dan sesiapa menunaikannya dua belas raka‘at Allah akan membina baginya sebuah rumah di syurga”. (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Mengikut As-Sayyid Al-Bakri, sembahyang Dhuha tidak boleh dikerjakan lebih daripada bilangan raka‘atnya yang paling maksima. Jika ia dikerjakan lebih daripada bilangan raka‘at yang terbanyak itu dengan hanya sekali takbiratul ihram, sedang yang mengerjakannya itu tahu akan larangan tersebut, keseluruhan sembahyangnya adalah batal. Jika ia dikerjakan setiap dua atau empat raka‘at, cuma raka‘at-raka‘at terakhir yang melebihi had maksima sahaja tidak dikira sah. Sebaliknya, jika dia tidak mengetahui akan larangan itu, raka‘at yang selebihnya itu adalah termasuk dalam amalan yang diberi pahala sunat.

Ketika mengerjakan sembahyang Dhuha lebih daripada dua raka‘at, yang afdhal dilakukan ialah memberi salam setiap dua raka‘at. Ini berdasarkan hadis Ummu Hani’ yang meriwayatkan:

bilangan rakaan solat sunat dhuha 2

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan sembahyang Dhuha lapan raka‘at dengan memberi salam setiap dua raka‘at”. (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Sembahyang Dhuha juga harus dikerjakan sekaligus dengan hanya sekalitakbiratul ihram dan sekali duduk  tahiyat  di raka‘at terakhir. Juga boleh dikerjakan dengan duduk bertahiyat, seperti tahiyat awal  sembahyang fardhu atau sunat empat raka‘at, pada setiap dua, empat, enam raka‘at atau seterusnya.

3. Bolehkah solat Sunat Dhuha diqadha’ sekiranya tertinggal?

Menurut Syeikh Ar-Ramli, sunat mengqadha’ sembahyang Dhuha jika ia luput dari waktunya. Ini turut dijelaskan oleh Imam Nawawi yang mengatakan ia adalah sembahyang yang terikat dengan waktu. Apabila luput waktunya, sunat ia diqadha’ sebagaimana sembahyang fardhu lima waktu dan sembahyang-sembahyang sunat yang lain. Ini juga berdasarkan hadis daripada RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada ’Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu:

qada solat sunat dhuha

Maksudnya: “Barangsiapa terlupa menunaikan sembahyang, maka hendaklah dia mengerjakannya apabila dia ingat”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Apakah hukumnya mengerjakan sembahyang sunat dhuha secara berjemaah?

Hukum mengerjakan sembahyang sunat dhuha secara berjemaah adalah harus.

Daripada Itban bin Malik r.a. katanya :

أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صَلَّى اَللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى فِي بَيْتِهِ سُبْحَة اَلضُّحَى فَقَامُوا وَرَاءَهُ فَصَلَّوْا بِصَلَاتِهِ

Artinya : “Sungguhnya Rasulullah saw telah sembahyang pada rumahnya akan sembahyang sunat dhuha maka berdiri orang-orang di belakang Rasulullah saw dan bersembahyang dengannya.”

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

Hadith riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya.

Berkata al-Hafiz al-Asqallani :

وَفِيهِ مَشْرُوعِيَّة الْجَمَاعَة فِي النَّافِلَة
Artinya : “Pada hadith ini membawa pengertian diharuskan pada syarak berjemaah pada sembahyang sunat.” (Fathul Baari)

Kesimpulan 

  • Sembayang sunat dhuha sangat besar ganjarannya kerana Rasulullah saw selalu mengerjakannya.
  • Terpulang kepada seorang itu samada dia mahu mengerjakan sembahyang sunat dhuha secara sendirian atau secara  berjemaah.

Wallahua’lam.

Sumber Rujukan

  1. Majmu’ah Al-Ulama’. Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah. Hlm 133-134 jilid 27. Mesir : Dar as-Sofwah
  2. Al-Bukhari. Muhammad Bin Ismail Abu Abdillah al-Bukhari. 256H/870. Al-Jami’ Musnad Sahih al-Mukhtar min umur Rasullullah Sallahu alaihi wassalam min ayyamuh (Sahih al-Bukhari). Dar Tauqun Najah
  3. Muslim. Muslim Bin Hajjaj Abu Hasan al-Qasyiri al-Naisaburi. 261H/875. Musnad as-Sahih al-Mukhtasar bi naqal ‘adal ila Rasululillah Sallahu ‘Alaihi Wasallam (Sahih Muslim). Beirut : Dar Ehyak at-Turath al-Arabi
  4. Abu Daud. Abu Daud Sulaiman bin ‘Asyas. 202H/817. Sunan Abi Daud. Beirut : Maktabah al-Asariyyah
  5. Ibnu Faris. 2002. Maqayis Lughah. hlm 306 jilid 1. Damsyik : Dar Ittihad al Kitab al Arabi.
  6. Al-Bukhari. Muhammad Bin Ismail Abu Abdillah al-Bukhari. 256H/870. Al-Jami’ Musnad Sahih al-Mukhtar min umur Rasullullah Sallahu alaihi wassalam min ayyamuh (Sahih al-Bukhari). Dar Tauqun Najah
  7. Husain al-Awaesyah. 2000. Al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah fi fiqh kitab wa sunnah. Hlm 167 jilid 2. Amman : Dar Ibn Hazim
  8. Mustafa al-Bugha. Fiqh Manhaji ‘ala mazhab lil imam as-Syafie Rahimahullah Taala. hlm. 219 jilid 1. Damsyik: Dar al-Qalam.
  9. Abdullah Bafdhal al-Hadramiy. Syarah Muqaddimah al-Hadramiyyah. Hlm 317. Jeddah : Dar al-Minhaj.
  10. epondok.wordpress.com
  11. fatwairsyadbrunei.blogspot.my

Gallery for Solat & Doa Dhuha Pembuka Pintu Rezeki Umat Manusia