Wajibkah Isteri Taat Jika Suami Larang Isteri Bertudung?

Wajibkah Isteri Taat Jika Suami Larang Isteri Bertudung?

18 views

Wajibkah Isteri Taat Jika Suami Larang Isteri Bertudung?Seorang yang bergelar suami berhak mengeluarkan perintah kepada isterinya manakala seorang yang bergelar isteri pula wajib mentaati perintah suaminya sebagaimana sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadith :

لَوْ كُنْتُ آمِرًا لِأَحَدٍ أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

artinya : “Seandainya bolih aku perintahkan seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain niscaya aku akan perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.” (Hadith Tirmidzi)

Tetapi tidak semua perkara diberi hak kepada suami untuk memerintah isterinya. Hak yang suami bolih memerintah isterinya hanyalah hak suami itu sahaja. Hak orang lain seperti kawan, jiran dan seumpamanya tidaklah ada hak untuk suami memerintah.

Suami tidak ada hak memerintah isterinya mengambil wang kawannya kerana wang itu hak kawannya bukan hak suami. Suami tidak ada hak menyuruh isteri mengambil buah tanaman jirannya kerana buah tersebut adalah hak jiran bukan hak suami.

Maka begitu juga dengan perintah menutup aurat dan bertudung. Ia adalah hak mutlak Allah swt. Suami tidak ada hak melarang isterinya bertudung kerana suami tidak ada hak sama sekali untuk melarang. Suami yang melarang isterinya pada perkara yang suami tidak ada hak adalah termasuk ke dalam golongan penceroboh yang tidak betul aqalnya.

Cuba kita bayangkan apabila kita menyuruh isteri kita pergi ke pasar lalau kawan yang bersama kita berkata kepada isteri kita : “Jangan kamu pergi ke pasar. Saya tidak benarkan sama sekali.”
Pasti kita akan menganggap kawan kita sudah gila atau pun sedang mabuk kerana melarang pada suatu yang dia tidak ada hak melarang.

Kepala, rambut dan leher adalah aurat bagi seorang wanita. Apabila Allah mewajibkan para isteri menutup aurat manakala suami pula melarang menutupnya maka jadilah suami itu melarang isterinya mentaati Allah. Melarang seseorang mentaati Allah adalah satu dosa yang sangat besar. Haram ditaati perintah siapa jua kalau menyebabkan derhaka kepada Allah sekalipun perintah itu dari pihak raja, kerajaan, ibu bapa, saudara mara, kawan karib atau suami.

Rasulullah saw telah memberi amaran dalam sabdanya :

لاَ طَاعَةَ فِى مَعْصِيَةٍ ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِى الْمَعْرُوفِ

artinya : “Tidak bolih taat (kepada makhluk) dalam hal derhaka kepada Allah. Sesungguhnya taat (kepada makhluk) itu hanyalah dalam perkara kebaikan.” (Hadith Bukhari)

Jadi jelaslah isteri tersebut haram sama sekali taat kepada perintah suaminya itu kerana perintah suami itu menyuruh melakukan dosa kepada Allah.

Dalam hadith yang lain Rasulullah saw bersabda :

قَالَ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَالَمْ يُؤْمَرْ بِالمَعْصِيَةِ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سُمِعَ وَلاَ طَاعَةَ.

artinya : “Mendengarkan dan taat (dari seorang isteri kepada suami atau seumpamanya) adalah wajib selama tidak disuruh dengan melanggar perintah Allah. Apabila disuruh melanggar perintah Allah maka tidak wajib lagi dengar dan taat. (Hadith Bukhari)

Suami yang benar ialah suami yang menjaga isterinya dari azab neraka dengan mentaati perintah Allah.

Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

artinya : “Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan anak isteri kamu dari api neraka”. (At-Tahrim: 6)

Maka mentaati perintah suami supaya melanggar perintah Allah pasti akan menyebabkan isteri itu masuk ke dalam golongan orang-orang yang sesat.

Firman Allah :

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ

artinya : “Dan jika kamu mentaati suruhan kebanyakan orang di dunia ini maka pasti mereka akan menyesatkan kamu dari jalan agama Allah”. (Al-An’am : 116)

Suami yang suka isterinya mempamirkan aurat dikhalayak ramai samada rambut, leher, tangan, dada atau kaki adalah tergolong suami yang dayus.

Sabda Rasulullah saw :

ثَلَاثَةٌ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الْعَاقُّ لِوَالِدَيْهِ، وَالْمَرْأَةُ الْمُتَرَجِّلَةُ، وَالدَّيُّوثُ

artinya : “Tiga golongan tidak mendapat kasihan Allah pada hari kiamat. Anak yang derhakakan ibu bapa, perempuan yang meniru lelaki dan lelaki yang dayus.” (Hadith Imam Ahmad)

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat” (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan, ولو آية maksudnya adalah walau hanya satu ayat, hendaknya setiap orang yang mendengarnya bersegera menyampaikan ilmu yang dia terima walaupun sedikit, agar semua ilmu yang datang dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam terus bersambung.”

Kesimpulannya Isu Wajibkah Isteri Taat Jika Suami Larang Isteri Bertudung?

  • Menutup aurat adalah wajib ke atas suami atau isteri dan sengaja membuka aurat adalah haram dan dosa.
  • Haram bagi isteri itu mentaati perintah suaminya itu dan jika ditaati juga perintah suaminya itu maka isteri akan bersama-sama mendapat azab Allah diakhirat nanti.
  • Suami yang melarang isterinya bertudung adalah fasiq manakala isteri yang taati perintah suami itu adalah fasiqah.
  • Suami yang melarang isterinya bertudung adalah sama dengan suami yang menyuruh isteri melakukan maksiat. Maka suami yang menyuruh isterinya melakukan maksiat adalah tergolong dalam golongan orang yang dayus.
  • Isteri yang tidak taat kepada perintah suami melarang bertudung itu tidak dikira derhaka tetapi suamilah yang dikira derhaka kepada Allah.
  • Suami yang melarang isteri bertudung ialah suami yang mahu melihat isterinya di azab di akhirat nanti. Patutkah dikatakan suami yang penyanyang jika suami itu suka melihat isterinya menderita di akhirat nanti? Pasti tidak. Binatang pun tidak ada yang mahu melihat anak isterinya mendapat kesusahan.
  • Isteri yang di paksa membuka aurat hendaklah bersabar dan hendaklah dia istiqamah bertudung yakni tidak mentaati perintah suaminya yang haram itu. Tetapi jika tidak dapat lagi bersabar haruslah isteri itu meminta perceraian dimahkamah syariah. Hidup seorang diri dalam mentaati Allah lebih baik dari hidup berteman tetapi derhaka kepada Allah.
  • Isteri hendaklah menasihati atas kesalahan jenayah suaminya itu melarang bertudung mudah-mudahan suaminya itu menyesal dan kembali ke panggkal jalan menjadi manusia yang berguna.
  • Jika suami bertaubat kepada Allah dan membenarkan isterinya memakai tudung maka Allah akan menerima taubatnya dan dia tidak lagi akan di azab di akhirat nanti.

Wallahua’lam FP UAI Original.

Berat Nanang Suami Larang Isteri Pakai Tudung Ustaz Azhar Idrus